Insan & Komuniti 21 Feb, 2026

Video| Wahai peniaga Ramadan! Berniagalah dengan jujur! Beli pengat pisang tapi dapat pengat cucur!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this

Setiap kali tibanya bulan Ramadan di Malaysia, bazar Ramadan menjadi lokasi wajib dikunjungi umat Islam yang ingin mencari juadah berbuka puasa. 

Suasana meriah dengan pelbagai pilihan makanan tradisional dan moden bukan sahaja membangkitkan selera, malah menghidupkan semangat kebersamaan dalam masyarakat. 



Namun di sebalik kemeriahan ini, setiap tahun pasti timbul juga isu yang mencalar keindahan bulan mulia tersebut apabila ada segelintir peniaga yang didakwa tidak jujur dalam perniagaan mereka. 

Pada Ramadan 2026, satu perkongsian oleh seorang pengguna media sosial dikenali sebagai Nadiera.zi dalam platform Threads telah mencetuskan perhatian ramai apabila dia mendakwa membeli pengat pisang di sebuah bazar Ramadan, namun kecewa apabila juadah yang dibeli tidak seperti yang diharapkan.

Dalam perkongsian tersebut, Nadiera.zi meluahkan rasa kecewa dengan nada bersahaja tetapi sarat dengan sindiran.  

Menurutnya, dia membeli makanan yang dijual sebagai ‘pengat pisang’, namun apabila tiba waktu berbuka dan ingin menikmatinya, dia mendapati tiada langsung isi pisang seperti yang dijangkakan.  



“Akak jual tu cakap pengat pisang, masa aku nak makan pisang tiada, tepung semata. Aku rasa aku tak beli cucur tahu. Rupa macam cucur pun ada. Tolong berniaga jujur,” tulisnya.

Luahan tersebut jelas menggambarkan perasaan teruja yang bertukar menjadi kekecewaan. 

Bagi kebanyakan orang, pengat pisang merupakan antara hidangan klasik yang dinanti-nantikan ketika Ramadan. Gabungan rasa manis santan dan pisang yang lembut sering menjadi pembuka selera selepas seharian berpuasa. Namun, pengalaman yang dialami oleh wanita ini jauh berbeza daripada jangkaannya. 

Menariknya, Nadiera.zi turut berkongsi bahawa dia sendiri pada mulanya keliru dengan apa yang dibeli. 

“Kita keliru juga tadi, pisang ke apa benda weh,” katanya lagi dalam ruangan komen.



Perkongsian tersebut pantas menarik perhatian netizen yang rata-ratanya turut meluahkan rasa kecewa dan tidak bersetuju dengan tindakan peniaga yang didakwa tidak jujur itu.

“Pengat pisang kepal agaknya. Aduh, macam-macamlah orang sekarang nak menjual,” tulis salah seorang netizen.

Komen tersebut mengundang reaksi lucu tetapi dalam masa sama menyindir situasi yang dianggap tidak masuk akal itu.



Namun, bagi sesetengah netizen, isu ini bukan sekadar perkara kecil, sebaliknya melibatkan soal amanah dan keberkatan dalam perniagaan, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang penuh dengan nilai spiritual. 

“Keji sungguh siapa yang buat macam ni. Sebelum buka puasa mesti dah terbayang-bayang kan rasa bubur pisang tu. Sekali makan dapat tepung,” komennya geram.

Komen itu menggambarkan bagaimana harapan seseorang yang berpuasa sepanjang hari untuk menikmati juadah kegemaran boleh bertukar menjadi kekecewaan apabila makanan yang dibeli tidak menepati jangkaan.



Lebih tegas lagi, seorang netizen mempersoal sikap segelintir peniaga yang sanggup menipu demi keuntungan. 

“Apa eh perasaan orang yang niaga macam ni? Tak takut ke bila menipu dalam meniaga, tak takut ke duit tu jadi hasil yang tak berkat? 

"Bila dipersoal nanti agak-agak apa jawapan nak bagi kat Allah? Dahlah bulan puasa, menipu pula,” soalnya sinis.

Komen tersebut jelas mencerminkan sentimen ramai yang melihat kejujuran sebagai asas penting dalam perniagaan, apatah lagi ketika Ramadan yang menuntut umat Islam meningkatkan amalan baik dan menjauhi perkara yang dilarang.



Sementara itu, Nadiera.zi turut menjelaskan bahawa dia membeli juadah tersebut kerana benar-benar teringin untuk menikmati pengat pisang. 

“Tak, dia kata pengat pisang. Saya beli sebab memang teringin pengat pisang,” jelasnya.

Fenomena sebegini bukanlah sesuatu yang baharu. 

Setiap tahun, pelbagai kisah tular berkaitan makanan bazar Ramadan yang tidak menepati jangkaan sama ada dari segi rasa, kualiti mahupun kandungan sebenar makanan yang dijual. 

Ada yang mengadu kuih terlalu keras, lauk basi, malah ada juga yang mendakwa makanan tidak dimasak sempurna.

Walaupun tidak semua peniaga bersikap sedemikian, tindakan segelintir individu yang tidak bertanggungjawab ini boleh menjejaskan kepercayaan orang ramai terhadap peniaga bazar secara keseluruhan. - KitaReporters



15
11
0
13
0
You will be interested