ADA orang
berkata, “Apa ada pada nama’’? Nama dianggap tidak penting tetapi jasa bakti
dan kebaikan diri dianggap lebih utama.
Namun nama tetap perlu sebagai identiti diri. Tanpa nama bagaimana mahu memanggil seseorang? Bagaimana untuk mengisi butiran dalam borang, baik borang mohon kerja, moohon biasiswa dan sebagainya?

Pemberian nama berubah menurut peredaran masa. Dalam era Gen Z dan Alpha ini nama yang diberi kepada bayi yang baharu lahir jauh berbeza berbanding beberapa dekad dahulu.
Perkara ini
diakui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Jabatan itu mendedahkan betapa
nama-nama Melayu klasik dan ringkas kini kurang didaftarkan. Misalnya nama
seperti Husain, Kamarudin, Baharudin dan Kassim. Semuanya hanya satu perkataan.
Nama-nama itu pun sudah dikira moden. Masyarakat
Melayu dahulu terkenal dengan nama-nama yang lebih klasik dan ringkas, justeru mudah
diingat dan disebut. Nama Minah, Odah, Bedah, Leha, Kalsom, Leman,
Budin, Musa, Atan biasa kita dengar.
Bagi masyarakat Jawa pula, banyak nama unik. Contohnya Markonah, Sutinam, Sunarti, Margono, Kadiman, Miskiran, Tukiran, Tukimin adalah antara popular.
Begitu popular sekali nama-nama ini sehinggakan sudah boleh diduga pemilik nama tersebut adalah orang Jawa.

Daripada ramai murid ini, berapa ramai agaknya yang memiliki nama panjang, sukar diingat sukar disebut?
Zaman berlalu masa beredar, nama-nama ‘tradisi’ kian dilupakan. Sebaliknya pelbagai nama diabadikan kepada anak-anak yang baharu melihat dunia. Nama gaya lama diganti dengan nama kontemporari.
Memetik Ketua Pengarah JPN, Datuk Badrul Hisham Alias, ibu bapa kini lebih cenderung
memberi nama komtemporari dengan ejaan moden seperti ‘Ameer’, ‘Zara’, selain
nama mirip antarabangsa seperti ‘Noah’ dan ‘Aurora’.
Ada pula
kecenderungan ibu bapa memberi nama panjang, kadangkala sehingga empat atau lima perkataan. Jika kebetulan nama bapa pun sehingga tiga atau empat perkataan, tentu
panjang nama itu keseluruhannya.
Dalam
keadaan begitu, bayangkan sukarnya mengisi nama dalam ruang borang tertentu.
Ruang yang disediakan sering tidak mencukupi dan perlu ditulis dalam ruang tambahan.
Terdapat
pula ibu bapa memberi nama dengan ejaan unik sehingga sukar disebut. Misalnya
Dhia Syarafana Qalbisyura, NurAdreanna Khayra Azeezah, Raudhatul Jannah
Al-Zarra, Zayra Nafeesa Ismet Khaleeda, Wan Ayra Sophieya Maleeqa.
Bagi lelaki pula, terdapa nama seperti Muhammad Aryan Dzzeffry Haikal, Ahmad Zahafran Syahmi Al-Farabi, Nik Mikhail Ar-Rayyan Khaleed, Mateen Uzzam Al-Khattab.

Dalam kalangan murid perempuan ini, mungkin ada antara mereka memiliki nama panjang hingga tergeliat lidah hendak menyebut.
Jika diperhatikan, contoh nama yang disebut itu ada unsur bahasa Arab. Ini juga menggambarkan kecenderungan ibu bapa menyelitkan unsur Arab dalam nama anak-anak.
Ini bertepatan dengan rekod JPN. Walau pun penggunaan nama tunggal klasik semakin menurun,
nama yang mengandungi ‘Muhammad’ dan ‘Nur’ tetap kekal sebagai pilihan utama
rakyat Malaysia.
Ini
terbukti dengan ribuan bayi didaftarkan dengan nama tersebut antara tahun 2024
hingga 2025.
Nama ‘Muhammad’ mengambil sempena nama junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan kerana itu ia jadi pilihan ramai. Nama ‘Nur’ (Cahaya) melambangkan unsur Arab.
Tidak kira apa nama penuh, Muhammad dan Nur dijadikan kombinasi nama keseluruhannya.
Bagi JPN,
pemberian nama adalah hak ibu bapa. Jabatan itu tiada masalah dan sentiasa
bersikap terbuka. Yang penting nama pilihan tidak melanggar garis panduan jabatan.
Namun
bagitu, bagi penulis, ibu bapa wajar benar-benar faham maksud nama yang diberi,
terutama yang melibatkan bahasa Arab atau bahasa lain. Ini untuk mengelakkan
nama yang diberi mempunyai maksud buruk. Memberi nama baik adalah tanggung
jawab ibu bapa.
Di samping
itu elok juga jika nama tidak terlalu panjang dengan ejaan dan sebutan sehingga
tergelincir lidah apabila menyebutnya.
Memang
seronok ketika memberi nama kepada anak baharu.Tetapi fikirkan juga kesannya
apabila anak masuk sekolah atau pusat pengajian tinggi atau apabila hendak
mengisi borang.
Jika terlalu panjang, nama sukar
disebut dan diingat oleh rakan-rakan, guru atau pensyarah. Malah kaum keluarga
dan saudara mara pun mungkin bermasalah mengingat dan menyebut. Fungsi
nama bagai hilang! - KitaReporters