Pelancaran program Jualan Sejahtera Rahmah Ikan Murah di Sungai Siput, Perak pada 15 Februari 2026 lalu anjuran Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Perak adalah usaha membantu rakyat mendapatkan bekalan ikan pada harga lebih murah.
Majlis peluncuran di Sungai Siput itu dilancarkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Ia menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan serta masyarakat setempat dalam suasana penuh harmoni dan semangat kebersamaan.
Menurut kenyataan LKIM, program ini akan dilaksanakan di kesemua 12 daerah di negeri Perak dengan matlamat utama meringankan beban kos sara hidup rakyat melalui penawaran pelbagai spesies ikan pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran semasa.
Bagi memastikan capaian yang menyeluruh, program ini akan dilaksanakan di lima lokasi tapak kekal bagi setiap daerah.
Selain itu, jualan turut diadakan selepas solat Jumaat di masjid-masjid terpilih di seluruh negeri.
"Kaedah jualan bergerak menggunakan khemah, motosikal roda tiga dan lori juga akan dilaksanakan sebanyak tiga kali seminggu di lokasi-lokasi terpilih.
"Secara keseluruhannya, LKIM menyasarkan pelaksanaan melebihi 1,000 sesi jualan sepanjang tahun 2026.
"Inisiatif ini selaras dengan pencapaian sektor perikanan negeri Perak yang mencatatkan hasil sebanyak 434,349.91 metrik tan pada tahun 2024 dan 333,984.26 metrik tan pada tahun 2025, menjadikan negeri ini penyumbang utama hasil perikanan negara.
"Potensi ini dimanfaatkan bagi memastikan bekalan hasil laut dapat dinikmati rakyat tempatan pada harga yang murah," katanya kenyataan itu pada 15 Februari 2026.
Selain itu, program ini turut memperlihat kerjasama strategik antara LKIM dan pelbagai agensi termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Yayasan Bina Upaya, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri (SADC) Perak serta agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan seperti FAMA, Jabatan Pertanian, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Jabatan Perkhidmatan Veterinar, MARDI serta usahawan bimbingan LKIM.
Kolaborasi bersepadu ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus dipelihara melalui inisiatif yang memberi impak langsung kepada kos barangan keperluan harian.
Sehubungan itu, Shaarani berharap program Jualan Sejahtera Rahmah Ikan Murah dapat diteruskan dan diperkasakan dari semasa ke semasa demi kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negeri Perak secara keseluruhannya. - KitaReporters
