Insan & Komuniti 01 Mar, 2026

Video| Kerana Allah atau envelop! Serbu masjid, surau untuk solat tarawih! Nak dapat duit zakat!

@fauzan uda ahmad
Bekerja dengan Utusan Malaysia dari 1985 hingga 1996. Menjadi wartawah hiburan, koresponden di Jakarta, Indonesia dan Ketua Meja Hiburan. juga bertugas dengan beberapa media lain

Share this
Macam-macam cerita menarik di Indonesia berkaitan Ramadan.
Di wilayah Jawa Timur iaitu di daerah Blitar kecoh dengan solat tarawih kilat atau ekspres, sementara di daerah Sumenep pula berlaku orang ramai berpusu-pusu termasuk bukan penduduk setempat mengunjungi sejumlah masjid dan surau.


Masyarakat sedia menunggu di luar untuk masuk ke dalam masjid atau surau.

Malah ada masjid dan surau yang didatangi sejak pagi dan orang ramai berbaris panjang untuk memastikan dapat masuk ke dalam kawasan masjid atau surau tertentu. 

Apakah tarikan masjid dan surau berkenaan apabila berpusu-pusu dikunjungi banyak orang?

Sebenarnya sejak beberapa tahun lalu, terdapat seorang usahawan berjaya bernama Muhammad Said Abdullah atau lebih dikenali sebagai MH Said Abdullah, 63, mengadakan pemberian zakat harta (disebut zakat mal) kepada penduduk setempat pada bulan Ramadan.
MH Said Abdullah juga Ahli Parlimen atau Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) 2024-2029 mewakili parti PDI (Partai Demokrasi Indonesia) Perjuangan.

MH Said Abdullah
Difahamkan bagi Ramadan 2026, program pemberian wang zakat itu dilaksanakan di masjid dan surau (mushala) sekitar Kabupaten Sumenep, antaranya ialah Mushala Wakaf Abdullah, Masjid Laju, Masjid Nasabandiyah, Mushala Habib Muhsin, Mushala Zainab, Mushala Ba’antar, Mushala Bahrez serta Masjid Fatimah Bin Gauzan, pada Rabu, 18 Februari 2026 lalu iaitu malam pertama tarawih.

Mengetahui tarikh itu dan tempat pemberian zakat akan diadakan membuat sejumlah penduduk berpendapatan rendah berpusu-pusu ke surau atau masjid terbabit, walaupun ada yang selama ini tidak pernah atau jarang-jarang menjejakkan kaki ke rumah-rumah Allah.

Ada yang sejak pagi sudah menunggu di tepi jalan di luar surau atau masjid dan sebahagian besar menunggu selepas asar. Kerana ruang bersolat di dalam surau dan masjid terbabit agak terhad lalu menyebabkan ramai terpaksa bersolat di pekarangan surau atau masjid.


/

Salah seorang jemaah membuka envelop yang mengandungi wang.

Wang zakat dimasukkan ke dalam envelop dan diberi kepada setiap jemaah ketika solat tarawih berlangsung. Ia diberikan oleh sejumlah petugas. 

Bagi golongan berpendapatan rendah wang Rp300 ribu (hampir RM70) itu dianggap bonus menjalani ibadah Ramadan dan persiapan Hari Raya Aidilfitri. 

Malah ramai yang datang sekeluarga iaitu ibu bapa dan anak-anak bagi mendapat sumbangan yang banyak. Ini kerana pemberian wang zakat tidak mengikut  umur.

Bagi penduduk Sumenap dan sekitar yang berharap pemberian wang zakat itu akan dilakukan pada Ramadan setiap tahun, mereka berdoa agar MH Said Abdullah terus sihat dan dimurahkan rezeki.


MH Said tidak mendedahkan jumlah zakat yang dikeluarkan tetapi daripada jumlah penerimanya dapat dijangka perniagaannya untung besar. 

MH Said menjadi contoh usahawan Muslim yang patuh menunaikan zakat sedangkan ramai usahawan Muslim lain yang ingkar menunaikan amanah Tuhan ini. 

Surau dan masjid ini yang diburu ramai tular setelah dimuat dalam sejumlah laman social. Antaranya TikTok @ceritakotakeris.

Dan ia menarik minat netizen untuk memberi komen. Kebanyakannya komen sinis seperti hanya ke masjid dan surau bukan hendak tarawih sebenarnya, sebaliknya hendak dapatkan duit hingga ada yang mengatakan ia adalah tarawih envelop. - KitaReporters

10
15
0
9
0
You will be interested