Di Segamat, sebut sahaja Sekolah Tinggi Segamat (STS) pasti semuanya mengenali sebuah sekolah yang telah lama wujud dan bersejarah ini.

Baru-baru ini, pada 7 Februari 2026, penulis dijemput untuk
menghadiri majlis Sambutan 100 Tahun STS 1926-2026 ini di mana kebetulan penulis
sendiri adalah alumni yang pernah belajar di sekolah tersebut.
Majlis gilang-gemilang 1 Abad 1 Legasi ini telah dihadiri lebih 600 bekas pelajar STS yang mana kebanyakan mereka kini bertugas di sekitar Segamat dan kehadiran antaranya juga dari serata negeri dan luar negara ke sekolah berkenaan.
Mengikut sejarah, STS yang diasaskan pada 1926 dikenali sebagai Government English School (GES). Sekolah ini kemudiannya dikenali sebagai Segamat Secondary English School sebelum bertukar nama kepada Sekolah Tinggi Segamat.
Sekolah Tinggi Segamat juga dikenali sebagai Segamat High School dan merupakan Sekolah Premier di Segamat oleh kerana kejayannya dalam melahirkan ramai insan hebat seperti tokoh korporat, ahli profesional, ahli sukan, ahli politik dan cendakiawan dalam pembangunan negara.

Majlis perasmian sambutan pada sebelah siang telah disempurnakan oleh Pengarah
Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed
Faroz Mohamed Jakel.
Turut diadakan pelbagai acara menarik termasuk sesi ramah mesra sesama bekas murid berkenaan, persembahan tarian tradisional dan cabutan bertuah termasuk hadiah memenangi kepingan emas.
Turut hadir, Pengetua STS, Mohamad Shah Hashim; Pengerusi Alumni STS, Dr. Martin Param Ponniah; Ahli Parlimen Segamat juga Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj; Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Abd Rahman Kecik; bekas-bekas Pengetua STS; guru-guru; bekas guru-guru; dan 100 jemputan penduduk setempat.


Sementara itu, Mohamad Shah berkata, bekas pelajar STS di sekolah berkenaan, tentunya amat berbangga dengan pengisytiharan 100 tahun itu.
“Tidak banyak sekolah mencapai usia 100 tahun terutama di Segamat dan Johor, ditambah sekolah ini juga berjaya menghasilkan pelajar cemerlang dari segi akademik, sukan, ketua masyarakat, jawatan tinggi sektor awam, swasta dan sebagainya.
“Saya berbangga berkesempatan meraikan majlis pengisytiharan 100 Tahun STS bersama beberapa alumni yang lain serta kakitangan sedia ada,” katanya.
Dr. Martin Param pula berkata, usia sekolah itu menunjukkan kematangan bukan sahaja pada sekolah tetapi juga bagi pelajar, alumninya juga tenaga akademik.
“Pelajar sendiri harus cemerlang bukan sahaja dalam bidang pelajaran tetapi juga kokurikulum, ketrampilan serta kepimpinan salsiah.
“Alumni juga boleh menabur bakti semula kepada sekolah termasuk melalui persatuan alumni sekolah bagi kemajuan sekolah dan pelajarnya,” kongsinya.

Dr. Martin Param memang teruja menyambut perayaan 100 tahun penubuhan STS.
“Saya gembira kerana pihak sekolah masih mengingati dan mengundang saya meraikan sambutan ulang tahun ke-100 penubuhan sekolah berkenaan.
“Bila hadir serta bertemu rakan sekolah dan naik ke bangunan sekolah asal yang masih dipelihara ini terasa saya berada di zaman persekolahan dulu.
“Banyak kenangan pahit manis selama beberapa tahun bersekolah bermula tahun 1971 hingga 1975 di sini. Beberapa ahli keluarga saya juga merupakan bekas pelajar di STS ini,” ceritanya teruja.
Penulis masih ingat lagi kehidupan semasa bersekolah zaman 70an – 80an serba kekurangan.
Kadang-kadang kipas rosak dan tiada alat penghawa dingin di bilik pembelajaran, namun tidak menjejaskan tumpuan pembelajaran dan boleh lulus dengan cemerlang. - KitaReporters