“Jangan jadi ‘zombie’ Ramadan!, Jangan sampai orang bukan Islam tengok kita berpuasa macam tidak bermaya.
"Ayuh, umat Islam, kita membetulkan cara fikir terhadap ibadah puasa supaya Ramadan menjadi medan peningkatan darjat, bukan alasan bermalas-malasan," kata pendakwah dan pakar motivasi terkenal, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah ketika menyampaikan ceramah Ambang Ramadan di Musolla Pangsapuri Anggun, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, Selangori.

Dalam ceramah bertajuk "Selamat Datang Ramadan Kareem, Bulan Keperluan Zahir dan Batin Manusiawi", beliau mengajak umat Islam membetulkan cara fikir terhadap ibadah puasa supaya salah faham yang menganggap puasa menyebabkan seseorang menjadi lemah dan tidak bermaya tidak berlaku lagi.
“Zaman Nabi Muhammad SAW, baginda berjihad dan berperang pada bulan Ramadan.
" Orang Islam siang hari berjuang seperti singa, malam hari beribadat seperti rahib. Jadi kenapa hari ini kita kata puasa buat kita letih?.
"Saya mahu berkongsi kisah seorang pemain bola keranjang di Amerika Syarikat yang memeluk Islam dan mengakui tetap cergas bermain pada waktu siang walaupun berpuasa, malah merasai tenaga luar biasa.
“Puasa bukan untuk kurus, tapi untuk lulus. Lulus dari segi taqwa,” katanya.

Ramadan bukan sekadar bulan dalam takwim, Ramadan adalah "tetamu agung" dan tidak semua orang dipilih untuk menyambutnya.
Beliau berkata, kita selalu menyebut dengan penuh syukur, "Selamat Datang Ramadan Kareem" tapi cuba kita renungkan sejenak berapa ramai sahabat, ahli keluarga, jiran tetangga yang bersama kita Ramadan lalu, namun hari ini mereka sudah tiada.
"Ramadan bukan sekadar bulan dalam takwim, Ramadan adalah "tetamu agung". Dan tidak semua orang dipilih untuk menyambutnya.
"Sahabat Nabi SAW bukan sekadar menyambut Ramadan, mereka merindukannya. Para sahabat berdoa kepada Allah selama enam bulan sebelum Ramadan agar dipertemukan bulan mulia itu.
"Dan enam bulan selepas Ramadan, mereka berdoa agar amalan diterima. Saidina Abu Bakar al-Siddiq dan Umar ibn al-Khattab menangis kerana takut amal mereka tidak diterima.
"Ramadan datang membawa tiga hadiah besar iaitu keampunan, rahmat dan pembebasan daripada api neraka. Persoalannya, adakah kita benar-benar bersedia menyambutnya, atau kita hanya menyambutnya seperti kebiasaan?," katanya lagi.

Dr Mohd Fadzilah Kamsah
Beliau menegaskan, pastikan solat tepat pada waktunya dan banyakkan solat sunat kerana setiap kali solat, darjat seseorang akan diangkat dan kehadiran Ramadan secara tidak langsung membuka peluang untuk meningkatkan martabat diri.
"Namun, amat rugi jika seseorang berpuasa tetapi tidak menjaga solat dan gagal meraih keampunan Allah.
“Ramai yang berpuasa, tapi tak tutup aurat. Puasa, tapi tak jaga solat. Kalau tak dapat keampunan, itu tanda kita tak dapat keberkatan,” katanya.
Katanya, ketika berpuasa, kita menahan makan bukan kerana tiada makanan, kita menahan minum bukan kerana tiada air tapi kita sedang belajar mengawal nafsu.
"Dalam kehidupan biasa, nafsu sering memimpin kita. Namun dalam Ramadan, kita diajar supaya iman memimpin nafsu.
"Tidak hairanlah ketika berpuasa, kita diajar sahur pada waktunya, berbuka ada waktunya, solat tarawih menguatkan tubuh dan qiamullail melatih ketahanan diri. Tubuh mungkin terasa lemah, tetapi jiwa menjadi kuat.
"Ramadan mengajar kita satu prinsip penting, kita makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan," katanya.

Dr Mohd Fadzilah menunjukkan cara melakukan senaman tai chi dan dilakukan untuk memberi kecerdasan kepada anggota tubuh ketika berpuasa.
Dr Fadzilah berkata, jika jasad perlukan makanan, jiwa juga perlukan santapan. Tidak hairanlah dalam Ramadan hati terasa lebih lembut, air mata lebih mudah gugur ketika berdoa dan ketika membaca al-Quran, terasa lebih menyentuh?
"Ini kerana Ramadan adalah bulan makanan jiwa dan al-Quran diturunkan dalam bulan ini sebagai petunjuk bagi manusia. Ramadan adalah bulan terapi rohani.
"Kita membersihkan hati daripada dengki, hasad, sombong dan dendam. Kadang kala tubuh kita sihat, tetapi hati kita sakit. Ramadan datang untuk menyembuhkan penyakit hati.
"Begitu juga apabila kita melakukan solat malam, ia adalah ubat keresahan. Doa pula adalah penawar kegelisahan manakala istighfar adalah pembersih dosa," katanya.

Dr Mohd Fadzilah bergambar kenangan dengan AJK makanan sempena ceramah Ambang Ramadan di Musollah Pangsapuri Anggun, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, Selangor.
Beliau menyarankan umat Islam melakukan ‘reset minda’ sepanjang Ramadan dengan memperbanyak taubat, sebelum tidur, buat solat taubat. Anggap puasa kali ini mungkin yang terakhir. Buat bersungguh-sungguh kerana Allah.
"Begitu juga saya mahu kita membiasakan jangan melewatkan makan malam kerana ia boleh menjejaskan kesihatan terutama anak-anak.
“Jika boleh, makan sebelum maghrib supaya penghadaman lebih baik. Saidina Omar pernah berkata, bila perut kosong, kepala jadi penuh,” katanya.
Ramadan, katanya bukan hanya membentuk individu, tetapi masyarakat. Apabila kita lapar, kita mula memahami penderitaan orang miskin. Apabila dahaga, kita mula menghargai nikmat air.
"Sebab itu dalam Ramadan, sedekah menjadi budaya, zakat menjadi kewajipan dan infaq menjadi kebiasaan.
"Puasa menjadikan kita lebih manusia. Ia melahirkan empati, kasih sayang dan sifat ihsan. Masyarakat yang melalui Ramadan dengan penghayatan sebenar akan menjadi masyarakat yang penyayang, bukan masyarakat yang keras hati.


Ramadan juga bukan bulan ritual, ia adalah bulan perubahan kepada umat Islam.
"Ramadan juga bukan bulan ritual, ia adalah bulan perubahan. Jika selepas Ramadan kita masih solat berlengah, lidah masih menyakiti dan hati masih keras, maka kita perlu bertanya, adakah aku benar-benar berpuasa atau sekadar menahan lapar?
"Ramadan sepatutnya mengubah kita daripada seorang pemarah menjadi penyabar, bakhil menjadi pemurah, lalai menjadi ingat kepada Allah. Ramadan adalah peluang kedua atau mungkin peluang terakhir. Kita tidak tahu adakah akan bertemu Ramadan tahun hadapan.
"Nabi Muhammad SAW adalah manusia paling pemurah. Dan, baginda lebih pemurah daripada angin yang bertiup apabila tiba Ramadan.
"Justeru, beliau mahu umat Islam perbetulkan niat. Puasa bukan sekadar tradisi tahunan. Kedua, susun jadual ibadah, tetapkan sasaran khatam al-Quran, tetapkan waktu qiyam dan tetapkan jumlah sedekah.
"Persediaan ketiga ialah menjaga lidah. Puasa bukan hanya menahan perut, tetapi menahan mulut. Dan, keempat ialah memaafkan orang. Ramadan adalah bulan pembersihan hati.
"Bayangkan jika ini Ramadan terakhir kita, adakah kita sudah bersedia, sudah cukup bertaubat, sudah memohon maaf kepada ibu bapa atau sudah melangsaikan hutang dengan manusia?
"Jangan biarkan Ramadan berlalu seperti angin yang singgah sebentar tapi sambutlah Ramadan dengan hati yang rindu. Sambutlah Ramadan dengan jiwa yang bersedia dan tekad untuk berubah," katanya. - KitaReporters

Dr Mohd Fadzilah bergambar kenangan bersama sebahagian jemaah yang hadir sempena ceramah Ambang Ramadan di Musollah Pangsapuri Anggun, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, Selangor.