Insan & Komuniti 16 Feb, 2026

Sambut Ramadan! Kariah masjid adakan kenduri rakyat, gotong-royong, tahlil perdana! Eratkan ukhuwah!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Program gotong-royong yang disusuli dengan kuliah khas dan tahlil perdana berlangsung di surau atau masjid bersempena pada ambang kedatangan Ramadan adalah usaha terbaik dalam memupuk semangat kebersamaan serta perpaduan dalam kalangan komuniti di satu-satu tempat.



Malah program sedemikian wajar diperkukuh untuk memastikan keharmonian dan kesejahteraan komuniti sentiasa terpelihara malah menjadi benteng bagi menghalang atau mencegah anasir tidak sihat merebak.

Dalam program itu apabila membabitkan pelbagai peringkat usia komuniti yang datang dari pelbagai negeri secara tidak langsung menjadi platform merapatkan hubungan antara mereka termasuk dengan pemimpin masyarakat di kawasan terbabit.


Penduduk kampung bergotong-royong menyembelih serta melapah lembu dan kambing.


Mengambil iktibar menyambut kedatangan Ramadan yang mulia, Masjid Kariah Kampung Rinching Hulu (MKKRH), Semenyih, Selangor menganjurkan Program Kenduri Rakyat, Gotong-Royong dan Tahlil Perdana di pekarangan masjid berkenaan selama dua hari bermula 13 Februari 2026.

Program yang dianjurkan dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Rinching Hulu dan Tengah itu turut dimanfaatkan dengan Kuliah Ambang Ramadan yang disampaikan oleh Kapten Maritim, Nik Kamruddin Yunoh.

Pengarah program berkenaan, Samsudin Zainal, berkata objektif program itu diadakan sebagai salah satu usaha bagi mengeratkan ukhuwah dan mendekatkan kariah untuk hadir ke masjid bukan sahaja pada Ramadan sebaliknya berterusan selepas itu.


Sebahagian penduduk berganding bahu mengelap cermin dan mengecat dinding masjid.


Tambahnya, walaupun sebelum itu sering dianjurkan pelbagai program membabitkan komuniti namun pihak ahli jawatankuasa (AJK) masjid sentiasa mengambil inisiatif ‘berdakwah’ untuk menarik penduduk sekitar hadir bersolat jemaah atau menyertai aktiviti diadakan.

Menurutnya, dalam program komuniti itu pembabitan orang ramai bukan setakat dalam kalangan kariah masjid juga mempelawa penduduk pelbagai kaum untuk hadir apabila aktiviti diadakan diselia urus serta dianjurkan pelbagai agensi kerajaan atau swasta.

“Program seperti ini memang banyak memberi manfaat khusus membudayakan hidup dalam harmoni dengan menyemaikan semangat perpaduan, bertegur antara satu sama lain disamping memberi peluang mengenali pemimpin masyarakat yang turut hadir,” ujarnya.


Sebahagian kaum wanita membantu tugas di dapur bagi menyediakan bahan untuk memasak daging dan nasi beriani Johor.


Mengenai program itu, Samsudin berkata, antara aktiviti yang diadakan termasuklah gotong-royong membersih persekitaran masjid dalam dan luar seperti memotong rumput, menebas semak samun, mengecat dinding, membersihkan karpet, mengelap cermin, mengemop lantai, menyembelih lembu dan kambing serta melapah sebagai persediaan mengadakan kenduri rakyat sementara kaum wanita membantu tugas di dapur.

Jelasnya, gotong-royong diadakan itu selain disertai pegawai dan AJK masjid juga membabitkan oleh Grup Kubur kampung berkenaan, bomba sukarelawan, pelajar MARA Japan Industrial Institute (MJII), Tahfiz Al-Ikhwan dan ahli kariah.

“Program ini daripada cetusan idea Timbalan Nazir MKKRH, Abdul Talib Abdul Hamid, dimeriahkan dengan masakan nasi beriani Johor oleh seorang AJK, Ir Samsudin Kandar sebagai menu utama kenduri rakyat yang turut dihadiri penghulu, wakil ahli Parlimen dan Balai Polis Semenyih,” ujarnya.


Kariah masjid menjamu selera selepas Kuliah Ambang Ramadan dan Tahlil Perdana.


Sementara itu, seorang kariah yang ditemui, Zool Fazlee Nordin, berkata program berkenaan wajar dipuji kerana berjaya menyatukan penduduk serta menghidupkan semangat kejiranan dan kerjasama kerana aktiviti gotong-royong mencerminkan budaya muafakat. 

“Manakala tahlil perdana memperkukuh hubungan rohani dalam kalangan ahli kariah, saya berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa depan demi kesejahteraan dan perpaduan masyarakat yang menetap di taman perumahan dan kampung,” katanya.

Pegawai Perhubungan MKKRH/Balai Polis Semenyih, Koperal Azlan Ahmat pula berharap hubungan ukhuwah antara kariah masjid dengan polis terus terjalin dengan baik malah sentiasa terpelihara sebagai usaha mengekalkan keharmonian hidup dalam komuniti pelbagai kaum.

“Kami mengucapkan ribuan terima di atas jemputan ini untuk bersama menjayakan aktiviti diadakan itu malah semua memainkan peranan yang penting dari awal penyediaan pelbagai acara hingga selesai program,” ujarnya.

Hayati Yusof pula berkata, program itu berjaya memupuk semangat kejiranan di samping mengimarahkan masjid sebagai pusat ibadah, pembangunan rohani, sosial serta aktiviti komuniti dan ia wajar diteruskan kepada generasi muda pada masa depan. - KitaReporters


Sebahagian sukarelawan menikmati hidangan nasi beriani Johor pada Program Kenduri Rakyat, Gotong-Royong dan Tahlil Perdana anjuran Masjid Kariah Kampung Rinching Hulu, Semenyih.

_____________________

16
14
0
11
0
You will be interested