Setiap kali Ramadan, selain kemeriahan juadah berbuka dan suasana ibadah lebih terasa, satu lagi perkara yang sering menjadi perbualan hangat ialah soal berat badan.
Lebih mengejutkan, ada yang mendakwa angka pada penimbang naik secara mendadak sebaik sahaja selesai berbuka puasa walaupun merasakan diri tidak makan berlebihan.
Situasi ini berlaku kepada seorang individu yang
berkongsi pengalamannya dalam media sosial sehingga membuatkan ramai berkongsi
pendapat.
“Siapa ada masalah macam ni? Sebelum buka puasa berat 95kg, lepas buka terus naik mendadak 97kg. Sesiapa boleh jelaskan? Aku makan nasi bungkus je dengan air,” soal individu tersebut.

Perkongsian itu segera mengundang pelbagai reaksi netizen yang tampil berkongsi pengalaman hampir sama. Ada yang berseloroh, ada yang cuba memberi penjelasan secara logik.
“Semua kita makan berjisim. Nak track berat, track pada ketika dan waktu lebih kurang sama. Kalau mula timbang sebelum berbuka, kemudian esok lusa minggu depan pun timbang sebelum berbuka.”
Manakala seorang lagi netizen menyarankan timbang sebelum makan. “Timbang lepas makan memanglah naik. Timbang sebelum buka puasa tu yang betul.”

Persoalannya, adakah benar berat badan boleh naik satu
hingga dua kilogram hanya dalam tempoh beberapa minit selepas berbuka? Adakah
ia petanda lemak bertambah secara mendadak?
Menurut penjelasan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), perubahan berat badan dalam tempoh singkat, terutama selepas makan dan minum, adalah sesuatu yang normal.
Ia bukanlah pertambahan lemak secara serta-merta, sebaliknya berkait rapat dengan kandungan makanan dan minuman yang baru masuk ke dalam sistem tubuh.
Secara asasnya, setiap makanan dan minuman mempunyai berat atau jisim. Apabila seseorang makan nasi, lauk-pauk dan minum air, semua itu menambah berat fizikal dalam badan.
Penimbang akan merekodkan jumlah berat keseluruhan termasuk makanan yang masih berada dalam perut dan usus.

Tambahan pula, sepanjang tempoh berpuasa sekitar 12
hingga 14 jam, tubuh berada dalam keadaan dehidrasi ringan kerana tidak
menerima bekalan air.
Berat badan ketika hampir waktu berbuka lazimnya
lebih rendah kerana kehilangan air melalui peluh, pernafasan dan air kencing.
Apabila tiba waktu berbuka dan seseorang minum
beberapa gelas air serta mengambil makanan, tubuh kembali menyimpan cecair.
Proses ini sahaja sudah cukup untuk menyebabkan bacaan berat meningkat dengan
ketara.
Dalam erti kata lain, lemak tidak boleh terhasil dalam masa beberapa minit selepas makan. Proses pembentukan lemak melibatkan lebihan kalori yang konsisten dalam tempoh berhari-hari atau berminggu-minggu.

Justeru, apa yang berlaku selepas berbuka lebih
tepat digelar sebagai ‘berat sementara’ atau temporary weight gain, bukan pertambahan lemak sebenar.
Selain kandungan makanan dan air, terdapat beberapa
faktor lain yang boleh mempengaruhi bacaan berat badan seperti paras garam, karbohidrat
dan simpanan glikogen serta waktu timbang tidak konsisten.
Menurut saranan umum KKM, waktu terbaik untuk menimbang berat badan ialah pada waktu pagi, selepas bangun tidur, selepas ke tandas dan sebelum makan atau minum apa-apa.
Ini kerana tubuh berada dalam keadaan paling stabil dan kurang dipengaruhi oleh faktor luaran seperti makanan dan aktiviti fizikal.

Jika seseorang ingin memantau berat sepanjang
Ramadan, adalah penting untuk menimbang pada waktu yang sama setiap hari.
Konsistensi lebih penting daripada kekerapan.
Kenaikan berat selepas berbuka sering disebut sebagai ‘berat air’. Ia merujuk kepada pertambahan cecair dalam tubuh, bukan lemak.
Biasanya, berat ini akan kembali turun secara semula jadi selepas proses penghadaman selesai dan lebihan air dikeluarkan melalui air kencing serta peluh.
Namun begitu, jika kenaikan berat berterusan dalam tempoh beberapa minggu, barulah ia mungkin berkait dengan lebihan kalori dan pertambahan lemak sebenar.

Menariknya, terdapat dua kumpulan utama sepanjang Ramadan iaitu ada yang berjaya menurunkan berat badan dan ada juga beratnya meningkat. Perbezaannya bergantung kepada corak pemakanan ketika berbuka dan sahur.
Jika berbuka secara sederhana dan mengawal pengambilan manisan serta minuman bergula, Ramadan boleh menjadi peluang untuk menurunkan berat badan secara sihat.
Sebaliknya, jika berbuka dengan hidangan berlebihan setiap hari, ditambah kurang aktiviti fizikal, berat badan boleh meningkat secara konsisten.
Puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi lebih daripada itu. - KitaReporters