Reunion bukan sekadar perjumpaan semula rakan lama. Ia adalah ruang untuk mengenang kenangan, menyambung silaturahim yang terputus dek masa dan mengingatkan bahawa persahabatan sejati tidak pernah lapuk dimamah usia.

Dalam kebanyakan pertemuan, ada yang hadir dengan senyuman, ada juga yang datang dengan perasaan bercampur-baur.
Ada reunion yang mendatangkan kebaikan, namun tidak dinafikan ada juga yang mengundang rasa kecil hati akibat perbandingan hidup, pangkat dan kejayaan.
Namun, suasana itu jauh berbeza dalam sebuah reunion bekas-bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Sungai Dua, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, yang berlangsung pada 9 Februari 2026 lalu, selepas 50 tahun tamat persekolahan.

Perjumpaan semula bekas pelajar sesi 1971-1976 ini diadakan di Balai Raya Kampung Lanjut Mati, Sungkak, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Menurut penganjur, lokasi tersebut dipilih kerana lebih sesuai dan mudah diakses oleh kebanyakan ahli.
Mereka juga pada asalnya berhajat untuk mengadakan perjumpaan di sekolah lama, namun keputusan diubah bagi mengelakkan gangguan sesi persekolahan kerana majlis diadakan pada hari Isnin.
Pertemuan yang lama dinanti ini menjadi detik penuh emosi buat bekas murid yang akhirnya bersua kembali setelah terpisah setengah abad.
Walaupun wajah sudah berubah, rambut mulai memutih dan langkah tidak lagi segagah dahulu, kehangatan persahabatan masih terasa seperti baru berpisah semalam.
Haslina hashim bersyukur dapat menghadiri pertemuan yang mengungkap kembali memori ketika di sekolah rendah serta dapat bertemu rakan-rakan lama.
Bagi Haslina Hashim, 62, seorang peniaga yang menetap di Seremban, Negeri Sembilan, pertemuan semula ini membangkitkan terlalu banyak kenangan lama yang mencuit hati.
Katanya, zaman persekolahan dahulu penuh dengan disiplin yang tegas. Denda bukan perkara asing.
“Banyak sangat kenangan yang terimbau pada hari pertemuan. Kenangan masa di sekolah dulu sangat mencuit hati apabila kena denda oleh guru.
"Zaman kami ada denda berdiri atas kerusi, berlari keliling padang, berdiri luar kelas, kena rotan oleh guru-guru tapi takut nak beritahu pada mak ayah. Tapi kami sangat hormat dan kasih pada guru-guru kami,” cerita Haslina.
Walaupun bertongkat, namun masih gagahkan diri untuk hadir.
Walaupun ketika itu mereka takut untuk menceritakan kepada ibu bapa, kenangan itu tidak pernah meninggalkan luka.
"Sebaliknya, ia membentuk rasa hormat dan kasih yang mendalam terhadap guru-guru yang mendidik mereka. Baginya, ketegasan itulah yang membina jati diri dan mengajar erti tanggungjawab.
Reunion ini juga, katanya, menjadi ruang untuk saling bertanya khabar, terutama tentang kesihatan.
Pada usia sebegini, perbualan tidak lagi tertumpu kepada pencapaian atau kejayaan, tetapi lebih kepada doa dan keprihatinan terhadap sesama sahabat.
Jika ada yang diuji dengan masalah kesihatan, mereka saling memberi sokongan dan bantuan sekadar yang termampu.

Menurut Haslina, perubahan paling ketara yang dirasai ialah soal kesihatan.
Ada antara mereka yang tidak lagi sekuat dahulu, namun semangat untuk bertemu tetap mengatasi segala kekangan. Ada yang sanggup datang dari Pulau Pinang, Perak dan Kuala Lumpur, semata-mata untuk bersua wajah dengan rakan-rakan lama.
“Perasaan sangat gembira dan terharu kerana kami
masih ada rezeki bertemu pada usia emas. Ada juga sahabat kami yang diuji
dengan masalah kesihatan. Ada juga yang sudah meninggal dunia,” katanya sedikit
sayu.
Dalam pergaulan, mereka tidak membezakan pangkat atau latar belakang. Yang penting hanyalah ikatan persahabatan yang terjalin sejak kecil.
Setiap perbualan dipenuhi keikhlasan, setiap tawa membawa makna dan setiap pandangan seolah-olah menyimpan doa agar hubungan ini terus kekal.

Bagi Haslina, nilai sebuah persahabatan sangat besar
dan tidak ternilai. Keikhlasan yang terpancar dalam pertemuan itu menjadikan reunion ini lebih bermakna daripada
sekadar majlis biasa. Ia menjadi peringatan bahawa sahabat lama adalah anugerah
yang perlu dihargai.
“Sangat besar nilai sebuah persahabatan. Nampak keikhlasan setiap perbualan.
"Semoga persahabat kami kekal hingga akhir hayat dan bertambah erat serta dapat kumpulkan lagi seramai mungkin kerana tak semua dapat hadir pada hari reunion,” ujarnya penuh harap.
Reunion yang telah berlangsung ini bukanlah penamat, sebaliknya menjadi permulaan kepada hubungan yang lebih erat.
Haslina dan rakan-rakannya berharap agar pertemuan seperti ini dapat diteruskan, dengan penyertaan lebih ramai sahabat yang tidak sempat hadir. Bagi mereka, walau masa terus berlalu, persahabatan yang ikhlas akan sentiasa hidup dalam kenangan dan doa. - KitaReporters
