Insan & Komuniti 22 Feb, 2026

Ambil peduli! Bekas imam gigih buat kerja kebajikan! Bersama KESUMA'24 bantu keluarga Orang Asli!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Walaupun sudah meninggalkan jawatan sebagai imam di Masjid Kariah Batu 3, Jalan Bangi, Semenyih, Selangor, sejak 17 tahun lalu, Husrin Amat, 80 tahun, masih gigih dalam kerja amal kebajikan bagi meringankan bebanan mereka yang memerlukan bantuan sokongan meneruskan kehidupan.


Husrin Amat (kanan) memberi penerangan ringkas kepada Tok Batin Razlan mengenai sumbangan yang diberikan itu.


Menurut beliau, membuat kerja amal kebajikan itu tiada kesudahannya, malah dalam Islam melakukan tugas berkenaan dianggap sebagai satu ibadah mulia, tuntutan agama serta cabang iman yang sangat digalakkan untuk mendapat keredaan Allah SWT dan mencapai kejayaan dunia juga akhirat.

Jelasnya, kerja amal kebajikan itu membabitkan konsep tolong-menolong, kesukarelawan dan tanggungjawab sosial yang membantu membentuk masyarakat penyayang, bersatu serta harmoni apatah lagi apabila hidup dalam satu komuniti pelbagai kaum.


Antara barangan asas keperluan harian yang berjaya dikumpul untuk diagihkan kepada keluarga Orang Asli di Kampung Tohor, Negeri Sembilan.


Dengan semangat sedemikian yang tidak pernah luntur dalam dirinya, Husrin membina kolaboratif bersama Kelab Sukarelawan Mahmudah Malaysia (KESUMA’24) untuk turun padang bagi membantu 10 keluarga Orang Asli Kampung Tohor di Jelebu, Negeri Sembilan pada 1 Februari 2026.

Menurut Husrin, beliau mendapat maklumat mengenai kisah keluarga Orang Asli berkenaan yang amat memerlukan bantuan daripada anak saudaranya, Naim Bugis yang merupakan peraih hasil kebun dan selalu berulang alik ke kampung itu bagi membeli pelbagai hasil tanaman penduduk.

Tambahnya, anak saudaranya itu memaklumkan keluarga terbabit perlu dibantu termasuk dari segi barangan asas keperluan harian serta pakaian terpakai terutama baju, seluar, kain selimut, telekung, cadar dan sebagainya untuk keselesaan menjalani kehidupan harian.


Husrin menyerahkan sumbangan beras kepada seorang ketua keluarga Orang Asli.


Rentetan itu, menurutnya, dia menghubungi dermawan dan maklumkan kepada kenalan serta penduduk mengenai hasratnya mengumpul pelbagai barangan termasuk pakaian terpakai untuk diagihkan kepada keluarga Orang Asli itu.

“Untuk menyempurnakan kerja amal kebajikan ini saya berjaya mengumpul pakaian terpakai, telekung, kain selimut, cadar dan bermacam lagi dalam tempoh tidak sampai seminggu, manakala Ahli Jawatankuasa KESUMA’24 berjaya mendapatkan sumbangan barangan asas keperluan harian daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“30 kampit beras seberat lima kilogram, gula, tepung gandum, minyak masak dan sebagainya berjaya dikumpul KESUMA’24 untuk diagihkan kepada keluarga Orang Asli berkenaan yang boleh dimanfaatkan sepanjang Ramadan,” ujarnya lagi.


Husrin (tengah) dan AJK KESUMA'24 bersama keluarga Orang Asli yang menerima sumbangan beras dan  barangan asas keperluan harian termasuk pakaian terpakai.


Bendahari KESUMA’24, Aizam Ambak, berkata kelab itu terpanggil untuk turun padang bersama Husrin sebaik sahaja dimaklumkan mengenai masalah yang menimpa keluarga Orang Asli terbabit bagi melengkapan kehidupan harian.

Menurutnya, hasil sokongan beberapa ahli dan NGO mereka turut berganding bahu dengan menghulurkan sumbangan beras serta barangan asas keperluan harian lain sebagai tanda sokongan dan keprihatinan.

Tambahnya, beliau bersama beberapa ahli jawatankuasa KESUMA’24 bergerak dengan Husrin menunjukkan ke kampung itu pada tarikh berkenaan untuk melihat sendiri keadaan kehidupan keluarga terbabit di samping mengagihkan sumbangan barangan yang berjaya dikumpul.

“Rasa amat terharu apabila melihat dalam kalangan remaja Orang Asli memerlukan pakaian terutama baju, seluar dan telekung bagi wanita untuk keselesaan mereka menunaikan solat dengan sempurna di samping bahan membuat makanan harian supaya dapat dinikmati bersama keluarga,” katanya. - KitaReporters

9
8
1
3
0
You will be interested