Insan & Komuniti 04 Mar, 2026

Sembang-Sembang| Memori Ramadan! Bunyi meriam, ais batu ketul, bertukar juadah! Kembali gamit rindu!

@normala hamzah
NORMALA HAMZAH penerima Anugerah Wanita Inspirasiku 2015. Bekas Pengarang Kanan meja Keluarga Utusan Malaysia dan majalah Wanita. Penulis buku Permaisuri, Ibu Halimah dan Odyssey Dari Lembah ke Puncak. Kini aktif dalam Projek Wakaf Telekung Siti Aishah. Emel >> [email protected]

Share this

Mesti anda semua terbayang suasana Ramadan masa kecik kecik kan? Banyak yang melucukan dan ada juga yang majis untuk dikenang.



Mudah dan ringkas... Berbuka puasa pada masa dulu-dulu.


Masih terbayang keseronokan mengayuh basikal hantar juadah kuih ke rumah saudara dan jiran. Saat beratur membeli ais batu ketul tepi jalan dan kemudian berderet pula ke masjid ambil bubur lambok atau kanji.

Sementara menunggu berbuka, riuh pula bermain permainan tradisional seperti baling selipar, guli, baling tin. Semuanya  masih segar diingatan.

Masa berlalu. Keadaan juga berubah. Namun kenangan takkan hilang. Dan setiap kali Ramadan datang pasti hati terusik.

Biar puluhan tahun berlalu. Ramadan tetap yang indah di hati. Bukan setakat amal ibadah tetapi juga keinsafan yang mengajar kita erti kesabaran dan keimanan yang sebenarnya.

Walaupun tidak ada lagi nostalgia bulan puasa seperti masa lalu, kehadiran Ramadan dan ibadah puasa tetap meriah mengikut arus perubahan masa.

Sekarang sambutan Ramadan sinonim dengan suasana meriah berbuka di hotel, surau, masjid, restoran dan  bazar Ramadan juga di rumah.

Namun cara dan hidangannya juga turut berubah selari dengan peredaran masa. Semua di hujung jari. Diubah suai resepi dan juadah mengikut selera generasi sekarang.


Berbuka puasa di luar khususnya di hotel-hotel yang menyediakan bufet Ramadan kini menjadi trend.


Pun begitu, kisah lama berpuasa tetap menggamit memori dengan juadah tradisional, bertarawih di masjid, dan persiapan raya awal.

Ia membawa rasa rindu pada kemeriahan kampung halaman dan budaya makan beramai-ramai yang penuh kasih sayang di rumah.

Bentang tikar, susun lauk pauk dan kuih muih atas tikar duduk keliling satu keluarga memunggu azan merupakan saat paling manis untuk dikenang. 

Yang paling seronok pengalaman pertama kali berpuasa, dikejut  sahur dengan terpaksa  an meredah malam ke masjid untuk tarawih.

Suasana menghias rumah, membuat kuih raya, dan membeli baju raya awal menjadi simbolik kegembiraan Ramadan.

Kalut juga tolong mak buat kuih. Pukul telur untuk dibuat bahulu. Giling kacang hijau buang kulitnya dan kemudian tumbuk untuk buat putu kacang juga antara tugas yang diberikan oleh  mak.

Kenangan ini terus hidup dan sering diingatkan semula melalui rancangan masakan, bufet Ramadan yang bertema klasik, dengan sambutan yang kembali meriah setiap tahun. 

Saat paling teruja adalah menunggu azan dan tembakan meriam. Cara orang dulu dulu menunggu waktu berbuka.

Bunyi saja meriam semua melompat kegembiraan dan tangan laju memegang gelas untuk minum.

Tak lupa juga kenakalan curi-curi minum dan makan tanpa diketahui ibu bapa.  Ada juga yang berpura-pura mandi lama semata-mata mahu tertelan air atau membuka peti ais berkali-kali hanya untuk merasa wap sejuk singgah ke badan.

Selepas solat tarawih, aktiviti moreh di masjid menjadi rebutan. Selagi boleh, makan sampai kenyang. Budak-budak pula akan sibuk bermain bunga api atau meriam buluh di kawasan lapang.


Dulu, sebelum berbuka puasa, berebut beli air ketul.


Kini, semua boleh dibeli di bazar Ramadan atau terhidang pada bufet Ramadan. 


Antara banyak-banyak kenangan di atas, yang mana satu paling dekat di hati anda atau ada kisah unik lain yang ingin anda kongsikan?

Sesungguhnya memori Ramadan zaman dahulu sememangnya penuh dengan kemanisan dan nostalgia yang sukar untuk dilupakan. Malah ia tidak akan berulang

Salam Ramadan dan selamat berpuasa. - KitaReporters

3
10
0
4
0
You will be interested