Insan & Komuniti 23 Feb, 2026

Diari Mama Masscom| Bantu caregiver! Keluarga pesakit skizofrenia tak boleh terus berjuang sendirian!

@hariyati ariffin
Mantan Pensyarah Kanan , dalam bidang Kewartawanan, Penyiaran dan Komunikasi di UiTM Shah Alam.

Share this

Kes pesakit skizofrenia mencederakan ahli keluarga menggemparkan masyarakat baru-baru ini. Namun di sebalik tajuk berita yang menakutkan, terdapat satu realiti yang jarang diperkata, iaitu penderitaan keluarga yang menjaga pesakit skizofrenia dalam diam. 



Mereka menderita bertahun-tahun lamanya tanpa sokongan sistem yang mencukupi. 

Hakikatnya, keluarga bukan sekadar penjaga. Mereka juga adalah sistem rawatan tidak rasmi negara, yang hadir tanpa latihan, tanpa elaun, dan tanpa ruang untuk berehat.

Apabila tragedi berlaku, masyarakat mudah menyalahkan keluarga. Sedangkan tragedi sering terjadi kerana kegagalan sistem sokongan komuniti dan pihak pihak berkuasa,  bukannya kegagalan pengorbanan dan kasih sayang keluarga semata mata. 

Statistik menunjukkan krisis masalah mental di negara kita semakin serius. 

Hampir 29.2% orang dewasa Malaysia (sekitar 4.2 juta) mengalami masalah kesihatan mental.  Dalam kalangan kanak-kanak dan remaja pula meningkat daripada 7.9% kepada 16.5% dalam beberapa tahun.

Pada masa yang sama, Malaysia mempunyai hospital, klinik dan pakar psikiatri, namun jurang terbesar ialah sokongan kepada keluarga. 

Walaupun terdapat ratusan klinik dan hospital menyediakan rawatan mental kepada pesakit, stigma dan kekangan daripada komuniti menyebabkan ramai pesakit lewat mendapatkan rawatan dan keluarga menanggung beban sendirian.

Keluarga menghadapi cabaran berikut, antaranya keletihan emosi kronik, risiko keselamatan di rumah, tekanan kewangan akibat kehilangan pekerjaan, caregiver (penjaga pesakit) sukar mengurus pesakit yang tidak patuh ubat, trauma psikologi caregiver sendiri. 

Justru tanpa intervensi komuniti yang kukuh, keluarga pesakit akan hidup dalam keadaan berjaga-jaga dan kebimbangan sepanjang masa dan ini menambah tekanan dalam hidup mereka. 



Oleh demikian, cadangan dasar yang pernah diutarakan oleh NGO Kesihatan Mental Marma (Malaysia Relief Mind Association) ialah penubuhan pusat rehabilitasi komuniti khusus skizofrenia. kerana pesakit skizofrenia memerlukan rehabilitasi berterusan, bukan rawatan episodik di hospital..

Pusat ini juga perlu memberi: Latihan kemahiran hidup, pemantauan ubat, terapi sosial, program rakan pulih, dan intervensi relapse awal.  

MaRMa mencadangkan model rehabilitasi berfokus pemulihan fungsi dan integrasi sosial. Caregiver secara amnya juga pesakit yang menderita secara senyap. 

Kerajaan negeri di tempat masing-masing boleh mewujudkan pusat rehat sementara pesakit, program terapi trauma caregiver, juga beri sokongan psikologi berkala. Langkah ini mampu mencegah keletihan melampau yang boleh membawa kepada konflik keluarga dan tragedi.

Keperluan pasukan respons krisis mental bergerak (mobile crisis team) di mana ramai keluarga tidak tahu ke mana perlu hubungi apabila pesakit mengalami episod agresif. 

Pasukan respons peringkat komuniti boleh memberi intervensi awal di rumah mengurangkan keperluan kemasukan kecemasan melindungi keselamatan keluarga dan pesakit

Elaun dan perlindungan sosial untuk caregiver juga penting kerana penjagaan pesakit skizofrenia sering menyebabkan caregiver hilang peluang bekerja. 

Elaun khusus caregiver mental illness (penjaga pesakit penyakit mental) boleh mengurangkan tekanan kewangan,  meningkatkan pematuhan rawatan pesakit dan mengurangkan risiko pengabaian tidak sengaja.



Di samping itu, pendidikan masyarakat dan pengurangan stigma sangat perlu kerana stigma negatif terhadap pesakit mental menyebabkan keluarga menyembunyikan penyakit dan pesakit sehingga keadaan menjadi kritikal. 

Kempen awam perlu menekankan bahawa skizofrenia adalah penyakit perubatan rawatan dan rehabilitasi boleh membantu pemulihan. Keluarga memerlukan empati, bukan penghakiman.

Kesimpulannya tiada ibu bapa membesarkan anak untuk hidup dalam ketakutan terhadap anak sendiri. 

Namun tanpa sistem sokongan yang kukuh, ramai keluarga pesakit skizofrenia terpaksa berjuang dalam kebimbangan dan ketakutan serta akan berhadapan dengan masa depan yang gelap.

Jika negara serius menangani kesihatan mental, fokus tidak boleh hanya kepada pesakit, tetapi juga kepada keluarga yang menjaga mereka setiap hari. 

Pencegahan tragedi bermula dengan sokongan komuniti, rehabilitasi berterusan dan dasar yang memahami realiti kehidupan keluarga pesakit.

Keluarga pesakit skizofrenia tidak meminta simpati atau bantuan yang berlebihan. Mereka hanya memerlukan sistem yang memahami, dan bersedia sebelum tragedi berlaku, bukan selepasnya. 

Jangan nanti, seperti kata pepatah " sudah terantuk baru terngadah". - KitaReporters



9
10
0
4
0
You will be interested