Insan & Komuniti 01 Mar, 2026

Jemaah umrah Ramadan As-Safa selamat pulang! Sebelum pembatalan penerbangan ke Arab Saudi dan Qatar!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines dilaporkan membatalkan beberapa penerbangan ke Doha, Qatar dan Jeddah serta Madinah, Arab Saudi bagi tempoh 28 Februari hingga 1 Mac atas faktor operasi dan keselamatan.


Perkembangan itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penumpang termasuk jemaah umrah yang dijadualkan berlepas atau pulang ke tanah air dalam tempoh berkenaan.

Namun, kumpulan jemaah umrah anjuran As-Safa Travels and Tours berasa amat bersyukur apabila mereka selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada 27 Februari 2026 malam, sehari sebelum pembatalan penerbangan berkenaan.
Pengasas As-Safa Travels and Tours, Md Roslan Mohammad Jaafar berkata, pihaknya sentiasa memantau perkembangan jadual penerbangan dan berhubung rapat dengan pihak berkaitan bagi memastikan kebajikan jemaah terjamin.


“Alhamdulillah, Allah permudah urusan jemaah kami. Mereka tiba dengan selamat dan semuanya berjalan lancar. Kami amat bersyukur kerana sempat pulang sebelum pembatalan penerbangan diumumkan,” katanya.
Menurut beliau, setiap perjalanan umrah bukan sekadar soal penerbangan dan penginapan, tetapi melibatkan perancangan rapi serta kepekaan terhadap sebarang perubahan situasi semasa.
“Kami sentiasa bersedia dengan pelan alternatif sekiranya berlaku sebarang perubahan. Keutamaan kami ialah keselamatan dan keselesaan jemaah,” ujarnya lagi.


Beberapa jemaah turut meluahkan rasa lega kerana tidak terkandas di luar negara dan dapat kembali ke pangkuan keluarga tepat pada waktunya.
Situasi ini menjadi peringatan tentang pentingnya memilih pengendali pakej yang berpengalaman dan prihatin terhadap kebajikan jemaah, khususnya ketika musim umrah dan Ramadan yang semakin hampir.
Alhamdulillah, dalam suasana ketidaktentuan jadual penerbangan, kepulangan jemaah As-Safa Travels and Tours menjadi satu khabar gembira yang menenangkan hati keluarga di tanah air. - KitaReporters

11
7
0
11
0
You will be interested