Insan & Komuniti 23 Feb, 2026

Video| Ada hantu dalam bulan puasa? Misteri subuh Ramadan! CCTV rakam sesuatu! Netizen belah bagi!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this

Dalam era teknologi serba moden hari ini, kamera litar tertutup atau CCTV bukan lagi sekadar alat keselamatan, malah menjadi ‘saksi bisu’ kepada pelbagai kejadian, daripada jenayah, kemalangan, hinggalah detik-detik misteri yang mencetuskan persoalan dalam kalangan masyarakat.



CCTV berfungsi merakam pergerakan menggunakan sensor gerakan (motion detection) dan sistem pengimejan digital. Ia direka untuk mengesan perubahan piksel, cahaya atau pergerakan objek dalam kawasan liputan kamera. Namun, sejak kebelakangan ini, rakaman CCTV juga sering dikaitkan dengan dakwaan merakam ‘entiti misteri’, sekali gus menimbulkan perdebatan antara kepercayaan mistik dan penjelasan saintifik.

Persoalannya, benarkah CCTV mampu merakam entiti ghaib, atau adakah ia sekadar ilusi optik dan kesan faktor fizikal seperti habuk, serangga atau sawang labah-labah?

Isu ini hangat diperkata selepas satu video CCTV yang didakwa merakam objek misteri pada waktu subuh hari kedua Ramadan tular dalam media sosial.



Menurut akaun Threads dikenali sebagai King_of_pahat, rakaman tersebut diperoleh daripada seorang rakannya dan didakwa berlaku di Kampung Pedada Kuning, Peserai Kecil, Batu Pahat, Johor.

“Sumpah weh, kejadian subuh puasa kedua! Video CCTV ni saya dapat daripada seorang sahabat. 

"Kejadian berlaku di kampung Pedada Kuning Peserai Kecil. Korang rasa apa benda weh? Siapa pernah lalui, cuba komen apa benda ni,” tulisnya.

Rakaman tersebut menunjukkan satu objek kecil yang kelihatan bergerak-gerak di hadapan kamera, malah sistem CCTV berkenaan turut mengesan pergerakan tersebut sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi.



Menjengah dalam ruangan komen, rata-rata netizen memberikan pandangan berbeza, ada yang melihatnya sebagai fenomena biasa, manakala segelintir mengaitkannya dengan unsur mistik. 

“Sarang labah-labah dekat sangat dengan kanta, angin tiup dia bergeraklah.”

Pandangan itu turut disokong oleh beberapa netizen lain yang mendakwa sebagai pengguna CCTV berpengalaman.

“Sebagai seorang pengguna CCTV, itu hanyalah sawang yang melekat pada kanta kamera. Tiada unsur mistik pun.”



Seorang lagi netizen yang mendakwa mempunyai pengalaman 15 tahun bekerja sebagai pengawal keselamatan memantau CCTV, turut memberikan penjelasan teknikal. 

“Itu adalah benda asing, habuk yang melekat pada sawang di depan kanta kamera. Dia bergerak sana sini sebab tiup angin. Aku dah biasa hadap benda macam ni.”

Malah, ada netizen turut menjelaskan secara lebih terperinci tentang fungsi sistem pengesanan gerakan CCTV.

“Sawang saja tu. Lepas tu kena tiup angin. Jadi, CCTV bergerak sebab detect motion. Off saja motion tracking atau kurangkan sensitivity motion detection

"Lagi satu pilihan boleh off motion detection dan guna human detection saja untuk hasil lebih tepat.”



Seorang lagi netizen turut berkongsi pengalaman hampir sama.

“Aku pernah kena CCTV macam ni. Ingat hantu main sorok-sorok, akhir sekali sarang labah-labah bergayut depan kamera.”



Namun begitu, tidak semua netizen bersetuju dengan penjelasan tersebut. Ada netizen mengakui rakaman tersebut kelihatan agak berbeza berbanding gangguan biasa. 

“Dalam rumah adik ipar aku ada CCTV. Masa dia tiga hari keluar pergi Cameron, tiba-tiba naik notifikasi kesan pergerakan dalam rumah. Memang nampak macam benda bergerak. Ramai je tak percaya sebab tak kena dekat diri sendiri.”

Malah, ada juga netizen mengaitkan kejadian itu dengan kepercayaan lama masyarakat.

“Jangan jemur pakaian waktu malam, pakaian baby pula tu. Nanti anak kena gangguan.”

Seorang lagi netizen pula mempertikai teori sawang labah-labah kerana menurutnya sistem CCTV hanya merakam apabila ada pergerakan.

“CCTV tu ada sensor automatic, setiap kali pergerakan dia akan rakam. Sawang celah mana bergerak-gerak waktu malam?”



Namun persoalannya, adakah syaitan boleh muncul pada bulan Ramadan kerana ramai percaya makhluk ghaib itu telah diikat. 

Merujuk penjelasan daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan melalui artikel Irsyad al-Hadith, terdapat hadis sahih riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim yang menyebut: â€œApabila datangnya bulan Ramadan, dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka, dan dibelenggu syaitan-syaitan.”

Namun, para ulama menjelaskan bahawa maksud ‘dibelenggu syaitan’ bukan bermakna semua syaitan tiada langsung atau tidak boleh menggoda manusia.

Sebaliknya, menurut penjelasan ulama, terdapat beberapa tafsiran antaranya:

  • Pertama: Syaitan dibelenggu dalam erti kata kekuatan mereka menjadi lemah, bukan dihapuskan sepenuhnya.
  • Kedua: Hanya syaitan tertentu seperti syaitan yang besar (maradah al-syayatin) yang dibelenggu, manakala syaitan lain masih wujud.
  • Ketiga: Gangguan masih boleh berlaku disebabkan faktor lain seperti nafsu manusia sendiri, jin, atau kebiasaan psikologi dan persekitaran.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut menjelaskan bahawa perasaan takut, was-was atau gangguan juga boleh berpunca daripada imaginasi, emosi, atau salah tafsir terhadap sesuatu fenomena.

Ini bermakna, tidak semua kejadian aneh boleh terus dikaitkan dengan syaitan, apatah lagi tanpa bukti yang jelas.



Secara teknikal, objek kecil seperti habuk, serangga atau sawang labah-labah yang berada terlalu dekat dengan lensa kamera boleh kelihatan besar dan bergerak secara tidak normal dalam rakaman.

Ini kerana kamera CCTV menggunakan fokus tetap, dan objek yang terlalu dekat dengan lensa akan kelihatan kabur, besar, dan kadangkala ‘melayang’ akibat kesan perspektif.

Tambahan pula, sensor gerakan CCTV akan tetap mengesan perubahan piksel walaupun pergerakan itu hanya melibatkan objek kecil seperti habuk atau sawang.

Fenomena ini dikenali dalam kalangan pakar keselamatan sebagai false motion detection, iaitu pengesanan pergerakan palsu yang sebenarnya tidak melibatkan manusia atau objek besar.

Kesimpulannya, walaupun rakaman CCTV tersebut mencetuskan pelbagai spekulasi, kebanyakan penjelasan teknikal dan pengalaman pengguna menunjukkan ia lebih cenderung kepada fenomena biasa seperti sawang, habuk atau gangguan visual. - KitaReporters


Pakaian di ampain yang tidak diangkat selepas waktu maghrib didakwa boleh mengundang gangguan makhluk halus.

9
10
0
6
0
You will be interested