Dasar KASIH Keluarga Negara (DKKN) dan Pelan Tindakan Keluarga Negara (PTKN) 2026–2030 telah dilancarkan kerana apabila keluarga kukuh, masyarakat akan teguh dan negara lebih berdaya tahan menghadapi cabaran sosial serta ekonomi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Aibrahim berkata, DKKN dan PTKN 2026–2030 diluncurkan dengan satu keyakinan yang jelas bahawa kesejahteraan negara tidak boleh hanya diukur melalui angka pertumbuhan atau pembangunan fizikal semata.
"Tetapi ia mesti mencakup aspek jiwa, kestabilan emosi dan keharmonian institusi kekeluargaan," tegas beliau.
Katanya, negara boleh mencatat prestasi terbaik di ASEAN, ringgit boleh mengukuh, tetapi jika keluarga rapuh, masyarakat akan tetap goyah.
"Keluarga adalah unit asas dalam pembentukan sahsiah dan nilai. Justeru, apabila keluarga kukuh, masyarakat akan teguh dan negara lebih berdaya tahan menghadapi cabaran sosial serta ekonomi," tambah beliau.

DKKN digarap sebagai kerangka dasar sosial yang komprehensif, berpaksikan nilai KASIH iaitu Kasih Sayang, Akhlak, Sihat dan Selamat, Ilmu serta Harmoni yang merangkumi keseluruhan kitaran hayat keluarga daripada perkahwinan seingga kepada penyelesaian konflik.
Menurut Perdana Menteri, pendekatan ini lantas inksklusif dan responsif terhadap realiti semasa, termasuk cabaran keluarga rentan agar tiada yang tercicir daripada usaha pemerkasaan.
"Seiring dengan itu, Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) diteruskan sebagai jaringan keselamatan sosial untuk melindungi isi rumah yang layak daripada musibah yang tidak dijangka.
"Walhasil, institusi kekeluargaan mesti dilindungi, malah diperkasa demi kestabilan sosial dan masa depan negara," ujarnya. - KitaReporters/Kenyataan Media
