Insan & Komuniti 03 Mar, 2026

Insan kerdil, berjiwa besar! Kisah Mak Pah! Geng Cucu Cicit Tok Chah meriahkan Iftar Ramadan @ RTK!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this

Perjuangan mewujudkan sebuah rumah perlindungan untuk anak-anak yatim, asnaf, anak-anak terbiar, ibu tunggal, wanita teraniaya dan Orang Kurang Upaya (OKU) bukanlah perjalanan singkat, malah sarat dengan air mata, pengorbanan dan ujian kehidupan.



Bagi Rumah Titian Kasih (RTK), kisah itu bermula sejak 1998, ketika seorang wanita cekal mengambil keputusan besar untuk bangkit daripada runtuhan hidupnya demi orang lain yang lebih memerlukan.

Pengasas RTK, Sharifah Adlan atau lebih dikenali sebagai Mak Pah, berkata detik paling gelap dalam hidupnya bermula selepas kematian suami, terasa dunia ini gelap gelita kerana selama ini insan tercinta itu lah tempat bergantung hidup.

Ketika itu, beliau berusia 45 tahun dan terpaksa berdepan hakikat pahit meneruskan kehidupan sebagai ibu tunggal, tanpa sokongan pasangan yang selama ini menjadi tempat bergantung. Malah Mak Pah mempunyai tiga anak perempuan dalam jagaannya.


Suasana meriah sepanjang majlis iftar Geng Cucu Cicit Tok Chah bersama penghuni RTK Titiwangsa, Kuala Lumpur. - Kredit foto dan video: Farhana Md Khir


Beliau berkata, selepas pemergian suami, kehidupannya seolah-olah terumbang-ambing, malah beliau sendiri tidak pasti ke mana arah tujuan hidup yang perlu dituju.

“Sebelum ini saya banyak bergantung kepada suami. Bila dia tiada, saya perlu menjadi ibu dan ayah dalam satu masa, membesarkan anak-anak dan dalam masa sama memikirkan kelangsungan hidup,” katanya Mak Pah ketika meraikan Iftar Ramadan Geng Cucu Cicit Tok Chah bersama penghuni di RTK, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Di sebalik kesedihan peribadi itu, Mak Pah turut menyaksikan penderitaan ramai wanita lain yang senasib dengannya, gagal bangkit selepas bergelar ibu tunggal dan terperangkap dalam kitaran kemiskinan serta kecelaruan hidup.

Daripada rasa empati itulah, lahir satu tekad besar dalam jiwanya untuk membantu wanita dan anak-anak yang terpinggir agar mereka tidak terus tenggelam dalam penderitaan. 

Walaupun kini hilang penglihatan akibat komplikasi diabetes kronik sejak 2025, Mak Pah tetap bersyukur dan tersenyum.


Geng Cucu Cicit Tok Chah menyantuni dan bermesra dengan sebahagian anak-anak RTK.


“Saya mahu mereka jadi kuat demi anak-anak, berfikir positif dan berani mengubah hidup ke arah yang lebih baik,” katanya yang tidak pernah terlintas akan membina sebuah rumah perlindungan suatu ketika dahulu.

"Dengan kudrat dan kemampuan yang amat terhad, Mak Pah memulakan langkah kecil dengan membantu empat ibu tunggal dan 17 orang anak, menggunakan apa sahaja yang ada di sekelilingnya.

"Namun, usaha ikhlas itu sedikit demi sedikit menarik perhatian masyarakat, sekali gus membuka ruang sokongan daripada individu dan pihak luar yang prihatin.

"Hari ini, RTK bukan sekadar tempat berlindung, tetapi sebuah rumah yang penuh dengan kasih sayang, di mana setiap penghuni dianggap sebagai keluarga sendiri,". katanya.


Sharifah Adlan @ Mak Pah


RTK bukan hanya menyediakan bantuan material seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal, sebaliknya memastikan setiap penghuni mendapat sokongan moral, emosi dan rohani.

Mak Pah berkata, matlamat utama RTK adalah memastikan tiada sesiapa yang berasa terpinggir, malah diberi peluang untuk membina kehidupan baharu dengan penuh maruah.

"Pelbagai program pembangunan dianjurkan termasuk kelas pendidikan, bengkel kemahiran, sesi kaunseling dan aktiviti kerohanian bagi membentuk jati diri penghuni.

"Aspek mental dan emosi kanak-kanak turut diberi perhatian serius agar mereka membesar dengan keyakinan diri dan mampu berfungsi dengan baik dalam masyarakat.  

“RTK juga menggalakkan kesedaran sosial supaya anak-anak kami tahu mengurus emosi, membina hubungan dan berinteraksi secara positif,” katanya. 



Meriahnya sambutan hari jadi anak-anak RTK yang lahir sepanjang Februari diraikan sempena Iftar Ramadan Cucu Cicit Tok Chah. - Kredit foto dan video: Farhana Md Khir


Impian Mak Pah cukup sederhana tetapi besar maknanya, iaitu menjadikan RTK sebagai sebuah keluarga dan sekolah kehidupan untuk ibu-ibu serta anak-anak yang memerlukan.

Beliau mahu setiap ruang di rumah itu dipenuhi kasih sayang agar anak-anak tidak pernah merasa kekurangan, malah membesar dengan nilai murni sebagai bekalan masa depan.

"Ketika ini, RTK menempatkan seramai 83 penghuni termasuk kanak-kanak dan ibu tunggal, dibantu oleh 11 kakitangan yang menguruskan operasi harian rumah perlindungan itu. 

"Ya, cabaran kewangan masih menjadi isu utama RTK, apatah lagi rumah berkenaan belum dimiliki sepenuhnya dan masih mempunyai tunggakan yang perlu dilangsaikan.

“Apa pun, sekurang-kurangnya buat masa ini, penghuni RTK mempunyai tempat berlindung dan harapan untuk masa depan yang lebih baik,” katanya dengan nada penuh syukur," katanya.


Wakil Cucu Cicit Tok Chah, Dr Ibrahim Abdul Aziz (kiri) menyampaikan cek sumbangan berjumlah RM800 kepada Muhammad Akmal Yosuf.


Muhammad Akmal Yosuf


Bagi Pengurus RTK, Muhammad Akmal Yosuf, keadaan ekonomi semasa memberi tekanan besar kepada pengurusan rumah kebajikan berkenaan.

Menurutnya, kos operasi mencecah RM78,000 sebulan merangkumi gaji pekerja, sewa premis, utiliti serta perbelanjaan persekolahan 72 pelajar, tidak termasuk kos makan minum.

"RTK tidak menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Baitulmal, sebaliknya bergantung sepenuhnya kepada sumbangan orang ramai dan inisiatif sendiri.

"Antara usaha menjana dana termasuk jualan kuih-muih selain sumbangan individu dan korporat yang prihatin dengan nasib penghuni RTK.

“Soal makanan tidak begitu membimbangkan kerana sentiasa mencukupi hasil sumbangan orang ramai, namun kos operasi lain termasuk kecemasan seperti penyelenggaraan van amat mencabar,” katanya.

Justeru, RTK mengalu-alukan sumbangan berbentuk penajaan van baharu bagi memudahkan urusan pengangkutan pelajar ke sekolah dan program luar.


Cicit Tok Chah, Nur Fairuz Osman (kanan) bersama Nor Arzlin Redzwan bersiap sedia untuk memberi duit raya kepada anak-anak dan staf RTK.


"Tanpa sokongan kewangan berterusan, kami dapati sukar untuk RTK terus menyediakan penjagaan menyeluruh termasuk aspek perubatan dan kebajikan penghuni.

"Setiap sumbangan walau kecil dianggap sebagai talian hayat untuk memastikan RTK terus kekal sebagai tempat harapan, bukan untuk sehari atau sebulan, tetapi selamanya," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Maybank 564061453963 atas nama Pusat Jagaan Titian Kaseh.


Anak-anak RTK gembira dapat pemberian duit raya daripada Geng Cucu Cicit Tok Chah.


Dalam perkembangan sama, wakil Geng Cucu Cicit Tok Chah, Roslan Ibrahim, berkata program Iftar Ramadan di RTK adalah acara tahunan bagi menyantuni penghuni terdiri daripada anak-anak yatim, asnaf, ibu tunggal dan OKU. 

Sebelum ini, melalui Geng Cucu Tok Lat, ia hanya membabitkan ahli dan kos yang kecil, tapi bila bersama Geng Cucu Cicit Tok Chah, ia lebih meriah kerana selain menyediakan makan minum, pihaknya menyumbang sumbangan kepada RTK selain duit raya kepada penghuni termasuk staf rumah perlindungan ini.

"Alhamdulillah, memang meriah sepanjang Iftar dengan kehadiran semua ahli Cucu Cicit Tok Chah. Kami bukan sekadar menyantuni dan berbuka puasa bersama penghuni RTK tapi mengeratkan silaturahim, menyemai rasa empati terhadap golongan memerlukan dan berkongsi rezeki dengan mereka..

"Suasana penuh kemeriahan jelas terasa apabila ahli Geng Cucu Cicit Tok Chah bersama-sama penghuni RTK mengadakan tahlil, doa selamat dan solat tarawih.

“Insya-Allah, Geng Cucu Cicit Tok Chah akan kembali tahun depan (2027) kerana melihat senyuman anak-anak di sini sudah cukup bermakna buat kami,” katanya. - KitaReporters


Geng Cucu Cicit Tok Chah dan penghuni RTK bergambar kenangan bersama Mak Pah. - Kredit foto dan video Farhana Md Khir

9
8
0
5
0
You will be interested