KISAH seorang ibu, Norzuzileeyana Ramlee, 20, yang mengadu ketiadaan bekalan makanan dan kehabisan susu untuk anaknya nampaknya bertukar menjadi hangat apabila menjadi polemik selepas Pejabat ADUN Tanjung Lumpur mempertikaikan kenyataan ibu muda itu. : KitaReporters.com
Penjelasan daripada Pejabat ADUN Tanjung Lumpur yang disiarkan. ( https://kitareporters.com/insan/xkazppG2dJ)
Ekoran penjelasan pejabat ADUN itu, Norzuzileeyana berasa kesal dan sedih malah menafikan sama sekali dakwaan dia menipu untuk mendapatkan bantuan.
Dalam kenyataan dalam laman Facebooknya beliau menyatakan amat terdesak dan begitu terhimpit selepas susu untuk anak-anaknya kehabisan selain terpaksa mencatu makanan.
Laporan awal KitaReporters mengenai kesusahan dan kesukaran Norzuzileeyana semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac 2020 ini telah disiarkan di https://kitareporters.com/insan/y1aKrrlreQ.
Dalam pada itu, Setiausaha Politik Menteri Besar Pahang, Datuk Tajul Razi Abdul Aziz telah juga berkunjung ke rumah Norzuzileeyana Ramlee pada 7 April 2020 dan menyampaikan bantuan daripada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Laporan tersebut boleh dibaca di https://kitareporters.com/insan/3YaOYYBBdx.
Gambar ibu dan adik Norzuzileeyana dipaparkan pada Facebook Pejabat ADUN Tanjung Lumpur sebelum dipadam.
Dia juga berasa kesal apabila gambar ibu dan adiknya yang menerima sumbangan daripada Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh dipaparkan seolah-olah dia menerima bantuan sebelum sedangkan bantuan itu diberikan selepas berita kesusahan hidupnya dipaparkan.
Dia juga mendakwa pihak berkenaan menyiarkan semula gambar-gambar lama semasa ibu dan adiknya menerima bantuan daripada pejabat DUN berkenaan.
Norizileeyana mendakwa gambar ibunya menerima bantuan adalah gambar lama pada tahun lalu.
Di bawah ini disertakan salinan penjelasannya seperti mana dalam laman Facebooknya.
"PENJELASAN NORZIZILEEYANA BINTI RAMLEE
Assalamualaikum
Saya norzuzileeyana binti ramlee..
sebelum saya bagi penjelasan...
Saya berterima kasih kepada semua yang membantu saya, memang tak terbalas, hanya Allah sahaja mampu
membalas dan sekarang anak-anak saya dah dapat minum susu. ALHAMDULILLAH
Sebelum saya memberikan penjelasan di sini saya memohon kepada pihak pejabat DUN tidak lagi menghina keluarga saya seperti menggunakan gambar ibu dan adik saya.
Memang saya tidak dapat lakukan apa-apa tindakan sebab saya terlalu kerdil, kami orang miskin, hanya fikir nak cari makan tiap hari. Bukan nak simpan duit atau kumpul harta. Kami tak mampu pun nak saman tuan puan.
Apa sahaja yang dilakukan pihak tuan kami kena redha dan berserah sahaja. Kami hanya ada suara yang kecil, tidak ada duit dan kuasa yang boleh buat apa-apa tindakan.
Saya terpaksa bersuara meminta bantuan masa ini sebab suami tak dapat keluar kerja, kami tiada pendapatan, susu anak habis.kami bukan tak nak kerja.
Cuma di sini saya berasa sedih apabila pihak tuan yang saya hormati apatah lagi mempunyai ilmu yang tinggi menggunakan gambar ibu saya bersama adik saya hingga memalukan mereka dan seolah-olah kami menerima bantuan daripada Pejabat ADUN. Sebenarnya gambar bantuan yang ibu saya terima itu, yang adik saya pegang beras adalah daripada Ahli Parlimen itu Kuantan YB Fuziah selepas berita saya keluar. TAPI bila disiar disitu seolah-olah sebelum berita saya keluar.
Jadi Kenapa pihak tuan menggunakan gambar itu seolah tuan yg beri sumbangan.malah kaitkan ibu saya pula.
Ibu dan adik saya turut dimalukan, ibu saya menangis. Ibu saya tak pernah keluarkan apa-apa kenyataan pun kepada pihak tuan. Tapi dimalukan.
YA kami memang tidak dapat lawan tuan, kami miskin tapi kami berserah kepada Allah Kami bukannya orang pandai agama macam tuan puan. Apapun saya minta maaf kalau ada menyakiti hati tuan puan."
"PENJELASAN SAYA MENGENAI BANTUAN
Asalammualaikum
Saya norzuzileeyana binti ramlee.
Saya di sini ingin memberi penjelasan bahawa saya memang dulu tinggal di flat pak mahat bersama mak saya ibu tunggal.tetapi mak saya pindah ke rumah usang semula kerana tak mampu membayar tunggakan rumah sewa kerana keadaan mak saya masa tu sakit dan ditamatkan perkhidmatan di alam flora.
Saya memberi maklum di musim Pkp saya memang ada ambil bantuan sebanyak dua kali tertapi bukan atas nama saya. Pada 26/3 saya menemani kakak Ipar mengambil bantuan atas nama abg saya dan pada tarikh 28/3 saya ada mengambil bantuan atas nama saya dan ibu saya. Barangan saya terima adalah beras5kg,bihun,gula pasir1kg, tepung gandum,biskut dan juga teh uncang satu plastik.Itupun saya terpaksa berjimat.
Sebenarnya saya memerlukan bantuan seperti susu dan pempes anak saya kerana kami tidak dapat berkerja di musim pkp. suami saya hanya mencari kepah dan menjual hasil disekitar Kuantan dengan harga sekilo rm5. Kerana musim pkp ini suami saya tak ada mata pencarian.
Saya menerima Bantuan ASNAF Pada tarikh 4/4/2020 selepas isi borang melalui link ws yang di viralkan.sebelum dari tarikh ini saya tidak menerima bantuan asnaf. Saya ada maklumkan macam mana nak dapat bantuan kepada wartawan pada tarikh sebelum itu dan dia suruh kami jumpa ketua kampung dan pejabat DUN. sehari kemudian saya maklum kepada wartawan tak dapat jumpa ketua kampung dan DUN utk dapatkan susu anak. Kemudian pada 5 /4/2020 berita itu keluar.
Saya dapat bantuan dari JKM melalui ws tentang bantuan pada 29/3 saya menerima telefon dari JKM saya layak menerima bantuan seperti beras5kg,minyak makan1plastik,telur 10 biji,teh uncang,gula pasir dan juga susu duthbaby 0 hingga 12 bulan itu sahaja bantuan yang saya perolehi.
Saya memohon maaf jika ada yang tersalah faham dan saya memperbetulkan kenyataan diatas sekiranya ingin maklumat yang betul sila berjumpa dengan saya sendiri. Disebabkan takut salah faham lagi.jikalau ada lagi salah faham."
Kejadian yang berlaku ini dan tular mungkin ada hikmah kepada semua pihak sama ada pemimpin atasan, pemimpin bawahan dan rakyat di akar umbi.
Mungkin ada sesuatu yang Allah ingin tunjukkan, jadi janganlah kita salah menyalahkan antara satu sama lain, apatah lagi rakyat salahkan pemimpin dan pemimpin salahkan rakyat.
Janganlah suasana getir COVID-19 menjadi 'meriah' pula dengan kisah Wakil Rakyat vs Rakyat atau Rakyat vs Wakil Rakyat. - KitaReporters