Insan & Komuniti 12 Feb, 2026

NCD pandemik senyap! Kos rawatan cecah RM64.3b setahun! Wellness Hub jadi benteng awal usaha tangani!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this

PENINGKATAN kes penyakit tidak berjangkit (NCD) di Malaysia kini berada pada tahap membimbangkan apabila kos pengurusannya mencecah RM64.3 bilion setahun, sekali gus memberi tekanan besar kepada sistem kesihatan dan kewangan negara dalam jangka panjang.



Situasi itu menjadi isyarat jelas bahawa Malaysia tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada pendekatan rawatan penyakit semata-mata, sebaliknya memerlukan kaedah baru bagi memastikan NCD menjadi ancaman utama kepada masyarakat.

NCD yang sering digelar sebagai ‘pandemik senyap’ berpunca daripada masalah kolesterol tinggi, tekanan darah tinggi, kencing manis dan obesiti yang semakin menular dalam kalangan masyarakat.

Rekod Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencatatkan lebih 3.6 juta rakyat Malaysia kini menghidap diabetes dan beban kos rawatan serta kehilangan produktiviti mencecah RM64.3 bilion setahun.


Dr Dzulkefly Ahmad turut berjogging dan melakukan senamrobik bersama orang ramai dan pengunjung yang hadir sempena Hari Terbuka Wellness Hub Hulu Langat di Bandar Seri Putra, Bangi, Selangor.


Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata gaya hidup tidak sihat dan pemakanan tidak seimbang dikenal pasti sebagai faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan penyakit berkenaan.

Beliau berkata, Malaysia perlu beralih daripada pendekatan ‘sick care’ kepada strategi pencegahan yang lebih menyeluruh dan mampan.

"Kos mengurus penyakit NCD jauh lebih tinggi berbanding keseluruhan bajet Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tahun ini yang berjumlah RM46.52 bilion.

“Ini menunjukkan keperluan mendesak untuk mengubah landskap sistem kesihatan negara dengan memberi penekanan kepada pencegahan serta pemerkasaan rakyat,” katanya pada Majlis Perasmian dan Hari Terbuka Wellness Hub Hulu Langat di Bandar Seri Putra, Bangi, Selangor.

Turut hadir, Exco Kesihatan Awam Dan Alam Sekitar Negeri Selangor, Jamaliah Jamaluddin; Pengarah JKR Negeri Selangor, Ir. Shukri Ishak; Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan; dan Penyelaras DUN Sungai Ramal, Mazwan Johar.


Dr Dzulkefly (tiga dari kiri) menyaksikan sesi penyerahan replika simbolik perasmian Hari Terbuka Wellness Hub Hulu Langat di Bandar Seri Putra, Bangi, Selangor.


Sebelum ini, Dr Dzulkefly turut bersama berjogging bersama pengunjung dan orang ramai yang hadir ke perasmian itu di Klinik Bandar Seri Putra.

Menurutnya, reformasi sistem kesihatan perlu dilaksanakan bagi memastikan produktiviti tenaga kerja negara terus terpelihara pada masa depan.

"Antara usaha berkenaan adalah menerusi penubuhan pusat kecergasan komuniti seperti Wellness Hub Hulu Langat yang berfungsi sebagai platform pencegahan dan pendidikan kesihatan.

"Kerajaan berhasrat untuk ‘merakyatkan kesihatan’ dengan memperluas akses kepada perkhidmatan kesihatan agar rakyat lebih celik kesihatan.

"Langkah itu selaras dengan Dasar Literasi Kesihatan Kebangsaan yang menjadi panduan dalam melahirkan masyarakat berpengetahuan dan mampu membuat keputusan bijak demi kesejahteraan diri," katanya.


Pengunjung teruja dapat bergambar bersama Menteri Kesihatan ketika hadir merasmikan Hari Terbuka Wellness Hub Hulu Langat di Bandar Seri Putra, Bangi, Selangor.


Mengenai potensi Wellness Hub (Hab Kesejahteraan) kepada masyarakat, Dr Dzulkefly berkata, pusat kecergasan itu itu bukan sahaja memfokuskan kepada orang dewasa, malah turut berperanan menangani isu kritikal seperti bantut dan malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak.

"Ia boleh dilaksanakan menerusi perkhidmatan rundingan pemakanan bagi memperkasa ibu bapa dengan ilmu pemakanan seimbang bermula dari peringkat awal kehamilan hingga seribu hari pertama kehidupan anak.

“Intervensi bersasar ini penting bagi memastikan generasi masa depan membesar dengan sihat dan bebas daripada beban malnutrisi,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa pendekatan sains tingkah laku atau "behavioural insights" juga diterapkan bagi menggalakkan perubahan tabiat secara sukarela dalam kalangan rakyat.

“Pendekatan ini memberi pilihan dan bimbingan kepada masyarakat supaya gaya hidup sihat dapat diamalkan tanpa paksaan,” katanya.

"Wellness Hub Hulu Langat menunjukkan impak positif apabila menerima lebih 19,000 pengunjung sepanjang 2025. Jumlah itu meningkat hampir 23 peratus berbanding 2024, sekali gus mencerminkan penerimaan baik masyarakat terhadap inisiatif berkenaan," katanya.


Dr Dzulkefly meninjau dan bergambar dengan pengunjung yang melakukan saring kesihatan sempena Hari Terbuka Wellness Hub Hulu Langat di Bandar Seri Putra, Bangi, Selangor.


Pada peringkat nasional pula, katanya, sebanyak 38 Wellness Hub kini beroperasi di seluruh negara. Ia termasuk lima fasiliti baharu di Kuala Selangor, Muar, Sibuti di Miri, Muallim dan Sandakan.

"Wellness Hub turut menyokong agenda penuaan sihat menerusi pembangunan Pakej Warga Emas selaras Pelan Strategik KKM 2026–2030.

“Komuniti Hulu Langat diharap dapat memanfaatkan sepenuhnya kemudahan ini kerana pelaburan dalam kesejahteraan hari ini adalah jaminan kepada masa depan negara yang lebih sejahtera,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata, dalam kerangka Malaysia Madani, kesihatan bukan lagi isu sektor semata-mata, sebaliknya prasyarat kepada kemakmuran negara.

“Rakyat yang sihat adalah rakyat yang produktif, berdaya saing dan mampu menyumbang secara bermakna kepada pembangunan negara.  

"Sehingga kini, lebih dua juta rakyat telah menerima pakej perkhidmatan kesejahteraan kesihatan menerusi Wellness Hub yang dilaksanakan secara bersasar berdasarkan keperluan individu," katanya. 


Dr Dzulkefly bergambar bersama VIP dan pengunjung yang hadir sempena Hari Terbuka Wellness Hub Hulu Langat di Bandar Seri Putra, Bangi, Selangor.


Sementara itu, beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan konsisten kes diabetes di Hulu Langat. Ini berikutan sebanyak 2,847 kes baharu direkodkan dalam tempoh dua tahun, menuntut intervensi pencegahan lebih berkesan pada peringkat komuniti.

Statistik menunjukkan 1,461 kes diabetes baharu dicatatkan pada 2024, meningkat 5.24 peratus, manakala 2025 merekodkan tambahan 1,386 kes atau kenaikan 4.73 peratus.

“Secara keseluruhan, beban kumulatif penyakit ini meningkat kira-kira 10.2 peratus dalam tempoh berkenaan,” katanya.

"Trend berterusan itu mencerminkan keperluan mendesak untuk memperkukuh usaha pencegahan serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap faktor risiko penyakit NCD," katanya. - KitaReporters


11
13
0
18
0
You will be interested