Serangga seperti lipas, nyamuk dan kumbang boleh memasuki telinga manusia tanpa disedari, khususnya ketika seseorang sedang tidur lena.
Keadaan gelap, hangat dan sempit dalam saluran telinga menjadikannya tempat menarik bagi serangga untuk berlindung, terutama di kawasan beriklim panas dan lembap seperti Malaysia.
Dalam kebanyakan kes, mangsa hanya menyedari
kehadiran benda asing apabila terasa sakit, berdenyut atau mendengar bunyi
pergerakan di dalam telinga.
Namun, apa yang berlaku di sebuah klinik di Johor benar-benar membuka mata masyarakat apabila satu rakaman rawatan dimuat naik ke TikTok oleh akaun @klinikfirdaus.
Video tersebut memaparkan seorang pesakit lelaki yang datang mendapatkan rawatan selepas merasakan ada sesuatu bergerak di dalam telinganya.
Pemeriksaan lanjut oleh petugas perubatan mendapati seekor anak lipas berada di dalam saluran telinga pesakit tersebut.

Rakaman itu yang dimuat naik dengan kapsyen “Telinga Ada Benda Asing? Rasa-Rasa Apa Dia Ni??” telah mencatat sebanyak 1.2 juta tontonan, ratusan komen serta ribuan perkongsian.
Ia sekali gus mencetuskan gelombang reaksi netizen yang rata-ratanya mengakui berasa jijik, ngeri dan trauma hanya dengan menontonnya.

“Dengan rasa geli yang teramat sangat, aku tak boleh bayangkan lipas boleh masuk ke telinga. Muka aku terus berkerut melihat rakaman itu dan sampai sekarang rasa seram masih melekat,” komen salah seorang netizen.
Nada yang sama dikongsi oleh netizen lain. “Dengan perasaan yang sama, muka aku terus berubah masa lipas itu ditarik keluar. Aduhai, geli yang tak terungkap.”

Ada juga yang cuba memberi penjelasan bagaimana perkara itu boleh berlaku.
“Mungkin encik itu tidur mati. Jadi dia tak rasa benda itu masuk. Kalau saya, rambut cucuk di telinga pun sudah menggelupur.”
Sementara itu, kebimbangan tentang kemungkinan serangga itu bertelur turut mencetuskan ketakutan.
“Kalau difikirkan, dia dah bertelur ke belum dalam tu? Kalau aku, memang dah minta doktor buang terus telinga ini.”

Manakala seorang netizen berkongsi pengalaman keluarganya, “Mak saya pernah telinga masuk kumbang. Tengah malam ke hospital.
"Doktor tak dapat tarik sebab licin, jadi terpaksa letak cecair untuk matikan dulu. Mak saya menjerit-jerit menahan sakit,” ceritanya.
Seorang lagi netizen berkata kejadian hampir sama berlaku kepada ayahnya. “Macam ayah saya semalam. Dia menjerit kata ada binatang dalam telinga.
"Rupanya anak lipas. Nasib boleh keluarkan. Masih tak boleh brain macam mana lipas boleh masuk.”

Trauma yang dialami membuatkan ramai kini lebih berhati-hati ketika tidur.
“Sebab itu kalau tidur, selalu tutup muka atau telinga dengan selimut. Trauma sebab pernah dengar bunyi nyamuk terbang dalam telinga.”
Walaupun kedengaran seperti sesuatu yang jarang berlaku, pakar perubatan menjelaskan bahawa kes serangga memasuki telinga sebenarnya bukan luar biasa.
Namun, jika tidak dirawat dengan betul, ia boleh menyebabkan jangkitan, kecederaan gegendang telinga dan trauma emosi kepada mangsa.
Video yang dikongsi ini menjadi peringatan kepada masyarakat agar tidak memandang ringan isu kesihatan yang kelihatan kecil. Sekiranya ada haiwan kecil atau serangga memasuki telinga, cepat-cepat berjumpa doktor. - KitaReporters
