DALAM usaha mendekatkan diri dengan masyarakat, serta memupuk ukhwah dengan penonton yang jadi penyokong setia, TV AlHijrah
berkunjung menemui masyarakat Taman Danau Kota, Setapak Kuala Lumpur.
Kunjungan muhibah pada 25 Februari 2026 lalu bukan sahaja untuk bertemu mesra dengan penduduk, tetapi juga melaksanakan program komuniti iaitu memasak bubur lambuk.

'Program Bubur Lambuk AlHijrah' diadakan di pusat aktiviti Taman Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur pada 25 Februari 2026.

‘Program Bubur Lambuk AlHijrah’ itu diadakan dengan kerjasama Persatuan Penduduk Danau Kota, bertempat di pusat aktiviti penduduk di kawasan taman permainan kanak-kanak.
Sejak awal pagi, program bermula dengan penyediaan bahan, memasak dan seterusnya pengagihan.
Penduduk menyambut baik serta teruja dengan kehadiran stesen TV mengadakan program memasak bubur lambuk bersama penduduk. Ini kali pertama pihak luar datang melaksanakan program sedemikian.
Persatuan Penduduk Danau Kota memang mengadakan aktiviti memasak bubur lambuk pada setiap
bulan Ramadan, yang dikendalikan oleh tukang masak Ramly dan Jamal, dengan
bantuan penduduk lain.
Lantaran itu kehadiran TV AlHijrah pada bulan puasa tahun 2026 ini mencipta kelainan. Tambahan lagi, stesen tersebut merupakan antara stesen TV popular di negara ini.

Shamsul Qamar Abd Rani.

Murid sekolah dan pelajar tahfiz turut menyerikan program masak bubur lambuk TV Al Hijrah di Danau Kota.
Rombongan TV AlHijrah seramai 18 orang diketuai Ahli Lembaga Pengarah, Shamsul Qamar Abd Rani. Selain penduduk taman, turut hadir menyerikan program ialah wakil masjid, murid sekolah dan pusat tahfiz.
TV AlHijrah ialah penaja program bubur lambuk tersebut. Malah ia juga menyediakan tukang masak daripada stesen TV itu. Penduduk taman turut membantu atas semangat kerjasama menjayakan program.
Yang lebih mengujakan, TV AlHijrah mengadakan penggambaran program tersebut untuk siaran stesen TV berkenaan.
Penggambaran bermula daripada proses penyediaan bahan, memasak sehingga pengagihan bubur lambuk kepada orang ramai bermula pukul 2 petang.

Adik Ammara Keisha Surya Kasnadi bersama rakan-rakan antara yang menyerikan program bubur lambuk TV AlHijrah.

Kacau kuat-kuat!... Antara penduduk Taman Danau Kota yang turut membantu menjayakan program bubur lambuk TV Alhijrah. Aksi ini disiarkan dalam slot berita TV AlHijrah.

Petugas TV AlHijrah membuat penggambaran sekitar program Bubur Lambuk TV AlHijrah di Danau Kota.

Proses membungkus bubur lambuk untuk diedarkan mulai pukul 2 petang. Ramai memuji keenakan bubur tersebut.
Walaupun kali pertama saling bersua antara pihak TV AlHijrah dengan penduduk Danau Kota, kemesraan pantas terjalin. Semangat gotong royong terserlah dalam kalangan mereka bagi memastikan program berjalan lancar dan dalam suasana santai.
Kejayaan program ini adalah petanda baik kemungkinan mengadakan kerjasama serupa pada masa hadapan. Juga diharap menjadi dorongan syarikat atau pertubuhan lain untuk mengadakan program sedemikian.

Berderet panjang... Bubur lambuk 'Program Bubur Lambuk Prihatin Al Hijrah siap dibungkus untuk diedar.
Terima kasih kepada pihak TV AlHijrah yang menjadi penaja program ‘Bubur Lambuk AlHijrah’. Juga kepada penduduk Danau Kota yang turut membantu menjayakan program.
Kerjasama erat membawa berkat. - KitaReporters