Insan & Komuniti 25 Feb, 2026

Rezeki Ramadan! Movenpick KLIA berjiwa besar! Anjur berbuka bersama warga emas, anak yatim asnaf!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Amalan berkongsi rezeki khasnya dalam bulan Ramadan mampu menyuburkan sifat empati dan kasih sayang dalam kalangan masyarakat malah menjadi satu usaha murni apabila dilakukan oleh syarikat di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.


Rudi Fajar Putra menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak yatim asnaf.


Inisiatif itu amat dihargpi apabila usaha berkongsi rezeki itu secara tidak langsung juga memperkukuh semangat kemasyarakatan di samping membantu dalam kalangan mereka yang memerlukan sokongan terutama membuat penyediaan menyambut perayaan.

Sehubungan itu, Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA meneruskan program CSR Ramadan setiap tahun sebagai peluang untuk menyantuni komuniti dan berkongsi rezeki bersama mereka yang amat dihargai. 


Ustaz Muhammad Fakrul menyampaikan tazkirah bertajuk Seribu Harapan sementara menunggu waktu berbuka.


Penolong Pengurus, Pematuhan Jenama dan Risiko hotel berkenaan, Azlin Abdul Samad, berkata program itu mencerminkan nilai yang dijunjung sebagai ‘heartists’ (insan berjiwa) berkhidmat dengan empati, keikhlasan dan rasa tanggungjawab kepada masyarakat.

Menurutnya, Ramadan mengajak kita semua untuk berhenti seketika, merenung ke dalam diri dan yang paling penting untuk lebih prihatin terhadap satu sama lain kerana ia adalah bulan yang sarat dengan nilai kasih sayang, kesyukuran dan kemanusiaan.

“Kita bukan sekadar berbuka puasa bersama, tetapi berkongsi detik, harapan dan keikhlasan dalam melaksanakan tanggungjawab membela mereka yang memerlukan bantuan serta pembelaan untuk kesempurnaan hidup yang dijalani,” ujarnya pada program Ilya’ Ramadan Heartist bersama warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan anak yatim asnaf hotel berkenaan pada 20 Februari 2026.


Azlin Abdul Samad menyampaikan sumbangan kepada Pengerusi PJMM, Azman Rasman.


Pada program itu, hotel berkenaan meraikan untuk berbuka bersama warga emas dari Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Al-Fattah, pelajar Sekolah Tahfiz Anak Yatim Al-Kitab, Pertubuhan Rumah Anak Yatim Miskin Daerah Kuala Langat dan Rumah Amal Raudhatul Jannah.

Di samping mengagihkan sumbangan duit raya pada program itu, penceramah bebas Ustaz Muhammad Fakrul turut dijemput bagi menyampaikan tazkirah sementara menunggu waktu berbuka puasa yang turut dihadiri Pengurus Besar hotel itu, Rudi Fajar Putra.

Azlin berkata, kehadiran mereka dari pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sesuatu yang amat bermakna kepada syarikat kerana ketabahan, kesabaran dan kekuatan yang ditunjukkan dalam mengurus selia warga emas serta anak yatim menjadi inspirasi di samping peringatan mengenai erti sebenar kesyukuran dan juga kemanusiaan.


Sebahagian warga emas menikmati juadah berbuka puasa.


Tambahnya, pertemuan dalam program itu buka setakat mengeratkan ukhuwah yang terjalin tetapi membawa ketenangan di hati, kesejahteraan di jiwa dan keberkatan kepada kita semua terutama apabila menabur bakti kepada mereka yang memerlukan pembelaan.

“Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada pasukan pengurusan, para ‘heartists’ serta rakan strategik kami yang telah bertungkus-lumus menjayakan program ini, komitmen dan dedikasi mereka mencerminkan roh sebenar Ramadan iaitu memberi dengan ikhlas dan berkhidmat dengan sepenuh hati,” katanya.


Rudi Fajar Putra (berdiri di tengah) merakamkan kenangan bersama warga emas, anak yatim asnaf, pelajar tahfiz dan sukarelawan pada Program Ilya’ Ramadan Heartist, Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA. 


Sementara itu, Setiausaha PJMM, Muhammad Syafiq Mohiadin, berkata program berbuka puasa anjuran hotel berkenaan sentiasa memberi kelainan dan keseronokan buat warga emas serta anak yatim yang tinggal di pusat jagaan atau sekolah tahfiz.

“Mereka diraikan dan disantuni untuk menikmati juadah yang pelbagai serta enak ini membuatkan hati warga emas serta anak yatim asnaf dapat melepaskan rindu kepada ahli keluarga serta saudara mara,” ujarnya. - KitaReporters

6
11
0
13
0
You will be interested