Insan & Komuniti 15 Feb, 2026

Selesa dan selamat! Ramadan lebih ceria! Penduduk Kg Alai gembira Masjid Al-Falihin bertukar wajah!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Usaha menaik taraf rumah ibadat khususnya masjid adalah bertujuan meningkatkan keselesaan ibadah, memastikan kelestarian struktur bangunan apabila sudah terlalu lama dan untuk menyesuaikan kemudahan dengan keperluan jemaah yang semakin bertambah.


Permandangan waktu malam Masjid Al-Falihin,  Kampung Alai, Melaka. 


Langkah itu juga bagi meningkatkan keindahan, menyuburkan semangat beribadah, menarik lebih ramai orang untuk beribadah dengan memakmurkan rumah Allah serta merupakan pelaburan akhirat iaitu antara sedekah jariah yang menjanjikan ganjaran rumah di syurga apatah lagi apabila mula digunakan bermula pada Ramadan nanti.

Hasil kesepakatan dan persetujuan pemimpin masyarakat, komuniti serta semua Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Al-Falihin, Kampung Alai, Melaka, masjid berusia lebih 101 tahun itu berjaya dinaik taraf dengan melalui proses pengubahsuaian selama satu tahun setengah dan sudah siap sepenuhnya pada Disember 2025.


Bahagian kubah yang mengalami perubahan dalam kerja naik taraf.


Menzahirkan dengan menitip doa kesyukuran terhadap kerja dan proses menaik taraf siap mengikut jadual perancangan, AJK masjid serta penduduk kampung mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Melaka, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang memantau perjalanan proses pengubahsuaian masjid berkenaan.

Pengerusi masjid itu, Mohamad Isa Nordin, berkata kerja membaik pulih masjid itu terpaksa dilakukan memandangkan ada antara struktur kayu bangunan sudah reput dimakan anai-anai yang dikhuatiri jatuh dan tidak menjamin keselamatan kepada jemaah.

Tambah beliau, kerja baik pulih ruang solat utama antara menjadi agenda penting demi keselamatan dan keselesaan jemaah di samping mewujudkan kemudahan kondusif termasuklah tandas yang selesa, penukaran empat tiang seri, kubah, jendela serta ruang legar kiri dan kanan.


Ahmad Zahid Hamidi (tengah) diberikan taklimat ringkas mengenai sejarah penubuhan Masjid Al-Falihin oleh Abdul Razak Abdul Rahman (dua dari kiri).


Menurutnya, langkah membaik pulih itu dilakukan dengan teliti bagi mengekalkan kesenian warisan masjid lama yang berusia lebih 101 tahun apabila menjadi salah satu masjid di Melaka yang tersenarai dalam United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO).

Jelasnya, penyenaraian dalam UNESCO itu satu penghormatan yang amat bermakna bagi penduduk kampung berkenaan kerana pengiktirafan masjid sebagai tapak penting warisan budaya serta semula jadi dunia untuk terus dipelihara.

“Dengan berjayanya usaha membaik pulih, masjid ini akan dapat menampung jemaah yang lebih ramai antara 500 dan 600 jemaah bagi satu-satu masa termasuk untuk solat Jumaat di samping bertepatan pula dengan menyambut kedatangan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri berbanding sebelum ini,” ujarnya.

Pada 24 Januari 2026, Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Diraja Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam rangka lawatan ke Melaka turut melawat masjid berkenaan untuk melihat sendiri kerja pengubahsuaian yang dilakukan dengan diiringi Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri Melaka, Abdul Razak Abdul Rahman.


Simbolik penyerahan siap kerja naik taraf, JKR kepada JAIM sambil diperhatikan oleh Abdul Razak.


Mohamad Isa berkata, ketika kerja membaik pulih dijalankan terdapat separuh jemaah terpaksa dipecahkan kepada dua surau iaitu Surau Bukit Punggur dan Madrasah At Taalim Pengkalan Jajar, Alai untuk solat Jumaat bagi menjamin kelancaran kerja-kerja kontraktor terbabit di samping langkah keselamatan.

Menurutnya, kesabaran dan kerjasama yang ditunjukkan penduduk serta jemaah banyak membantu kerja membaik pulih masjid yang menelan kos RM1.5 juta itu berjalan dengan lancar dan siap dalam tempoh perancangan tanpa sebarang musibah.

“AJK masjid, kariah dan penduduk sekitar melahirkan rasa bersyukur dengan keperihatinan kerajaan negeri, JPM dan beberapa agensi lagi bagi memastikan proses kerja pengubahsuaian masjid ini tidak mengalami sebarang penangguhan demi untuk keselamatan serta keselesaan rakyat beribadat,” ujarnya.


Azadi Mohd Diah menerangkan sesuatu mengenai kejayaan usaha naik taraf Masjid Al Falihin kepada Abdul Razak.


Sementara itu, Abdul Razak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas, turut melahirkan rasa syukur kerana sekian lama penduduk menunggu kerja pengubahsuaian naik taraf masjid itu dapat disiapkan sebagaimana dijanjikan. 

Menurutnya, selain mencatat sejarah sebagai masjid warisan UNESCO yang tertua dalam negeri Melaka, ia juga membuktikan kesepakatan serta ukhuwah penduduk kampung dan sekitar akhirnya proses pengubahsuaian naik taraf menjadi kenyataan yang banyak memberi manfaat untuk menunaikan solat serta menjalankan aktiviti agama dengan selesa.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan kerana menyempurnakan dengan baik hasrat penduduk untuk melihat sebuah masjid yang baharu dilengkapi kemudahan bagi keselesaan di samping JAIM, JKR dan beberapa agensi lain turut memain peranan penting dalam usaha baik pulih ini,” katanya yang turut hadir pada majlis penyerahan siap kerja oleh JKR kepada JAIM pada 6 Februari 2026.


Permandangan ruang utama solat Masjid Al Falihin, Kampung Alai, Melaka, selepas selesai proses naik taraf.


Penasihat 2 Surau Bukit Punggur Alai, Melaka, Azadi Mohd Diah, pula berkata pengubahsuaian naik taraf masjid berkenaan amat wajar dilaksanakan kerana banyak bahagian pada struktur bangunannya mengalami pereputan pada bahagian kayu.

Jelasnya, daripada bertambah buruk amat bertepatan masjid itu dibaiki segera demi keselamatan penduduk yang menggunakannya termasuk jemaah bermusafir singgah untuk menunaikan solat atau pun kepada pihak ingin mengadakan program kemasyarakatan dan agama di situ.

“Usaha naik taraf ini dan siap pada masa ditetapkan itu memberi manfaat kepada penduduk berdekatan yang merupakan kariah untuk meningkatkan aktiviti agama sepanjang Ramadan apabila suasananya lebih selesa berbanding sebelumnya.

“Sehubungan itu ahli kariah mencapai kata sepakat untuk mengadakan aktiviti gotong-royong membersih persekitaran masjid dalam dan luar bersempena menyambut kedatangan Ramadan bermula pagi Ahad 15 Februari 2026,” terang beliau. - KitaReporters

18
14
0
14
0
You will be interested