Mereka datang bukan dengan tangan kosong, ada menggalas beberapa kotak besar, ada hanya membawa beberapa helai pakaian, namun semua penyumbang hadir dengan satu perkara yang sama -- hati mereka besar dan niat mereka ikhlas.


Suasana meriah Free Market di tapak parkir Masjid Nurul Saadah Kampung Cheras Baru seperti pasar pagi.
Program Free Market Ramadan Raya di Masjid Nurul Saadah, Kampung Cheras Baru, Ampang, Selangor bukan sekadar lokasi perkongsian barangan, sebaliknya menjadi saksi pengorbanan insan yang sanggup melepaskan barangan kesayangan demi kegunaan orang lain.
Program anjuran Pertubuhan Komuniti Pandan Prihatin (Pandan Prihatin) itu menyatukan masyarakat daripada pelbagai latar belakang dalam suasana penuh empati dan kasih sayang.
Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Ts Hasrolnizam Shaari berkata, beliau sendiri tersentuh apabila mendengar kisah di sebalik sumbangan yang diberikan.
Beliau berkata, kebanyakan penyumbang mengakui barangan yang dibawa bukanlah barang lebihan, sebaliknya barangan milik peribadi yang disimpan lama dan mempunyai nilai sentimental.
“Mereka beritahu, barang itu memang disayangi. Ada yang niat mahu menyimpan sampai bila-bila, tetapi mereka lepaskan juga supaya dapat digunakan orang lain dengan lebih bermanfaat.
"Inilah makna sebenar memberi, iaitu sanggup melepaskan apa yang kita sayang, bukan sekadar memberi apa yang tidak lagi diperlukan.
"Sikap itu mencerminkan kefahaman sebenar erti memberi dalam Islam, iaitu mendahulukan barangan yang masih elok dan disukai.

Ts Hasrolnizam Shaari

Hasrolnizam Shaari memberi ucapan ringkas kepada orang ramai sebelum merasmikan Free Market Ramadan Raya di Masjid Nurul Saadah, Kampung Cheras Baru.
Antara kisah paling menyentuh hatinya adalah pertemuan dengan seorang penyumbang dari Bangi yang membawa barangan peninggalan arwah ibunya. Penyumbang itu mengumpul, membersih dan menyusun sendiri barangan berkenaan sebelum membawanya ke Free Market tersebut.
“Dia tidak mahu barangan itu rosak atau terbiar. Dia mahu melihat sendiri siapa yang akan menerimanya. Itu bukan mudah kerana ia melibatkan kenangan dan perasaan,” katanya.
"Saya kagum dan angkat topi kerana penyumbang dalam program itu boleh dianggap insan luar biasa kerana sanggup berpanas, berdiri lama dan meluangkan masa tanpa mengharapkan sebarang balasan.
“Mereka datang bukan untuk menjual, bukan untuk nama, dan bukan untuk upah. Mereka datang kerana rasa ehsan,” katanya.
Menurutnya, suasana di tapak Free Market jelas mempamerkan nilai kasih sayang dan prihatin yang semakin jarang dilihat dalam kehidupan moden.


Beberapa kanak-kanak memerhati barangan permainan yang turut diberi penyumbang sempena Free Market

Si kecil ini akhirnya mendapat permainan idamannya secara percuma.
Ditanya peranan MPAJ dalam program Free Market itu, Hasrolnizam berkata pihaknya bertindak sebagai pemudah cara dengan menyediakan tapak dan kemudahan seperti logistik, pekerja, pengangkutan dan lokasi yang sesuai supaya penganjuran berjalan lancar.
“Kami mahu penyumbang selesa, penerima juga selesa. Itu sahaja matlamat kami.
"Program seumpama itu turut diberi pengecualian lesen kerana matlamatnya jelas untuk membantu masyarakat tanpa keuntungan," katanya.


Sukarelawan Pandan Prihatin menyiapkan bubur lambuk untuk diberikan kepada orang ramai secara percuma.
Dalam perkembangan yang sama, beliau gembira melihat suasana Free Market itu yang berlangsung dalam keadaan harmoni tanpa mengira latar belakang, darjat atau kaum.
“Tiada istilah siapa kaya atau miskin. Semua mengambil dengan adab, memberi dengan ikhlas.
"Free Market turut membantu meringankan beban golongan kurang berkemampuan apabila pelbagai barangan keperluan disediakan termasuk makanan, pakaian dan barangan asas.
"Alhamdulillah ramai bukan Melayu juga hadir untuk mengambil pelbagai barangan disediakan, begitu juga warga asing. Free market ini juga selari dengan ajaran Islam yang benci kepada pembaziran, daripada membuang lebih baik memberi kepada yang memerlukan," katanya.
Beliau berharap program seperti ini dapat diteruskan dan diperluas ke kawasan lain di bawah seliaan MPAJ.
"Saya mahu lebih ramai NGO mengikuti contoh Pandan Prihatin. MPAJ sedia membantu dengan kemampuan dan kemudahan logistik sedia ada termasuk menyediakan tapak, kawalan keselamatan, kebersihan dan pengangkutan," katanya.


Warga asing turut mengambil peluang Free Market untuk mendapatkan beberapa barangan terutamanya pakaian secara percuma.
Sementara itu, Pengasas merangkap Pengerusi Pandan Prihatin, Mohd Rizal Othman berkata, seramai 60 penyumbang menyertai program berkenaan, yang datang dari seluruh Selangor dan luar Lembah Klang antaranya Negeri Sembilan.
Beliau berkata, sukarelawan Pandan Prihatin turut memasak tujuh periuk bubur lambuk serta menyediakan sarapan seperti nasi lemak, teh tarik dan keropok lekor kepada pengunjung yang hadir sejak awal pagi.
Pandan Prihatin menganjurkan Free Market Ramadan Raya ini susulan permintaan tinggi masyarakat dan menjadi antara usaha berkala kami untuk membantu komuniti.
“Free Market ini adalah tempat untuk orang baik berkumpul. Ada yang mahu memberi tetapi tidak tahu ke mana hendak disalurkan.
"Pelbagai barangan disediakan termasuk pakaian, tudung, baju dan kasut sekolah serta permainan kanak-kanak. Ada juga penyumbang memberi barangan keperluan harian seperti sayur-sayuran, bawang, kentang, gula dan cili kering," katanya lagi.

Mohd Rizal Othman

Lokasi seorang penyumbang, Daud dari Putrajaya menjadi tumpuan pengunjung yang mahu mendapatkan pelbagai barangan.
Dalam urusan di Free Market, beliau berharap penerima mengutamakan adab, antaranya mengambil sekadar perlu dan mengucapkan terima kasih kepada penyumbang.
"Kita mengadakan program Free Market ini bukan mahu menggalakkan masyarakat menjadi tamak tapi yang penting beradab. Setiap penerima perlu ada adab, ini yang kami tekankan.
"Mintalah secara baik, ambil sekadar perlu dan memberi peluang kepada orang lain yang memerlukan, dan selepas mengambil tolonglah memberi ucapan terima kasih," katanya.
Program yang bermula jam 9.30 pagi hingga jam 11.30 pagi itu menyaksikan orang ramai sudah berkumpul seawal jam 8 pagi.

Selain pakaian dan barangan dapur, dua wanita itu memberikan bawang putih, merah, cili kering dan kentang secara percuma.

Satu famili memberi senyuman dan mengharapkan barangan yang disumbangkan dimanfaatkan penerima.
“Kami tidak benarkan masuk awal kerana mahu beri ruang kepada penyumbang menyusun barangan dengan tenang.
"Saya pun tak sangka sambutan di luar dugaan kerana kami mengadakan Free Market kali ini untuk santai-santai saja, tak sangka, ia dapat sambutan di luar dugaan," katanya.
Beliau berkata, kejayaan program itu membuka laluan kepada penganjuran Free Market Perdana yang lebih besar dengan kerjasama MPAJ, sekali gus memperkukuh hubungan antara pemimpin dan masyarakat.
"Alhamdulillah, hasil perbincangan dengan Timbalan YDP, beliau bersetuju untuk berkolaborasi lagi bagi menghimpunkan semua pemimpin kawasan di bawah MPAJ.
"Melalui Free Market Perdana itu, pemimpin kawasan bukan saja menyumbang tetapi bertemu masyarakat supaya hubungan di antara kedua-duanya lebih erat," katanya.


Pada usia masih muda, mereka sudah menjadi insan yang prihatin untuk memberi dan membantu mereka yang memerlukan.