Insan & Komuniti 13 Feb, 2026

Jendela kehidupan! Cerita Abang Tingkap Langkawi di sebalik tingkap kecil! Lahir sebuah perjuangan!

@mohd hussin che rus
Bekas jurufoto bebas bagi sebuah syarikat swasta yang kini menjadi mojo sambilan serta bergiat aktif dalam NGO. Beliau kini menetap di Langkawi. Emel: [email protected]

Share this

Di sebalik sebuah tingkap kecil di tingkat atas sebuah bilik sewa, berdiri seorang lelaki yang sedang berjuang melawan kesakitan sambil mengacau kuali panas. 

Senyumannya tidak pernah lekang, namun tidak ramai mengetahui setiap pergerakan yang dilakukannya masih ditemani rasa perit yang berpanjangan. 



Ramli Mat Zain, 48, atau lebih dikenali sebagai Abang Tingkap Langkawi,melayani pelanggan dari tingkap kecil bilik sewanya.

Dari tingkap itulah Ramli Mat Zain, 48, mencari rezeki dan dari situ jugalah lahirnya nama yang kini dikenali sebagai Abang Tingkap Langkawi.

Ujian bermula pada Mei 2025 apabila beliau disahkan menghidap penyakit vena ulser kronik pada kaki kiri. Keadaan menjadi semakin serius bermula Jun 2025 sehingga menyukarkan beliau untuk berdiri lama atau berjalan seperti biasa. 

Luka yang dialami bukan sekadar menjejaskan fizikal, malah menguji kekuatan emosi apabila beliau terpaksa berhenti kerja kerana tidak lagi mampu meneruskan tugas harian.

Tanpa simpanan dan tanpa pendapatan tetap, Ramli mengakui ada saat beliau termenung memikirkan masa depan.


Walaupun terpaksa memasak dalamruang kecil bilik sewa, Ramli Mat Zain tetap gigih menyediakan hidangan panaskepada pelanggan. 


Namun dalam keperitan itu, beliau memilih untuk bangkit. Pada Ogos 2025, dengan kudrat yang masih berbaki, beliau memulakan perniagaan kecil-kecilan dari bilik sewa yang didiami.

Tingkap kecil dijadikan tempat menyerahkan makanan kepada pelanggan. Dari situlah bermulanya perjalanan Abang Tingkap.

Setiap hari beliau memasak dalam keadaan kaki yang masih dibalut dan belum sembuh sepenuhnya. Ada ketikanya beliau terpaksa duduk seketika menahan sakit sebelum kembali berdiri menyambung kerja. 

Namun semangatnya tidak pernah luntur. Baginya, selagi mampu berdiri walaupun hanya seketika, selagi itu beliau akan terus berusaha mencari rezeki secara halal.

Tidak disangka, usaha kecil itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk setempat. Pelancong yang berkunjung turut tertarik dengan keunikan konsep tersebut. Rezeki yang datang sedikit demi sedikit menjadi sinar harapan dalam kehidupannya.

Lebih melegakan, perniagaannya turut diperakui sebagai peniaga berasaskan rumah oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. 

Pengiktirafan itu memberi keyakinan kepada pelanggan dan menjadi pembakar semangat buat dirinya untuk terus bertahan.


 Antara menu panas yang ditawarkan Abang Tingkap Langkawi dengan harga berpatutan.


Orang ramai sanggup beratur di kaki lima bangunan untukmendapatkan hidangan panas daripada Abang Tingkap Langkawi.


Kini keadaan kakinya menunjukkan perubahan yang semakin baik. Walaupun belum pulih sepenuhnya, Ramli sudah mampu berdiri lebih lama untuk memasak. 

Setiap tempahan yang diterima bukan sekadar jualan, tetapi lambang sokongan dan doa orang ramai terhadap perjuangannya.

Beliau hanya mengharapkan kesembuhan yang berterusan serta rezeki yang tidak putus, kerana itulah satu-satunya punca pendapatan untuk meneruskan kehidupan.

Di sebalik tingkap kecil itu, tersimpan sebuah kisah besar tentang kesabaran, ketabahan dan keyakinan bahawa setiap ujian pasti hadir bersama jalan keluar.

Orang ramai yang ingin membuat tempahan boleh menghubungi beliau menerusi 01153613144. - KitaReporters


Rakan dan pelanggan setia bergambar bersama papan tanda Abang Tingkapsebagai tanda sokongan terhadap usaha Ramli Mat Zain yang bangkit mencarirezeki dari sebuah tingkap kecil di Langkawi.

 

16
11
0
13
0
You will be interested