Insan & Komuniti 27 Feb, 2026

Video| Untunglah! Keluar pagar je bau ayam percik! Bazar Ramadan depan rumah! Ada bilik untuk disewa?

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this

Suasana di Kampong Bharu, Kuala Lumpur setiap kali tibanya Ramadan sememangnya berbeza. Kawasan penempatan Melayu tradisi yang dikelilingi bangunan pencakar langit ibu kota itu berubah wajah menjadi antara tumpuan utama warga kota memburu juadah berbuka puasa. 

Di sinilah terletaknya Bazaar Ramadan Kampong Bharu, bazar yang sering disebut-sebut sebagai antara paling ‘legend’ dan meriah di Kuala Lumpur.



Deretan khemah putih dan biru tersusun panjang di kiri dan kanan jalan, aroma ayam percik, martabak panas, kuih-muih tradisional serta air balang berwarna-warni memenuhi ruang udara. Seawal jam 4 petang, orang ramai sudah mula berpusu-pusu mencari tempat parkir.

Menjelang 6 petang, laluan utama sesak dengan kenderaan dan pejalan kaki. Bagi kebanyakan pengunjung, kesesakan itu sudah menjadi ‘adat tahunan’. 

Namun bagi satu keluarga, situasinya jauh lebih unik, rumah mereka betul-betul di hadapan bazar tersebut.

Perkongsian seorang pengguna media sosial, Shey, dalam platform TikTok mencuri perhatian ramai. 

Menerusi video bertajuk “PART 2 pov bila rumah family depan bazaar tapi sekarang dah start kena bebel 😫”, Shey memaparkan realiti sebenar tinggal betul-betul di hadapan tapak bazar Ramadan.



Video tersebut memaparkan suasana orang ramai memenuhi jalan di hadapan rumah keluarganya. 

Pada awalnya, ramai menyangka situasi itu menyeronokkan, keluar rumah terus sampai bazar. Namun menurut Shey, apabila setiap hari berdepan kesesakan dan kebisingan, ‘heaven’ itu bertukar menjadi ujian kesabaran.

Dalam naratif video itu, dapat dilihat bagaimana laluan keluar masuk rumah mereka hampir sepenuhnya dikelilingi khemah dan pengunjung bazar. 



Rata-rata netizen teruja melihat kelebihan memiliki rumah di lokasi strategik tersebut. 

“Woow, jaga rumah elok-elok tahu, jangan jual. Kalau mampu baiki elokkan lagi apa yang patut,” tulis netizen tersebut.

Komen itu dibalas Shey dengan penjelasan yang agak matang. Katanya, ibunya hanya membaiki mana yang perlu sahaja.

“Bukan dari segi tak mampu, dia mampu tapi takut dia rugi kalau dah buat banyak benda. Kalau tiba-tiba kena ambil macam mana? Kata dia lah,” tulisnya, memberi bayangan kebimbangan tentang status tanah dan pembangunan masa depan.



Isu keluar masuk rumah pula menjadi persoalan utama warga maya. Seorang netizen mengakui pernah tertanya-tanya bagaimana penghuni rumah di situ hendak bergerak. 

“Hari tu tengok video orang pergi bazar. Tertanya-tanya juga macam mana rumah ni nak keluar atau balik kerja, sekali ada owner post video. Syoklah tak payah risaukan parking.”



Hakikatnya, kelebihan parkir memang tidak menjadi masalah buat keluarga Shey. Namun timbul pula soalan lebih kritikal daripada seorang netizen. 

“Ada jalan keluar tak tu? Kalau ada kecemasan nak keluar masuk dengan kereta?”

Jawapan Shey mencetuskan reaksi bercampur-campur. “Tak ada. Kalau kecemasan sangat memang lalu je dekat bazar tu hahahaha,” balasnya berseloroh, namun cukup untuk membuatkan ramai membayangkan situasi cemas terpaksa mengharungi lautan manusia dan gerai.



Dalam pada itu, ada juga netizen yang melihat dari sudut positif. “Pernah tak makanan tak habis kat bazar tu, dorang bagi awak waktu maghrib?”

Shey mengakui perkara itu memang berlaku. “Banyak kali dapat,” jawabnya ringkas, mengundang rasa cemburu ramai. Seorang lagi netizen berseloroh, “Pergi lambat silap-silap percuma.”

Realitinya, tinggal di hadapan bazar bukan sahaja tentang keseronokan membeli makanan panas setiap hari. Ia juga berkait rapat dengan kos sara hidup dan disiplin diri. 

Jika setiap petang juadah tersedia di depan mata, memang mudah ‘terbabas’ bajet Ramadan. 

Ada juga netizen berseloroh mahu menumpang bilik sehingga raya. “Best pula rumah depan bazar ni. Ada bilik kosong tak nak tumpang nanti, dah raya saya keluarlah.”


 



Kampong Bharu sendiri mempunyai nilai sejarah dan sentimental yang tinggi. 

Di celah pembangunan moden Kuala Lumpur, kawasan ini kekal dengan identiti Melayu tradisional. Rumah-rumah kayu lama dan lot tanah pusaka masih berdiri megah, menjadi simbol warisan yang sukar dicari ganti.

Tidak hairanlah ada netizen yang berpesan agar rumah tersebut dijaga baik-baik dan tidak dijual. Dalam arus pembangunan pesat, kedudukan strategik sebegitu boleh mencecah nilai tinggi. 

Namun bagi pemilik asal, nilai sentimental kadangkala jauh lebih besar daripada nilai komersial. - KitaReporters


6
7
0
4
0
You will be interested