Kes-kes pembunuhan dalam kalangan keluarga yang berlaku baru-baru ini sangat menyayat hati.
Kes keluarga 5 orang dibunuh di Kuantan pada 17 Februari 2026 menggemparkan negara kita. Suspek adalah ahli keluarga.
Begitu juga kes anak bunuh Ibunya di Alor Star pada 2 Februari 2026 lalu kerana berhutang dengan ah long (peminjam haram).

Banyak tragedi berdarah yang berlaku hari ini bukan semata-mata kerana penyakit mental tetapi akibat tekanan hidup yang hebat.
Juga kes seorang doktor yang membunuh isteri dan anak berusia 4 tahun pada 30 Disember 2025 yang lalu di Johor Bahru. Kes ini turut memeranjatkan masyarakat kita.
Sangat menyedihkan kes-kes ini berlaku selang beberapa bulan sahaja.
Bila berlaku pembunuhan seumpama ini masyarakat sering bertanya adalah si pembunuh mempunyai masalah mental. Mereka mudah melabel seseorang dengan pandangan negatif seperti “dia gila”, “dia tak waras”, “dia ada masalah mental”.
Tapi hakikatnya, banyak tragedi berdarah yang berlaku hari ini bukan semata-mata kerana penyakit mental seperti skizofrenia atau gangguan psikotik yang lain.
Sebenarnya ia bermula dengan tekanan hidup hebat yang pelan-pelan berkumpul dan menjadi bernanah dalam diam setelah lama dipendam, ada yang bertahun-tahun lamanya.

Kes keluarga 5 orang dibunuh di Kuantan pada 17 Februari 2026 menggemparkan negara. - Kredit foto: Bernama
Umpamanya mereka yang berhutang dengan ah long yang menyebabkan hidup diburu ketakutan. Ketua rumah tangga yang gagal bayar sewa dan menyara hidup keluarga kerana kemiskinan.
Atau tekanan kerja tak berpenghujung. Dibuli rakan sekerja dan majikan. Hubungan yang putus dan ego yang tercabar.
Perasaan malu dan rendah diri kerana tak mampu jadi suami yang baik. Perasaan gagal jadi anak yang berjaya dan bermacam-macam lagi sebab yang menjurus ke arah tekanan hidup yang hebat.
Tekanan ini bukan kecil. Ia menghimpit perlahan-lahan berkumpul sedikit demi sedikit.
Bila seseorang terlalu lama memendam, terlalu lama rasa terperangkap, terlalu lama tak ada tempat mengadu, akal yang waras boleh jadi kabur dan tak stabil.
Pertimbangan jadi tak stabil. Emosi menjadi api yang membara. Dan bila api itu meletup, yang terbakar bukan orang luar yang jadi mangsa, tetapi adalah ahli keluarga sendiri seperti ibu. Isteri, anak anak kecil.
Ini bukan soal peribadi seseorang itu sebagai “orang itu jahat”. Tetapi ini disebabkan tekanan yang tak dapat dikawal, tak dapat dirawat, begitu juga emosi yang tak dibimbing, dan sistem sokongan yang gagal berfungsi.

Kes anak bunuh Ibunya di Alor Star pada 2 Februari 2026 lalu kerana berhutang dengan ah long. - Kredit foto: Kosmo
Masyarakat kita masih anggap tekanan sebagai kelemahan. Umpamanya jadi lelaki tak boleh menangis. Seorang ayah mesti sempurna dan tak boleh mengaku gagal. Suami tak boleh kata dia tak mampu.
Akhirnya mereka diam. Ya, mereka menderita dalam diam yang panjang yang akhirnya bertukar menjadi bom jangka.
Masyarakat perlu faham tekanan melampau dalam kehidupan boleh mengganggu kewarasan akal fikiran dan menggugat keimanan walaupun seseorang itu tiada rekod penyakit mental.
Justeru apabila stres kronik bertemu dengan rasa putus asa dan tiada jalan keluar, manusia boleh hilang pertimbangan diri. Dan bila pertimbangan hilang, tragedi boleh terjadi.
Sebab itu pencegahan bukan hanya tentang rawat pesakit mental. Ia juga tentang pendidikan pengurusan emosi, sokongan kewangan dan kaunseling krisis kepada mereka yang normal.
Selain itu, budaya bercakap tentang masalah tanpa dihukum atau meluahkan perasaan pada pihak tertentu perlu diamalkan.
Sistem komuniti yang peka juga penting kerana zaman "aku buat hal aku dan kau buat hal kau" akan menyebabkan mereka yang bermasalah malu minta bantuan dan pertolongan jika mereka sangat terdesak.
Oleh demikian kita tak boleh tunggu trajedi demi tragedi berlaku, baru kita nak sedar, baru nak menyesal.
Tekanan hidup sangat nyata. Tapi ia tak nampak pada mata kasar kita. Paling menyedihkan tekanan ini boleh menyebabkan sesuatu yang tidak dingini berlaku.
Sebagai manusia jika kita tak belajar menangani tekanan dengan pemikiran yang matang, kemungkinan kewarasan kita hari ini, boleh tewas esok hari. - KitaReporters

Bukan soal peribadi seseorang itu sebagai “orang itu jahat”, tetapi ini disebabkan tekanan yang tak dapat dikawal, tak dapat dirawat.