Insan & Komuniti 12 Feb, 2026

KARIB yang akrab! Menyimpul kenangan, beramah mesra! Warnai Majlis Tautan Kasih 3.0 di Janda Baik!

@ainal marhaton abd ghani
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang kewartawanan. Seorang penulis bebas dan penulis upahan (Ghostwriter). Bergiat aktif dalam dunia penulisan kreatif sejak 2019 dan menyertai puluhan projek antologi pelbagai genre daripada beberapa rumah penerbitan. emel: [email protected]

Share this

Kalau ada sumur di ladang

Boleh saya menumpang mandi

Kalau ada umur yang panjang

Boleh kita berjumpa lagi


Sebahagian daripada ahli-ahli KARIB yang hadir di Majlis Tautan Kasih 3.0 yang berlangsung di Woodstock Camp, Janda Baik


Mendalam maksud pantun ini terutama kepada mereka yang sukar bertemu. 

Sesekali bertemu pasti terubat rasa rindu. Biarpun tiada pertalian darah, namun istilah persahabatan yang terjalin sejak puluhan tahun pasti dapat meleraikan rindu yang terpendam.


Badrulhisham Othman (kiri) menjadi moderator pada sesi bercerita 'Kisah Kita' pada majlis berkenaan.


Dalam keadaan usia yang semakin meningkat dan ada yang sedang berdepan dengan pelbagai masalah kesihatan, seboleh mungkin pertemuan yang dirancang mahu disertai bersama.

Berkerusi roda mahupun bertongkat bukan halangan utama untuk mereka hadirkan diri. 

Bagi mereka, apa yang penting dapat bertemu sahabat yang pernah 'sama-sama susah dan sama-sama senang' dalam dunia 'persuratkhabaran' bermula era 1980-an lagi. 

Apabila bertemu tiada kata yang dapat diucapkan selain salam bertaut dan pelukan mesra. Maklum, masing-masing sudah terpisah jauh dari 'bumbung' Balai Berita NSTP, Jalan Riong, Bangsar tempat mereka mencari rezeki.


Bekas jurufoto BH/HM, dari kiri Yahya Zain, Nordin Abdullah, Rahim Rahmat dan Hassan Ismail.


Pelukan mesra antara Abdul Karim Mustaffa (bersongkok) dan bekas jurufoto BH, Zulkepli Osman saat bertemu di Majlis Tautan Kasih 3.0.


Justeru, penulis yang turut hadir pada Majlis Tautan Kasih 3.0 anjuran Kelab Alumni Riong Bangsar (KARIB) di Woodstock Camp, Janda Baik, Bentong pada 31 Januari lalu cukup terharu menyaksikan  semangat setiakawan yang ditunjukkan oleh 'otai-otai' yang pernah mewarnai dunia media tanah air suatu ketika dahulu. 

Keakraban mereka terserlah walau lama tidak bersua muka kerana sebahagian besar sudahpun meletakkan pena dan kamera yang menjadi sumber rezeki mereka selama berkhidmat.

Begitupun, masih ada dalam kalangan mereka yang terus memegang 'senjata keramat' itu dan berkhidmat di beberapa syarikat dan agensi atau sebagai 'freelancer' (sambilan). 

Jelas sekali, mereka ini tidak boleh melepaskan 'dunia' yang sudah menjadi darah daging mereka begitu sahaja.


 

Minarni Mat Saad menerima hadiah cabutan hadiah pada akhir majlis berkenaan.


Mesyuarat agung tahunan merupakan agenda utama majlis berkenaan.


Kira-kira 60 ahli KARIB termasuk bekas Ketua Pengarangta, Berita Harian (BH), Datuk Dr Ibrahim Yahya dan bekas Timbalan Pengarang BH, Dato' Badrulhisham Othman hadir pada majlis yang berlangsung dengan penuh meriah 

KARIB ditubuhkan pada 2022 dengan tujuan menghimpunkan pengamal media yang pernah bertugas di BH dan HM khususnya wartawan dan jurufoto. 

Ia bertujuan memupuk persahabatan dan bergiat dalam kebajikan dan kemasyarakatan. Antara aktiviti utama adalah ziarah bekas kakitangan yang mempunyai masalah kesihatan dan pemberian sumbangan.


Abdul Karim Mustaffa ketika berucap pada Majlis Tautan Kasih 3.0

Sementara itu, Pengerusi KARIB, Datuk Abdul Karim Mustaffa dalam ucapannya berkata, program itu dapat mengukuhkan ukhwah dalam kalangan ahli-ahli selain menggamit memori silam.

Menurutnya, setakat ini, KARIB sudah berjaya mengumpul hampir 200 ahli dan berharap bekas kakitangan lain turut mendaftar, sekali gus dapat membantu jika mereka ditimpa kesusahan.

"KARIB sentiasa memgambil berat kebajikan bekas rakan sekerja dan nenyalurkan sumbangan kepada mereka yang terbabit dengan masalah kesihatan," katanya.


Dato' BadrulHisham Othman (tiga dari kanan) bersama sebahagian daripada bekas wartawan dan jurufoto yang hadir di majlis berkenaan.


Majlis yang diadakan dalam suasana santai itu secara tidak langsung turut menaikkan semangat mereka dalam usaha mengekalkan ukhwah dan silatulrahim kerana itulah peluang untuk bertemu sesama rakan dan bertanyakan khabar.

Selain agenda utama iaitu mesyuarat agung tahunan, turut diadakan bacaan Yasin dan tahlil, cabutan bertuah serta sesi mendengar 'Kisah Kita' daripada Badrulhisham, Dr Ibrahim, Zulkepli Osman dan Wan Sabariah Shaikh Ali.  


Antara bekas wartawan wanita yang hadir di majlis berkenaan. Dari kiri, Wan Sabariah Shaikh Ali, Saodah Ismail, Khairana Sabtu, Minarni Mat Saad dan Noriah Idris. 

Sebahagian daripada bekas jurufoto BH/HM termasuk jurufoto paling senior, Arif Azahari (berkain pelikat) yang pernah mewarnai dunia media tanah air kini membawa haluan masing-masing.


Abdul Karim berkata, walaupun tidak semua ahli yang hadir, majlis tetap meriah seperti mana dirancang sejak dari awal.

"Semasa kita ada press card, ada buku nota dan pen, ramai yang kenal dan berharap bantuan daripada kita sebagai wartawan juga jurugambar. Namun selepas tidak berjawatan, tidak ramai yang mengingati kita lagi kecuali kawan-kawan yang pernah sama-sama bertugas.

"Sebab itulah KARIB ditubuhkan bagi menyatukan bekas wartawan dan jurugambar di BH/HM/NST supaya dapat terus berhubung dan cakna terhadap kebajikan serta perkembangan terkini juga meneruskan silatulrahim," katanya.


Dr Ibrahim Yahya bercerita mengenai pengalamannya sepanjang bergelar wartawan dan bagaimana dia mendapat jolokan 'Tiger'


Zulkepli yang juga bekas Jurufoto BH menyatakan perasaan terharunya dapat hadir pada majlis berkenaan kerana keinginan bertemu sahabat seperjuangan akhirnya termakbul juga.

"Saya menetap di Kuantan memang agak sukar bertemu rakan yang kebanyakannya berada di Kuala Lumpur. Jadi, saya hadir di sini untuk sama-sama meraikan rakan-rakan dan kembali bernostalgia di bilik foto, Berita Harian.

"Terima kasih juga mengundang saya untuk menjadi tetamu sesi 'Cerita Kita'. Dapatlah saya ceritakan sedikit sebanyak pengalaman yang ada termasuk bagaimana saya digelar dengan panggilan Zorro," katanya. 

Semoga ukhwah dan jalinan silaturrahim antara mereka terus kekal sehingga hujung nyawa. - KitaReporters


Menikmati durian usai majlis berlangsung sebelum pulang ke destinasi masing-masing.

Ahli-ahli KARIB yang hadir pada Majlis Tautan Kasih 3.0 bergambar beramai-ramai sebagai kenangan.

12
20
0
7
0
You will be interested