Ramadan Al-Mubarak yang hanya tinggal beberapa hari sahaja sudah pasti menyediakan pelbagai peluang ganjaran dan menjadi rebutan semua golongan masyarakat.


Begitu juga bagi penduduk sekitar Masjid Warisan Chenor, Pahang yang turut menanti kehadiran Ramadan dengan bergotong-royong membersihkan dalam dan luar rumah ibadah terbabit.
Gotong-royong membersihkan masjid pada 15 Februari 2026 meliputi ruang solat utama dan juga ruang solat Muslimah.
Karpet dibersihkan dengan menggunakan mesin penyedut, manakala dinding luar dan dalam serta kipas angin dicuci.
Kaum Muslimat pula tidak mahu melepaskan peluang dengan membersihkan tempat solat serta langsir agar ia juga lebih kelihatan bersih dan ceria.


Sementara itu, lain pula ceritanya di Masjid Ibnu Sina, Sungai Jerneh, Melaka. Penduduk kariah masjid dan sekitarnya turut berhempas pulas berebut peluang meraih pahala pada 15 Februari 2026.
Pelbagai peringkat umur, tua dan muda, mahupun golongan wanita bersedia untuk bergotong-royong membersihkan Tanah Perkuburan Islam Sungai Jerneh.


Gotong-royong membersihkan kubur termasuklah laluan memasuki kawasan tanah perkuburan itu agar kelihatan lebih selesa setelah sampah-sarap dan semak-samun dibuang.
Lebih menarik apabila peralatan seperti cangkul, penyakar, penyapu, penyodok dan seumpamanya dibawa dari rumah setiap peserta agar aktiviti berjalan lancar. - KitaReporters

