Oleh AMIRUL SALAM HASAN
Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
Ramadan bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga, tetapi madrasah rohani yang mendidik jiwa agar kembali bersih dan bercahaya.
Dalam tradisi umat Islam, Ramadan menjadi ruang muhasabah diri dengan menyemai keinsafan, memperkukuh disiplin serta menyucikan hati nurani daripada sifat-sifat tercela seperti riak, hasad dan dendam.

Allah SWT di dalam Al-Quran menegaskan kewajipan berpuasa sebagai jalan mencapai takwa. Takwa bukan hanya terletak pada ibadah zahir, tetapi terpancar melalui akhlak dan keikhlasan hati.
Justeru, Ramadan hadir sebagai peluang tahunan untuk membersihkan “debu-debu dunia” yang melekat pada jiwa akibat kesibukan dan kealpaan sepanjang tahun.
Puasa mengajar erti sabar dan kawalan diri. Ketika seseorang mampu menahan diri daripada perkara yang halal pada siang hari, maka lebih mudah baginya menjauhi yang haram.
Proses ini membentuk kekuatan dalaman dan ia bukan sekadar fizikal menahan lapar, tetapi kekuatan spiritual menundukkan hawa nafsu.
Dalam konteks masyarakat moden yang sarat dengan tekanan dan cabaran materialistik, latihan rohani ini amat signifikan.
Ramadan mendidik umat Islam supaya kembali menilai makna sebenar kehidupan bahawa kebahagiaan bukan pada kemewahan semata-mata, sebaliknya pada ketenangan hati yang bersih.
Ramadan juga dikenali sebagai bulan al-Quran. Amalan membaca, mentadabbur dan menghayati ayat-ayat suci membuka ruang pencerahan dalam diri.
Setiap bait kalam Ilahi menjadi penawar hati, membimbing manusia ke arah kebenaran dan keinsafan.
Doa pula menjadi jambatan penghubung antara hamba dan Pencipta.
Dalam suasana Ramadan yang penuh rahmat, setiap doa dipanjatkan dengan harapan agar hati yang keras dilembutkan, dosa yang lalu diampunkan dan langkah masa hadapan dipermudah.

Penyucian hati tidak lengkap tanpa keprihatinan sosial. Amalan sedekah, zakat dan infaq sepanjang Ramadan mengikis sifat kedekut serta menumbuhkan rasa empati terhadap golongan kurang bernasib baik.
Tangan yang memberi melahirkan hati yang bersyukur.
Di Malaysia, budaya berbuka puasa bersama, agihan bubur lambuk serta program kebajikan komuniti menjadi manifestasi nilai ihsan yang subur dalam bulan mulia ini.
Ia mempererat ukhuwah dan menghidupkan semangat kebersamaan dalam masyarakat majmuk.
Malah, di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), inisiatif iftar percuma pada setiap hari sepanjang Ramadan turut dilaksanakan khususnya bagi pelajar, hasil sumbangan insan-insan berhati mulia termasuk warga kampus dan komuniti setempat.
Program ini bukan sekadar memenuhi keperluan fizikal ketika berbuka, tetapi menjadi simbol solidariti dan kasih sayang sesama insan.
Dalam suasana kebersamaan itu, lahir rasa syukur, rendah hati dan empati yang menjadi unsur penting dalam proses penyucian jiwa.
Tangan yang memberi dan hati yang menerima sama-sama dididik untuk menghargai nikmat serta memperkukuh ikatan ukhuwah, menjadikan Ramadan lebih bermakna buat seluruh warga universiti.

Ramadan adalah waktu terbaik untuk bermuhasabah, menilai kelemahan diri dan memperbaharui azam. Taubat yang tulus menjadi proses pembersihan dalaman, seumpama air jernih yang mengalir membasuh kekotoran.
Dalam keheningan malam, khususnya pada sepuluh malam terakhir, umat Islam amat digalakkan mencari keberkatan dan keampunan.
Sesungguhnya, Ramadan yang bersih bukan hanya pada hidangan dan pakaian, tetapi pada hati yang suci daripada prasangka serta lidah yang terpelihara daripada kata nista.
Kejayaan sebenar bukan sekadar menyempurnakan ibadah selama sebulan, tetapi mengekalkan nilai-nilai murni itu selepas Ramadan berlalu.
Akhirnya, Ramadan harus menjadi titik perubahan, daripada lalai kepada sedar, daripada biasa kepada luar biasa.
Penyucian hati nurani menuntut kesungguhan dan istiqamah. Andai Ramadan dihayati sepenuh jiwa, ia mampu melahirkan insan yang lebih penyabar, berintegriti dan berjiwa besar.
Semoga Ramadan kali ini benar-benar menjadi bulan pembersihan jiwa, menyinari hati dengan cahaya iman dan memandu langkah menuju kehidupan yang lebih bermakna.

Amirul Salam Hasan ialah Penolong Pegawai Tadbir, Pejabat Komunikasi Korporat, Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Artikel ini adalah pandangan penulis.
