Walau pun menghadapi cabaran pada peringkat awal untuk memperoleh dana mencukupi bagi memulakan pembinaan Masjid Negara, cabaran itu berjaya diharungi. Kini masjid kebanggan rakyat Malaysia itu sudah 63 tahun berdiri di tengah bandar raya Kuala Lumpur, melambangkan syiar Islam sesuai dengan kedudukannya sebagai agama Persekutuan.

Masjid Negara tersergam indah di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur bagi melambangkan ketinggian syiar Islam serta menjadi kebanggaan Malaysia dan rakyatnya.
Masjid terbesar dan tercantik pada era 60-an itu diilhamkan oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Bagi Tunku, pembinaan sebuah masjid sebagai masjid rasmi negara adalah penting sempena negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Ia sebagai simbol perpaduan, kesyukuran, kemerdekaan dan keagungan Islam.
Idea Tunku ini dibawa ke dalam mesyuarat Majlis Eksekutif Persekutuan pada Julai 1957 dan diluluskan.
Pembinaan masjid dimulakan pada 1963. Peletakan batu asas disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Ketiga, Tuanku Syed Putra Jamalullail, pada 27 Februari 1963.

Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan peletakan batu asas pembinaan Masjid Negara pada 27 Februari 1963 serta merasmikan masjid berkenaan pada 27 Ogos 1965.

Tuanku Syed Putra berkenan meletakkan batu asas pembinaan Masjid Negara pada 27 Februari 1963.

Tuanku Syed Putra Jamalullail menekan alat kawalan radio ketika merasmikan masjid Negara Kuala Lumpur pada 27 Ogos 1965. Di kiri perdana menteri, Tunku Abdul Rahman. Di kanan, timbalan perdana menteri, Tun Abdul Razak.
Arkitek bangunan ialah arkitek Jabatan Kerja Raya (JKR), terdiri daripada Hisham Al-Bakri, Baharuddin Kassim dan Howard Ashley.
Masjid berkonsep
moden menggabungkan struktur bumbung payung. Bumbung utama berbentuk terbuka,
dengan menara setinggi 73 meter berbentuk payung kuncup.
Pembinannya
menjadi mercu tanda pertama pada zamannya di Asia Tenggara dan kini merupakan
salah satu warisan negara yang penting.
Siap dibina pada 1965, perasmian disempurnakan oleh Tuanku Syed Putra pada 27 Ogos 1965. Waktu ini masjid mampu menampung sehingga 15,000 jemaah berbanding asalnya kira-kira 8,000 jemaah.

Masjid Negara berkonsep payung terbuka dan menara payung menguncup ketika dalam pembinaan.
Menyorot pembinaan Masjid Negara, ia tidak mudah, tidak lancar. Kerana itu pembinaan bermula agak lewat, hanya enam tahun selepas kemerdekaan walau pun diluluskan pada 1957.
Isu yang timbul ialah dana tidak mencukupi untuk membiayai projek.
Itulah kekangan utama dihadapi, mencari dana RM10 juta membiayai kos keseluruhan pembinaan masjid tersebut. Jumlah tersebut mungkin tidak banyak hari ini untuk membina masjid, tetapi pada tahun 60-an ia adalah angka besar.
Walaupun
kerajaan telah memberi peruntukan, ditambah dengan bantuan kerajaan Brunei, ia
masih belum mencukupi. Jumlah terkumpul hanya RM7 juta, masih kekurangan RM3
juta.
Untuk memperoleh dana agar pembinaan masjid boleh segera dijalankan, Tunku telah mengambil inisiatif melancarkan kempen mengumpul sumbangan daripada orang ramai.

Tunku Abdul Rahman (berbaju Melayu bersamping) melawat tapak pembinaan Masjid Negara. Turut kelihatan Tun Abdul Razak (depan, dua dari kanan).
Sejajar dengan konsep ‘kepimpinan melalui teladan’, Tunku sendiri tanpa rasa segan atau kekok turun ke kedai kopi, pasar malam sehinggalah ke kebun-kebun dalam usaha menggalakkan rakyat menyumbang kepada pembinaan masjid.
Usaha ini berhasil. Sambutan rakyat sangat menggalakkan.
Mereka beramai-ramai memberi sumbangan apa sahaja yang termampu.
Ada yang
memberi sumbangan lima sen, 10 sen dan satu ringgit. Sumbangan paling besar
ketika itu ialah 10 ringgit. Namun kesemua sumbangan sangat bermakna dan
bernilai.
Akhirnya
dana yang diperlukan berjaya dikumpul. Pada 1963 bermulalah pembinaan di atas
seluas lima hektar di tapak Masjid Negara sekarang di Jalan Perdana, Tasik
Perdana, Kuala Lumpur. Bangunan bersejarah berhampiran ialah Stesen Kereta Api
Kuala Lumpur.
Yang
menarik, sumbangan bukan sahaja diterima daripada orang Islam, tetapi juga
Kristian, Buddha dan Hindu.
Siap pembinaan,
Tuanku Syed Putra Jamalullail merasmikan masjid pada hari Jumaat 27 Ogos 1965. Hari
Jumaat dipilih kerana ia penghulu hari. Serentak itu solat Jumaat didirikan.
Pada hari perasmian itu dianggarkan 10,000 jemaah hadir untuk menyaksikan acara gemilang dan bersejarah itu walau pun ruang solat utama ketika itu hanya mampu menampung 8,000 orang.

Tunku Abdul Rahman mendengar taklimat dan meninjau tapak pembinaan Masjid Negara dengan diiringi Tun Abdul Razak (kanan) dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan.
Pada mulanya, kerajaan-kerajaan negeri Tanah Melayu pada 1958 mencadangkan masjid tersebut dinamakan sempena nama Tunku. Ini sebagai menghargai usaha beliau memperjuangkan kemerdekaan tanah air dan mencetuskan idea mendirikan masjid.
Namun Tunku
dengan rendah diri menolak cadangan tersebut. Sebaliknya beliau memberi nama masjid
itu Masjid Negara, kebanggan rakyat dan negara.
Usaha gigih
Tunku dan orang Islam yang terlibat dengan pembinaan Masjid Negara kekal dalam
ingatan dan terukir dalam lipatan sejarah. Semoga Allah mencucuri rahmat dan
mengampuni dosa Tunku serta mereka yang telah pergi.
Hari ini,
negara berbangga dengan Masjid Negara. Tetapi jangan kepada lupa mereka yang
berjasa mencetuskan idea dan melaksanakannya menjadi realiti.
Di samping menjadi tempat beribadat warga kota, Masjid Negara ialah antara mercu tanda terkenal di ibu negara.
Ia menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara untuk menyaksikan sendiri masjid hebat itu serta mengambil kesempatan bersolat di dalamnya. - KitaReporters
Kredit foto: FB FWF International World Solutions - Drone Malaysia