Senyuman jelas terukir pada wajah 102 insan istimewa di bawah naungan Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) apabila mereka disantuni penuh kasih oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah sempena program Membeli Belah Hari Raya Aidilfitri di Parkson East Coast Mall, Kuantan, Pahang pada 28 Februari 2026.

Keberangkatan Tuanku bersama Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sutan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan anakanda Tuanku, membawa sinar kegembiraan kepada seluruh anak-anak YKM yang hadir dari seluruh negeri Pahang.
Turut bersama adalah Bekas Perdana Menteri merangkap Pengerusi YKM, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dan juga Ketua Pegawai Eksekutif YKM, Mohd Hafizuddin Mohd Ariff.
Ismail Sabri berkata program tahunan YKM ini memberi peluang kepada anak-anak ini untuk memilih sendiri kelengkapan pakaian sempena Syawal dan pastinya memberi pengalaman yang amat bermakna kepada mereka semua.
“Program Membeli Belah YKM membawa makna yang amat besar kepada anak-anak ini.
"Bagi sebahagian daripada mereka, ini bukan sekadar membeli baju raya, tetapi merasai kasih sayang dan perhatian yang cukup bermakna khususnya daripada Sultan Pahang dan anakanda Tuanku.
“Keprihatinan Tuanku juga mencerminkan teras institusi Diraja Pahang itu sendiri iaitu sifat keprihatinan dan kasih sayang seorang raja terhadap rakyatnya, terutama mereka yang kurang bernasib baik,” kata Ismail Sabri.
Program membeli belah ini turut dihadiri Dato’ Sabariah Saidan, ADUN Guai merangkap Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang.
Kesemua insan istimewa ini seterusnya diraikan pada Majlis Berbuka Puasa yang diadakan di Hotel Grand Darul Makmur bersama-sama Sultan Pahang dan Tengku Mahkota Pahang dan anakanda Tuanku.
“Majlis pada hari ini bukan sekadar majlis berbuka puasa. Ia adalah simbol kasih sayang, solidariti dan harapan.
"Anak-anak ini mungkin diuji dengan kehilangan yang besar, namun mereka tidak pernah kehilangan perhatian dan pembelaan.
"Kita mahu anak-anak ini juga menyambut Aidilfitri dengan gembira seperti rakan-rakan mereka,” tambah beliau lagi.
Menjelang perayaan Syawal kelak, YKM akan turut menyalurkan bantuan kepada 574 penerima bantuan YKM beragama Islam di seluruh negara dengan keseluruhan peruntukan sebanyak RM200,000.
Bantuan ini akan dikreditkan ke dalam akaun bank masing-masing bermula 11 Mac 2026.
Majlis Berbuka Puasa ini turut diserikan dengan kehadiran barisan Exco Kerajaan Negeri, Ahli Parlimen dan ADUN setempat serta kepemimpinan tertinggi negeri.
Program Membeli Belah Hari Raya Aidilfitri dan Majlis Berbuka Puasa ini juga turut mendapat kerjasama dan sokongan Kerajaan Negeri Pahang, agensi-agensi Kerajaan Negeri Pahang dan VFive Group Sdn Bhd. - KitaReporters/Kenyataan Media