Insan & Komuniti 20 Feb, 2026

Masjid mesra musafir lalu! Ada tempat rehat! Boleh juga jamu selera! Moh ke Masjid Al-Hidayah, Temoh!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

BAGI musafir lalu, harapan mereka alangkah baiknya jika ada tempat berteduh melepas lelah. Lebih menarik jika tempat itu bukan sekadar untuk berehat tetapi disediakan kemudahan menjamu selera.


 

Masjid Al-Hidayah, Kampung Batu 3, Temoh, Perak, yang menjadi masjid mesra musafir lalu.


Untuk itu, hentian Rawat dan Rehat (RnR) di lebuh raya adalah tempat yang selalunya disinggahi. Musafir boleh berehat, bersolat dan makan minum sebelum menyambung perjalanan. Namun makan minum perlu dibayar.

Jika perjalanan melalui jalan lama atau jalan persekutuan, boleh berhenti di masjid atau surau. Berehat dan tunaikan solat. 

Untuk makan minum, terdapat banyak warung dan restoran di sepanjang perjalanan. Menjamu selera perlu dibayar.


Kain rentang 'Hentian Mesra Musafir' di Masjid Al-Hidayah melambai musafir untuk singgah solat, berehat dan menjamu selera.


Namun di Masjid Al-Hidayah, Kampung Batu 3, Temoh, Perak, situasinya berbeza. Masjid ini sangat mesra musafir. Konsepnya berbeza dengan masjid lain.

Dengan kain rentang bertulis ‘Hentian Mesra Musafir’, musafir lalu yang singgah bukan sahaja boleh bersolat dan berehat, tetapi disediakan pula dengan hidangan makanan.

Pendek kata hentian musafir masjid ini bagaikan RnR di lebuh raya. 

Namun yang istimewa makanan yang disediakan adalah percuma kepada semua musafir, tanpa mengira agama. Layanan Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid juga begitu baik.


Deretan makanan yang disediakan oleh Masjid Al-Hidayah untuk dinikmati musafir lalu yang singgah.


Sambil menjamu selera jika ingin bersedekah kemudahan QR disediakan selain tabung masjid.


Masakan dan lauk pauk yang disediakan tentunya masakan kampung cita rasa tempatan yang jarang dijumpa di bandar besar seperti Kuala Lumpur.

Cuma penyediaan makanan ini bukan setiap hari. Biasanya makanan disediakan pada hari Jumaat hingga Ahad.

Tetapi yang pasti, pada cuti sekolah atau cuti umum, makanan disediakan. Masanya dari pukul 1 petang hingga 10 malam.


Ruang solat Masjid Al-Hidayah kemas dan bersih memberi keselesaan kepada jemaah.


Untuk sampai ke Masjid Al-Hidayah jika melalui Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), boleh keluar melalui persimpangan Gopeng, kemudian masuk ke jalan lama (jalan persekutuan).

Jika dari utara ke Kuala Lumpur, selepas keluar di persimpangan Gopeng, dan sebelum sampai ke pekan Tapah, akan jumpa pekan Temoh. Di sinilah terletaknya masjid tersebut. 

Pekan ini juga boleh diakses melalui laluan Persekutuan 1 atau jalan lama Ipoh-Kuala Lumpur. 

Memandu melalui jalan lama memang menyeronokkan. Pelbagai pemandangan sekeliling menyegarkan mata memandang. Walau pun bukan lebuh raya, kedaaan jalan baik.

Pemandu akan lebih berhemah memandu berbanding memandu di lebuh raya boleh mengantuk kerana jalan lurus. Perjalanan akan merentasi banyak pekan kecil atau kawasan kampung, perlu berhati-hati.

Dalam perjalanan melalui jalan lama ini, jika dari utara atau sebaliknya, pandulah melalui jalan lama untuk ke Masjid Al-Hidayah. Sambil itu boleh menikmati pemandangan indah negeri Perak dan pekan Temoh khasnya.


Pekan kecil Temoh terletak di antara Kampar dan Tapah, Perak, melalui jalan persekutuan (jalan lama).


Untuk rekod, pekan kecil Temoh berada dalam Daerah Batang Padang, Perak. 

Ia terletak di antara dua bandar, iaitu Kampar di sebelah utara dan Tapah di sebelah selatan.  Temoh terletak betul-betul di tengah laluan ini. Pekan paling hampir dengannya ialah Chenderiang.

Temoh merupakan sebuah pusat perlombongan timah yang pesat pada kurun ke-19. Kini ia lebih dikenali sebagai sebuah pekan yang tenang aman damai di laluan utama Kampar-Tapah. 

Datanglah melawat. - KitaReporters

11
12
0
13
0
You will be interested