Experience Kedah 2.0 di Dataran Medan Bandar Alor Setar pada setiap Sabtu dan Ahad sepanjang Ramadan 1447H/2026M ini satu kelainan luar biasa yang menghimpunkan orang ramai untuk berbuka puasa beramai-ramai.

Malah aktiviti sebegini yang bermula pada jam 6 petang hingga 8 malam berhadapan Masjid Zahir memberi banyak manfaat dan kemudahan untuk berbuka puasa dalam suasana yang penuh keberkatan.
Selain mengimarahkan Ramadan bersama keluarga, ia juga dapat mengukuhkan ukhwah sesama masyarakat dengan pelbagai pengisian seperti tazkirah, solat berjemaah dan berbuka puasa beramai-ramai.

Terbukti Experience Kedah menjadi satu platform yang seharusnya diteladani semua badan korporat mahupun individu agar aspirasi yang diharapkan akan menjadi realiti yang memberi manfaat bukan sahaja kepada setiap peserta yang hadir tetapi kepada semua golongan masyarakat.

Sementara itu, tadarus Al-Quran pada bulan Ramadan sememangnya amat digalakkan kerana ia bukan sahaja melipatgandakan pahala tetapi juga mengeratkan ukhwah terutamanya dalam bulan Ramadan Al-Mubarak.
Syabas dan tahniah kepada Badan Kebajikan Islam (BAKI) Majlis Bandaraya Seremban (MBS), yang telah mengambil inisiatif serta daya usaha mengadakan program tadarus al-Quran pada Ramadan kali ini mulai 19 Februari 2026 lalu seawal 8 pagi setiap hari di Surau SHAMS, Wisma MBS.


Tadarus Al-Quran bukan sahaja dapat memperbaiki bacaan dan memahami ayat-ayat suci al-Quran, malah menggandakan pahala seperti mana yang dijanjikan Allah melalui hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh At-Tirmizi.
Menurut hadis tersebut "barang siapa membaca satu huruf daripada al-Quran, baginya setiap kebaikan digandakan sepuluh kali ganda". - KitaReporters

