Sabun pencuci pinggan lazimnya berperanan menanggalkan minyak, sisa makanan dan bau hanyir di dapur.
Namun pada era media sosial hari ini, fungsinya seolah-olah ‘naik pangkat’ menjadi bahan serba guna daripada mengemop lantai, membasuh tuala hinggalah mencuci kain yang berbau kepam.
Itulah yang berlaku apabila seorang pengguna media sosial, @jannahfuzian, berkongsi pengalaman ringkas tetapi penuh humor tentang bagaimana dia menggunakan sabun pinggan jenama terkenal untuk mencuci kain.
Hasilnya bukan sahaja baju tidak berbau kepam, malah mesin basuh juga ‘lega’ daripada bau yang melekat.
Perkongsian santai itu segera mencuri perhatian dan memperlihat bagaimana satu amalan di rumah mampu mencetuskan perbincangan panjang, daripada tip praktikal sehinggalah isu boikot, keselamatan bahan kimia dan kesan kepada mesin basuh.

“Aku kan, basuh kain pakai Sunlight sikit. Sampai mencirit dia nak keluar, padahal dah habis. Kebaikannya baju tak bau kepam. Mesin basuh pun tak kepam. Tak percaya cuba try test lah!”
Nada bersahaja itu disambut pula dengan satu lagi perkongsian bergambar yang memperlihat kain-kain patchwork yang sebelum ini berbau hanyir ikan keli, perut ikan, perut lembu kini siap dibasuh dan menunggu untuk disidai.
“Ni haaa! Patchwork blanket aku punya kain! Esok sidai, hapak tak masuk sebab bau Sunlight!” tulisnya lagi dengan penuh puas hati.

Tidak menunggu lama, ruangan komen mula ‘hidup’.
Ada yang mengaku sudah lama mengamalkan cara sama. Ada juga yang terkejut, menyangka gambar kain itu adalah ikan yang sedang dibersihkan.
“Maaf kak, saya ingat tu ikan yang dah siap siang buang perut akak cuci pakai Sunlight,” komen salah seorang netizen.
“Saya selalu basuh tudung guna Sunlight, nak buang minyak pada tudung, minyak dagu, tahulah kan,” seloroh netizen lain pula.

Mananakala ada netizen menggunakan teknik sama untuk
membasuh pakaian berwarna putih tanpa perlu menggunakan peluntur.
“Sama! Untuk baju putih. Hasilnya macam klorox tanpa rosakkan baju,” ujarnya, sebelum menutup dengan emoji senyum puas.

Komen semakin rancak apabila ada yang mula membayangkan situasi di rumah masing-masing.
“Okay kak. Saya tengah tunggu mak saya bubuh ni. Karang saya balunlah Sunlight dia sampai mencirit jugak, uii mokk,” tulis netizen tersebut.

Gelombang sokongan terus mengalir. Seorang netizen mengakui dia tidak lagi rasa pelik dengan kaedah itu.
“Saya mop rumah dengan air panas pakai Sunlight. Basuh tuala dengan Sunlight. Kadang baju sekolah anak bahagian kolar dan poket pun pakai Sunlight,” ceritanya.

Ruangan komen semakin rancak apabila seorang bekas pekerja salun berkongsi pengalaman. Dengan pembuka penuh keyakinan, dia menutup dengan pengakuan jujur.
“Kalau perempuan pakai tudung kepala berminyak dan berbau kepam. Walaupun dah pakai syampu mahal masih bau. Cuba pakai sabun basuh pinggan macam ni, pasti bersih. Saya pernah kerja salun, bos saya sendiri ajar,” kongsinya.
Walaupun keberkesanannya masih menjadi perdebatan, perkongsian ini membuka ruang kepada perbincangan tentang penggunaan alternatif di rumah.
Pengguna disaran agar sentiasa berhati-hati, membaca label produk, serta memastikan kaedah yang digunakan tidak memberi kesan buruk kepada kesihatan atau peralatan. - KitaReporters
