Insan & Komuniti 14 Feb, 2026

Sayangi warga emas kita! Penduduk perlu bantu dan sokong pusat jagaan! Beri sumbangan atau khidmat!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Penduduk setempat perlu memainkan peranan dalam menyokong pusat jagaan yang menjaga atau membela penghuni dalam kalangan warga emas apabila terbiar hidup sebatang kara atau disisihkan oleh ahli keluarga bagi meneruskan kelangsungan hidup.


Mohamad Sapian Alias (duduk dua dari kanan) bersama tetamu mendengar kemerduan alunan marhaban oleh Kumpulan Marhaban Jalinan Kasih dari Kajang.


Pembabitan penduduk secara tidak langsung itu boleh dilakukan menerusi sumbangan sukarela seperti bantuan kewangan atau barangan, melakukan pemantauan kebajikan penghuni untuk memastikan kualiti hidup dan keselamatan mereka terjamin yang menghuni pusat jagaan berkenaan.

Di samping itu penduduk juga boleh memainkan peranan khusus untuk mendidik dalam kalangan golongan muda bagi menyayangi, menyantuni dan menghormati warga emas yang hilang tempat bergantung dengan melakukan pelbagai khidmat masyarakat.


Kumpulan Marhaban Jalinan Kasih dari Kajang menarik perhatian tetamu dengan alunan selawat dan marhaban.


“Sumbangan dan khidmat masyarakat secara sukarela amat diperlukan bagi sesebuah pusat jagaan apabila diurus selia pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang banyak bergantung ehsan daripada banyak pihak termasuk komuniti untuk terus kekal beroperasi,” kata Ketua Kampung Sesapan Kelubi, Beranang, Selangor, Mohamad Sapian Alias.

Menurutnya, seperti Pusat Jagaan Nur Hasanah (PINH) yang terletak di kampung itu sudah lebih 20 tahun beroperasi, namun tetap teguh berdiri untuk memberi perlindungan kepada warga emas yang terdampar hilang tempat berteduh kerana hidup sebatang kara, dipinggirkan oleh ahli keluarga, akibat keuzuran dan sebagainya.

Tambahnya, walaupun mereka itu bukan ahli keluarga kita, namun kerjasama dan sokongan berterusan daripada penduduk amat diperlukan untuk sama-sama memikul tanggungjawab membantu PJNH membela penghuni di pusat jagaan itu. 

Jelasnya, penduduk boleh menghulurkan apa sahaja sumbangan seperti barangan basah, barangan kering membabitkan keperluan asas harian malah jika berkemampuan memaklumkan kepada pengurusan PJNH untuk menaja sarapan pagi atau makan tengah hari hatta makan malam.


Sebahagian warga emas PJNH menunggu hidangan makan tengah hari yang diagihkan oleh sukarelawan pada majlis itu.


“PJNH ini amat bergantung kepada sumbangan ehsan pelbagai pihak kerana mereka tidak mendapat sumbangan dana khusus setiap bulan sebaliknya terpaksa berakhtiar mencari dana daripada dermawan atau NGO yang bersedia membantu.

“Seperti pada hujung tahun 2025, PJNH menghadapi masalah kehabisan stok bekalan makanan, seperti beras, minyak masak, gula dan sebagainya apabila sampai ke pengetahuan, saya gerakan segera pencarian sumbangan daripada penduduk dan mereka dermawan akhirnya masalah itu berjaya diatasi,” ujarnya kita berucap merasmikan Majlis Hari Terbuka dan Sambutan Ambang Ramadan 1447H PJNH pada 7 Februari 2026.  

Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi PJNH, Mohiadin Bahado; Setiausaha PJNH, Aidah Jaamat; Pengurus PJNH, Kairul Ahmad; Ketua Balai Polis Beranang, Selangor, SM Anif Md Jawawi; Amil Masjid Raja Alang, Semenyih, Hasbi; dan Kumpulan Marhaban Jalinan Kasih dari Kajang, Selangor yang menyampaikan alunan selawat serta marhaban. Tidak ketinggalan Ahli Jawatankuasa Kelab Sukarelawan Mahmudah (KESUMA ’24). 


Ustaz Alias Ahmad membaca doa pada majlis itu sebelum warga emas dan tetamu menjamah jamuan yang disediakan.


Sementara itu ketika berucap, Mohiadin menitipkan nasihat kepada tetamu supaya menjadi seorang paling bahagia dan boleh pula untuk membahagiakan orang lain, manakala seorang isteri hendaklah bertanggungjawab bagi membahagia serta memberikan keceriaan kepada suami.

Tambahnya, untuk membuat kebaikan atau berbakti kepada sesiapa sahaja tidak perlu bertangguh terutama ketika masih ada tenaga dan kudrat kerana kematian akan datang pada bila-bila masa sama ada seseorang itu masih muda atau sudah tua.

Jelasnya, warga emas yang menjadi penghuni PJNH itu majoritinya ramai berada dalam keuzuran kerana menghidap pelbagai penyakit kronik dan memerlukan perhatian khusus daripada petugas seperti memberi ubat mengikut waktu ditetapkan. 


Mohiadin Bahado menyampaikan cenderahati kepada Anif Md Jawawi (kiri).


“Mereka ini akan berasa terhibur hati untuk melupai kedukaan apabila dikunjungi ahli keluarga yang masih mengambil berat di samping beberapa NGO yang datang membuat program kemanusiaan dan turut menghulurkan sumbangan.

“Bersempena bulan Ramadan, PJNH turut mencari dana untuk Infaq Ramadan bagi menaja majlis berbuka puasa bersama penghuni, bayaran sagu hati bagi imam serta bilal solat tarawih di samping duit raya untuk warga emas terbabit.

“Kami amat memerlukan sokongan serta sumbangan derma infak bagi menjayakan program berkenaan seperti tahun sebelum ini dan makluman mengenai perkara itu sudah diuar-uarkan dalam media sosial selain dikongsi dalam kumpulan WhatsApp,” ujarnya.


Sebahagian sukarelawan menyiapkan hidangan untuk diagihkan kepada warga emas pada Majlis Hari Terbuka dan Sambutan Pada Ambang Ramadan 1447H PJNH.


17
10
0
10
0
You will be interested