Kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina bertukar tragedi apabila seorang pemuda putus kaki kiri akibat letupan bunga api di halaman rumahnya pada malam hari pertama Tahun Baharu Cina.

Ketua Polis Daerah Segamat,
Superintendan Mohd Jumazanzahir Chek Ismail ketika dihubungi mengesahkan kejadian
tersebut yang berlaku ketika mangsa yang berusia 30-an bermain bunga api berkenaan
pada pukul 12.30 tengah malam pada 17 Februari 2026.
“Kejadian berlaku di kawasan taman perumahan di Taman Damai Jaya, Bukit Siput di Segamat.
"Hasil siasatan mendapati mangsa dipercayai bermain bunga api jenis meletup di hadapan rumahnya sempena Tahun Baharu Cina.
"Bunga api tersebut meletup dan mangsa cedera parah sehingga kudung kaki kiri. Mangsa kemudian dikejarkan ke Zon Merah Hospital Segamat untuk menerima rawatan,"katanya mencerita apa yang berlaku.
Sementara itu, seorang pegawai perubatan mengesahkan bahawa mangsa putus kaki kiri dari bawah lutut dan kini dalam keadaan stabil.

Kes disiasat bawah Seksyen 6 dan 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntuk hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Menurut Mohd Jumazanzahir, hukuman itu bagi kesalahan menyebabkan letupan yang membahayakan nyawa dan memiliki bahan letupan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat 07-9324222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Sehubungan itu, pihak polis menasihatkan orang ramai agar bermain bunga api yang dibenarkan di kawasan lapang di samping mengamalkan langkah-langkah keselamatan.
Kejadian ini sewajarnya menjadi peringatan yang berguna kepada semua lebih-lebih lagi Hari Raya Aidilfitri juga bakal menjelang tiba pada Mac 2026 ini. - KitaReporters
