Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) memulakan ziarah kasih pada tahun ini (2026) di negeri Johor sempena Tahun Baharu Cina dan Awal Ramadan yang akan disambut tidak lama lagi.
Kunjungan kali pertama YKM di negeri Johor ini disertai bekas Perdana Menteri merangkap Pengerusi YKM, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ziarah kasih selama satu hari ini bermula di rumah Loke Kim Yen, seorang guru piano di Jalan Merak, Larkin Jaya pada 10 Februari 2026.
Loke kehilangan suami, Soh Kek Yong pada 19 September 2021 akibat COVID-19 dan kini menyara dua orang anak yang masih bersekolah iaitu Soh Zhe Hong (18 tahun) dan Soh Zhe Qi (16 tahun).
Ibu tunggal ini bukan sahaja diuji dengan kehilangan suami tercinta, malah diberi tanggungjawab besar untuk membesarkan seorang anak kurang upaya iaitu Soh Zhe Hong yang kini mengikuti pembelajaran di Pusat Pendidikan Khas Integrasi SMK Tasek Utara 2.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Yayasan Bandaraya Johor Bahru merangkap Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Datuk Yahya Jaafar yang turut hadir dalam program ziarah kasih.
“Hari ini YKM berkunjung ke rumah Puan Loke sempena Tahun Baharu Cina. Puan Loke merupakan salah seorang penerima bantuan daripada 2 keluarga yang menyambut Tahun Baharu Cina di negeri Johor.
“Kunjungan ini bukan sahaja untuk meraikan keluarga ini, tetapi untuk mendengar dan melihat sendiri perkembangan anak anak yang menerima bantuan khususnya hal ehwal pendidikan,” kata Ismail Sabri.
Beliau menambah pada tahun ini (2026), YKM memberikan penekanan khusus untuk meningkatkan tahap pendidikan anak-anak.
“Insya-Allah, dalam masa terdekat ini, YKM akan memulakan kelas tuisyen percuma secara dalam talian kepada anak-anak YKM di seluruh negara yang akan menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia 2026 bersama pihak MC PLUS,” kata Ismail Sabri.
Terdahulu, beliau turut menyampaikan bantuan perayaan kepada Loke sebagai persediaan menyambut Tahun Baharu Cina pada 17 Februari 2026 ini.
Selain keluarga ini, sebanyak 10 keluarga berbangsa Cina di seluruh negara akan menerima bantuan sempena perayaan Tahun Baharu Cina ini dan bantuan akan mula dikreditkan bermula hari ini (10 Februari 2026) melalui akaun bank masing masing.
Sempena Awal Ramadan yang akan disambut tidak lama lagi, YKM mengambil kesempatan untuk menziarahi salah seorang penerima bantuan, Norazimah Rayian di Jalan Lencana, Kampung Kurnia.
Norazimah yang bekerja sebagai Pembantu Tadbir turut kehilangan suami, Zamri Mohd Esa akibat COVID-19 pada 8 Mac 2021.
Kedua-dua anaknya, Adam Zamri (15 tahun) dan Aryan Zamri (13 tahun) masih bersekolah di SMK Aminuddin Baki dan SMK Mohd Khalid.
Ismail Sabri turut menyampaikan bantuan khas sempena Awal Ramadan dan beliau berharap sumbangan ini dapat digunakan dengan sebaiknya untuk dimanfaatkan sepanjang bulan yang mulia kelak. - KitaReporters/Kenyataan Media