Dalam usaha menyemarakkan momentum Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) dan memperkukuh kedudukan negara sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia, penganjuran Tourism Industry Awards 2026 (TIA 2026) bakal menjadi medan penting menghimpunkan pemain industri untuk diraikan atas kecemerlangan, inovasi dan sumbangan mereka kepada sektor pelancongan negara.

Sehubungan itu, semua penggiat industri pelancongan di Malaysia kini dipelawa untuk menyertai dan mendaftarkan organisasi masing-masing dalam acara anugerah paling berprestij tersebut yang bakal diadakan pada 8 Ogos 2026 di Sunway Resort Hotel.
Jemputan terbuka ini ditujukan khusus kepada pemain sektor awam mahupun swasta yang ingin mengangkat martabat jenama mereka ke peringkat nasional dan antarabangsa, sekali gus membuktikan kecemerlangan dalam memacu pertumbuhan industri pelancongan negara.
Program anjuran Malaysia International Tourism Development Association (MITDA) dan Santai Travel dengan kerjasama Tourism SelangorPromosi Sdn Bhd itu bertujuan mengiktiraf organisasi, destinasi, produk serta individu yang memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan industri pelancongan, meningkatkan daya saing negara dan menyokong agenda pembangunan pelancongan yang mampan serta inklusif di peringkat nasional dan antarabangsa.
“TIA 26 bukan sekadar satu majlis penyampaian anugerah, tetapi merupakan platform pengiktirafan berprestij yang memberi penghormatan kepada penggiat pelancongan yang telah dipilih daripada kecemerlangan, inovasi dan komitmen luar biasa merangkumi sektor hospitaliti, acara perniagaan, pelancongan domestik dan antarabangsa, serta keseluruhan rantaian sokongan industri,” ujar Pengerusi penganjur TIA 2026 merangkap Setiausaha Kehormat MITDA, Datuk Noor Zaleha Baharuddin pada majlis pelancaran TIA 2026 yang disempurnakan oleh Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Roslan Abdullah, mewakili Ketua Pengarahnya, bertempat di Hotel Sunway Resort pada 13 Februari 2026.
Turut hadir Presiden MITDA, Kapten (B) Mahadzir Mansor (tiga dari kanan); Pegawai Operasi Tourism Selangor (Promosi), Arshad Mustapa; Ketua Juri Panel TIA 2026, Datuk Rashidi Hasbullah (dua dari kanan); dan Sidi M Fikri selaku Pengurus The Cluster Hotel (Sunway Resort).

Dari kiri: Arshad, Mahadzir, Roslan, Noor Zaleha, Rashidi dan Sidi M Fikri. - Kredit foto: FAS.
Berkongsi lanjut, Noor Zaleha memaklumkan, jumlah anugerah meliputi lebih kurang 60 kategori yang dipilih berdasarkan kecemerlangan, inovasi dan komitmen luar biasa merangkumi pelbagai sektor industri pelancongan, termasuk hotel dan resort, pusat beli-belah, syarikat penerbangan, pengendali pelancongan, pihak berkuasa tempatan, organisasi pelancongan negeri, sektor kesihatan dan kesejahteraan serta kategori lain yang berkaitan dengan ekosistem pelancongan.
Majlis berprestij itu dijangka menghimpunkan pemimpin industri, pembuat dasar, agensi kerajaan, pemain sektor swasta serta persatuan pelancongan dari dalam dan luar negara.
Penganjurannya dilihat selari dengan aspirasi negara untuk memperkukuh ekosistem pelancongan serta meningkatkan imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang berdaya saing pada peringkat global.
“Saya yakin TIA 2026 akan terus menjadi simbol kecemerlangan industri pelancongan Malaysia dan berperanan sebagai pemangkin kepada kerjasama strategik, inovasi serta pertumbuhan mampan industri ini,” kata Noor Zaleha.

Sementara itu, Mahadzir memberitahu, tahun ini, tema “Go Green” menjadi fokus utama dalam penganjuran anugerah pelancongan, sejajar dengan objektif pembangunan lestari seperti Sustainable Development Goals (SDG) yang digariskan oleh United Nations serta amalan Environmental, Social and Governance (ESG).
Kriteria penjurian memberi penekanan kepada inisiatif hijau seperti penggunaan botol tanpa plastik, tenaga solar, dan amalan mesra alam lain yang dapat dilihat secara langsung oleh panel penilai.
“Penekanan pada elemen 'Go Green' diharapkan dapat meningkatkan kesedaran industri terhadap kelestarian sambil memperkukuh daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang mampan sempena TMM 2026,” ujar Mahadzir.
Pendekatan ini selari dengan aspirasi untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pelancongan mampan di rantau ini, sekali gus menyokong usaha global mengurangkan jejak karbon dan memperkukuh kelestarian jangka panjang industri.
Barisan panel penilai yang berwibawa dan berpengalaman akan memastikan setiap penerima anugerah dipilih secara telus dan berintegriti, selaras dengan aspirasi untuk mengangkat standard industri pelancongan Malaysia ke tahap lebih tinggi.
Menurut beliau lagi, anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan semata-mata, tetapi juga mempunyai nilai tambah kepada penerima.
“Apabila anda menerima anugerah, ia boleh digunakan sebagai alat pemasaran untuk mempromosikan destinasi, produk, atau hotel anda. Kerajaan, Tourism Malaysia, dan lembaga pelancongan turut membantu mempromosikan senarai pemenang sebagai inventori pelancongan,” jelas Mahadzir..
Sambungnya, anugerah ini juga membolehkan pemain industri mempamerkan usaha mereka, membina reputasi, dan menarik lebih ramai pelancong tempatan dan antarabangsa.

Pendaftaran kini dibuka melalui QR code, disertai pameran dalam media sosial untuk memudahkan penyertaan orang ramai. Selain itu, pihak penganjur akan menghantar surat jemputan rasmi yang menyertakan maklumat pembentangan TIA serta kategori yang disediakan untuk peserta.
Tarikh tutup pendaftaran ditetapkan sebulan sebelum hari penutupan rasmi program. Inisiatif digital ini bertujuan memudahkan proses pendaftaran, meningkatkan capaian kepada peserta, dan memastikan maklumat mengenai program TIA dapat disebarkan secara meluas.
Maklumat lanjut boleh layari laman web rasmi www.mitda.com.my - KitaReporters