Insan & Komuniti 05 Apr, 2020

BANTU KAMI!! DAH TIADA APA YANG NAK DI"KAIS"

@rashid rahman
Memulakan kerjaya sebagai Wartawan Utusan Malaysia sejak Jun 2006 dan pernah bertugas di Ibu Pejabat (Kuala Lumpur), Sabah dan Pahang.

Share this

Krisis wabak COVID-19 yang melanda negara memberi kesan kepada seluruh masyarakat yang kini terpaksa mengehadkan pergerakan susulan langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani wabak berbahaya itu. : KitaReporters

Norzuzileeyana Ramlee terpaksa menumpang di rumah yang uzur di Kampung Tanjung Lumpur, Kuantan. 


Susulan itu ramai yang dahulunya boleh berbelanja mewah kerana ada perniagaan yang baik terpaksa berjimat cermat, yang mempunyai kerja pun terpaksa mengira bajet dan mengehadkan perbelanjaan.

 Tetapi bagi mereka yang kehidupan sebelum ini sememangntya sukar pastinya semasa tempoh ini, kehidupan mereka semakin parah.

Kalau dulu mereka boleh kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, tetapi sekarang tiada lagi yang boleh di"kais", yang bermakna tiada lagilah makan pagi dan makan petang.

Norzuzileeyana Ramlee bersama dua anaknya iaitu Mohamad Razief, 6, dan Muhamad Rasyid, 2.


Sebuah keluarga di Kampung Tanjung Lumpur di Kuantan, Pahang yang terdiri daripada suami, isteri dan dua anak berusia dua dan enam tahun antara yang terkesan teruk dalam tempoh krisis ini.

Mereka yang menumpang tinggal di rumah kayu uzur dengan hanya menyambung satu mentol lampu elektrik ke rumah kerana kemiskinan sebelum ini hanya mengharapkan pendapatan mencari kepah.

Norzuzileeyana Ramlee, 20, berkata, ekoran pelaksanaan PKP itu menyebabkan dia sekeluarga kini terpaksa mencatu makanan dan sering kehabisan makanan.

Beliau memberitahu suaminya, Mohd. Darus Mohd. Raduan, 24, yang kini mengalami kecederaan pada kaki selepas terjatuh semasa bekerja tidak dapat keluar mencari kepah. 

Malah katanya, keadaan juga menyebabkan dia tidak  mampu membeli susu untuk anaknya yang berusia dua tahun sehingga terpaksa memberikan susu manis.

"Beras yang kami ada ini pun adalah pemberian orang dan kami terpaksa mencatu makanan.

"Saya tak kisah tak makan pun asalkan saya dapat membeli susu anak dan lampin pakai buang, asalkan anak ada makanan.

"Saya sering terputus susu anak dan terpaksa memberikan susu manis, walaupun anak saya akan muntah sedikit," katanya semasa ditemui di Kuantan pada Ahad, 5 April 2020.

Anak bongsu  Norzuzileeyana Ramlee, iaitu Mohamad Rasyid (depan), yang kadangkala  terpaksa minum susu manis. 


Menurutnya, susu kedua-dua anaknya kini hanya tinggal sedikit dan mampu bertahan dalam masa sehari dua sahaja dengan cara mencairkan bancuhan.

Dalam pada itu, beliau berkata, dia belum mendapat bantuan setakat ini termasuklah susu anak yang begitu penting baginya.

"Saya telah beberapa kali ke rumah pemimpin kampung setempat, tetapi mereka tiada di rumah dan apabila pergi ke kampung sebelah mereka minta saya balik semula ke kampung saya begitu juga ke pejabat wakil rakyat," katanya.

Anak  Norzuzileeyana Ramlee iaitu Muhammad Rasyid mengalami alahan dan kudis


Sementara itu katanya, ibunya yang tinggal bersebelahan rumah tidak mampu membantu memandangkan ibunya yang merupakan ibu tunggal juga susah dan terpaksa menanggung seorang anak yang mengalami masalah usus berlubang.

Tambahnya, kedua-dua anaknya itu juga kini mengalami kudis satu badan dan alahan menyebabkan dia semakin tertekan dan risau keadaan kedua-dua anaknya itu.   

Sesiapa yang ingin membantu boleh menghubungi talian 011-24691630 atau menghulurkan sumbangan ke dalam akaun BSN Mohd Darus bin Raduan : 0610 0411 0003 3544. - KitaReporters

Keadaan rumah didiami Norzuzileeyana Ramlee yang hanya mempunyai satu lampu mentol, yang ditarik dari rumah sebelah (rumah ibu Norzuzileeyana) juga sudah begitu uzur.

224
151
2958
112
123
You will be interested