Ia cuma solat tarawih 20 rakaat dan 3 witir tetapi mengambil masa 8 jam iaitu habis menjelang subuh. Ini kerana jemaah perlu menghabiskan kesemua 30 juzuk atau khatam al-Quran.
Sebahagian jemaah menunaikan solat tarawih sehingga khatam al-Quran
Kegiatan solat tarawih panjang ini sudah menjadi tradisi sejak 10 tahun lalu dilakukan di Masjid Agung Al-Fatah yang terletak di Pondok Pesantren (Ponpes) Al-Fatah, Temboro, Magetan, Jawa Timur.
Solat tarawih di masjid itu selain untuk pelajar (santri) dan kakitangan, juga terbuka untuk penduduk sekitar daerah termasuk dari daerah lain. Malah ada juga jemaah dari luar negara.
Bagi memimpin tarawih panjang ini pondok pesantren ini memberi kepercayaan sejumlah santri yang sudah hafal al-Quran. Setiap tarawih panjang, enam imam akan bertugas dengan masing-masing menghabiskan lima juzuk.

Para imam diberi minum kopi pahit bagi mengelak mengantuk. Sementara untuk menjaga suara, mereka diberi makan telur ayam kampung mentah.
Mereka akan bergilir menjadi imam setelah satu juz al-Quran diselesaikan.
Bagaimanapun jumlah jemaah yang dibenar menjalankan tarawih panjang hanya puluhan orang sahaja iaitu yang mempunyai ketahanan mental dan fizikal. Bacaannya ikut cara bacaan biasa.
Satu ruang khusus disediakan bagi jemaah yang ingin melakukan tarawih panjang ini. Sementara itu, pada bahagian lain terbuka untuk jemaah menjalankan tarawih ikut cara biasa.