Gema Raya Putrajaya 2026 bakal menjadi tarikan baharu buat warga di Lembah Klang apabila menawarkan pelbagai jualan raya di tempat lebih eksklusif di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), namun masih mementingkan harga yang bersesuaian bagi pelbagai peringkat.
Dengan kehadiran hampir 300 vendor, ia sudah pasti akan memberi pilihan kepada pengunjung untuk membeli-belah, terutama bagi persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri kali ini.
Selain itu, festival itu menggabungkan keusahawanan, seni budaya, penggunaan teknologi, program kerohanian serta inisiatif kebajikan komuniti dengan jangkaan kehadiran sehingga 800,000 pengunjung.
Malah, jualan selama 33 hari di PICC juga membolehkan orang ramai mengatur masa mereka dengan lebih tersusun untuk hadir bersama ahli keluarga yang lain.

Rayme Zainal Abidin (baju oren)
Menurut penganjur yang juga Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn Bhd, Rayme Zainal Abidin, usaha itu amat penting terutama menjelang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri apabila kos sara hidup semakin meningkat, sekali gus memberi kesan kepada kumpulan B40 dan juga M40.
“Sebagai penganjur, kami memberi jaminan harga yang ditawarkan di Gema Raya Putrajaya masih berpatutan dan mampu dibeli oleh kebanyakan rakyat.
“Malah, sikap peniaga di sini tidak terlalu mementingkan keuntungan semata-mata, sebaliknya menawarkan harga munasabah demi keberkatan yang wajar dicontohi oleh usahawan lain pada semua peringkat.
“Apatah lagi, sewa lot niaga di sini tidak terlalu membebankan walaupun menyewa selama 33 hari, yang membolehkan peniaga tidak sewenang-wenangnya meletakkan harga tinggi untuk mendapatkan kembali modal sewa,” katanya.
Gema Raya Putrajaya 2026 turut mendapat kerjasama dengan beberapa rakan strategik termasuk sokongan penuh daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).


Proton e-MAS 5 akan menjadi hadiah utama sebagai cabutan bertuah buat pengunjung yang hadir di PICC.
Selain itu, beberapa artis ternama akan membuat persembahan seperti Aina Abdul, Ernie Zakri, Khai Bahar, Amir Masdi dan Nabila Razali pada hujung minggu terpilih.
Ini pasti dinantikan pengunjung kerana kesemua mereka merupakan bekas finalis yang pernah berentap di pentas berprestij Anugerah Juara Lagu.
Tambahnya, turut memeriahkan acara ialah Bella Astillah serta artis meningkat naik iaitu juara sulung program realitinyanyian Raise The Star Malaysia, Didie Shazry, dan kumpulan Alpha yang ditubuhkan menerusi program Big Stage Alpha.


Antara baju raya yang akan dijual pada Gema Raya 2026.
“Selain barisan agamawan terkenal yang telah disusun dalam pengisian kerohanian untuk program Nur Ramadan, kehadiran barisan artis popular ini dijangka menjadi tarikan utama kepada pengunjung untuk hadir dan membeli-belah.
“Pembabitan artis bertaraf gred A yang pernah memenangi pelbagai anugerah dilihat sebagai penanda aras kelangsungan dan kejayaan penganjuran Gema Raya Putrajaya pada masa akan datang.
“Sebagai penganjur, kami mahu memberikan yang terbaik kepada semua pihak, terutama kepada usahawan yang berniaga, dalam usaha menarik lebih ramai pengunjung ke PICC,” katanya. - KitaReporters
