Skizofrenia sering dilihat sebagai penyakit individu yang ada halusinasi, delusi dan perubahan tingkah laku. Namun di sebalik simptom itu, tersembunyi kisah tekanan emosi yang panjang dalam keluarga.
Ramai menyimpan kisah sedih mereka dalam konflik keluarga namun semua itu perlu ditutup dengan rapi untuk mengelak aib keluarga.

Satu kajian rambang kecil oleh Malaysian Relief Mind Association (MaRMa) melibatkan 50 pesakit, caregiver (penjaga pesakit) dan perawat, menunjukkan corak yang sangat menyentuh perasaan.
Daripada jumlah 50 responden tersebut, 80 peratus datang daripada keluarga yang berkonflik atau broken family, manakala 70 peratus merupakan anak sulung.
Walaupun bersifat pemerhatian awal melalui temu bual, dapatan ini menunjukkan tekanan keluarga bukan punca utama skizofrenia, tetapi boleh menjadi pencetus kuat kepada kemunculan simptom bagi individu yang mempunyai kerentanan biologi.
Kajian psikiatri itu juga menunjukkan skizofrenia berlaku melalui gabungan kerentanan biologi dan tekanan persekitaran.
Dalam temu bual berkenaan ada pesakit berkongsi pengalaman membesar dalam suasana pertengkaran, rasa tidak selamat di rumah, tertekan dengan sikap ibu bapa, terus memendam emosi tanpa ada ruang meluah serta kehilangan sokongan emosi ibu bapa.
Tekanan yang tidak kelihatan ini memberi kesan mendalam terhadap kestabilan mental.
Ada juga caregiver yang menceritakan kisah sedih dalam kehidupan keluarga mereka sehingga ramai anak sulung mendapat sakit skizo.
Sikap ibu bapa yang suka mendesak dan kisah keganasan rumah tangga yang terpaksa disorok bertahun tahun lamanya.
Suami biasanya mendominasi keluarga dan isteri terpaksa akur walau mereka sering mengalami " mental touture" . Anak sulung turut menjadi mangsa keadaan.

Dapatan melibatkan anak sulung juga bukan sesuatu yang mengejutkan.
Dalam banyak keluarga, anak sulung sering menjadi tempat ibu bapa meluah tekanan, penjaga adik-adik dan menjadi orang tengah konflik yang berlaku antara ibu bapa. Ini menyebabkan mereka belajar memendam rasa sejak kecil.
Emosi yang lama dipendam akhirnya muncul dalam bentuk tekanan mental yang lebih serius. Anak sulung nampak kuat di luar, tetapi banyak memendam di dalam.
Ada juga kes terpencil dimana anak sulung yang terlalu dimanjakan sehingga mereka gagal untuk berdikari dan melalui masalah mental.
Temu bual bersama perawat turut menunjukkan, ramai pesakit daripada keluarga berkonflik, cenderung mempunyai keyakinan diri yang rapuh, perasaan tidak selamat yang kronik serta kesukaran mengurus tekanan.
Apabila berdepan tekanan hidup menjadi dewasa seperti masalah pekerjaan, hubungan atau kewangan, simptom lebih mudah tercetus dan mereka mudah mengalami masalah ini.
Penting untuk difahami bahawa keluarga bukan penyebab utama sakit skizo dan ibu bapa tidak harus dipersalah seratus peratus.
Skizofrenia bukan berpunca daripada masalah keluarga semata-mata kerana ia melibatkan gabungan faktor biologi, psikologi dan persekitaran. Namun suasana emosi keluarga boleh menjadi faktor perlindungan atau faktor risiko terhadap kesihatan mental anak.

Kajian kecil ini membawa mesej jelas bahawa rawatan skizofrenia tidak boleh tertumpu kepada pesakit semata-mata.
Campur tangan keluarga, sokongan caregiver serta pendidikan kesihatan mental dalam komuniti amat diperlukan, selari dengan usaha agensi seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Justeru walaupun kajian ini bersifat pemerhatian awal, MaRMA melalui temu bual pesakit, caregiver dan perawat, dapatan secara rambang menunjukkan sesuatu yang perlu kita tekankan ialah untuk mencari titik kesejahteraan keluarga.
Perlu diingat seseorang mungkin mempunyai kecenderungan genetik, tetapi tekanan hidup, termasuk konflik keluarga, trauma emosi, dibuli dan ketidakstabilan rumah tangga, boleh menjadi pencetus kepada kemunculan simptom kepada penyakit ini.
Dalam mencari jawapan kepada faktor masalah mental ini, sebenarnya banyak kisah kehidupan manusia yang tersimpan rapi sehingga menyebabkan insan insan yang tidak berdosa ini melalui episod sedih sebagai pesakit skizofrenia.
Lebih meruntun jiwa, di sebalik diagnosis skizofrenia, ada individu yang terlalu lama memikul beban emosi tanpa tempat bersandar. Mereka bukan lemah, mereka hanya keletihan menjadi kuat sendirian.

Oleh demikian, memahami kisah di rumah yang tidak pernah diceritakan memberi ruang kepada pendekatan rawatan yang lebih empati, bukan sekadar mengawal simptom tetapi memulihkan luka emosi yang tersembunyi. Justeru, apabila kisah di rumah difahami dan sokongan diberikan secara menyeluruh, proses pemulihan bukan lagi sesuatu yang mustahil, sebaliknya akan menjadi perjalanan yang lebih manusiawi, dan penuh harapan.
Sudah tiba masanya kerjasama yang lebih kukuh antara agensi seperti Kementerian Kesihatan; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; NGO; serta komuniti setempat menjalin intervensi keluarga, pendidikan caregiver dan program rehabilitasi psikososial.
Masalah mental yang tidak diurus boleh menggugat keharmonian hidup bukan sahaja keluarga tetapi juga masyarakat.
Kerjasama yang erat daripada pelbagai pihak ini mungkin dapat mengurangkan statistik masalah kesihatan mental di negara kita. - KitaReporters