Insan & Komuniti 19 Feb, 2026

Tolong kami! Bantu pesakit hidrosefalus! Satu bakul, seribu makna! Bakul Ramadan hidupkan harapan!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. đź“§: [email protected]

Share this

Bulan Ramadan bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga, tetapi juga bulan yang penuh rahmat, keinsafan dan amalan kebajikan. 

Dalam suasana masyarakat Islam berlumba-lumba melakukan kebaikan, amalan bersedekah dan saling membantu menjadi antara nilai utama yang menyatukan komuniti.



Amalan bersedekah menjadi lebih bermakna apabila disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan, termasuk keluarga yang menjaga pesakit kronik seperti hidrosefalus (hydrocephalus).

Hidrosefalus ialah keadaan perubatan yang menyebabkan pengumpulan cecair berlebihan dalam otak, sehingga meningkatkan tekanan pada tisu otak. 

Keadaan ini boleh menyebabkan pelbagai komplikasi termasuk pembesaran kepala bagi bayi, masalah perkembangan, gangguan pergerakan, serta keperluan penjagaan rapi sepanjang hayat. 

Kebanyakan pesakit memerlukan rawatan berterusan, pemantauan kesihatan berkala dan dalam kes tertentu, pembedahan pemasangan shunt bagi mengawal aliran cecair.



Kesan penyakit ini bukan sahaja kepada pesakit, tetapi juga kepada keluarga yang perlu memberi penjagaan sepenuh masa. Ramai ibu bapa terpaksa berhenti kerja atau mengurangkan pendapatan demi menjaga anak yang memerlukan perhatian khusus. 

Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat, beban kewangan ini menjadi cabaran besar, lebih-lebih lagi ketika Ramadan.


Presiden PPHM, Azah Hana Ahmad Azahari. 


Menyedari hakikat tersebut, Persatuan Pesakit Hydrocephalus Malaysia (PPHM) mengambil inisiatif melaksanakan program Bakul Ramadan sebagai usaha membantu keluarga pesakit hidrosefalus yang kurang berkemampuan menyediakan juadah berbuka puasa.

Menurut Presiden PPHM, Azah Hana Ahmad Azahari, 42, inisiatif ini diwujudkan bagi meringankan beban keluarga pesakit, walaupun bantuan yang diberikan mungkin tidak mencukupi untuk keseluruhan bulan Ramadan.



“Bakul Ramadan PPHM adalah inisiatif persatuan bagi membantu keluarga yang kurang berkemampuan dalam menyediakan juadah berbuka puasa. 

"Usaha kami mungkin tidak dapat mencukupkan keperluan sebulan berpuasa, tetapi sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan keluarga pesakit,” katanya.

Tambahnya yang juga seorang suri rumah, kos penjagaan pesakit hidrosefalus, khususnya kanak-kanak yang terlantar, sangat tinggi dan sering kali melebihi pendapatan keluarga. 

“Kita sedia maklum perbelanjaan menjaga anak istimewa yang terlantar sangat tinggi dan kadangkala melebihi pendapatan keluarga. Kebanyakan pesakit kami juga merupakan golongan berpendapatan rendah,” jelasnya lagi.



Program Bakul Ramadan PPHM bukanlah sesuatu yang baharu. Ia bermula pada tahun 2017 menerusi program Jelajah Ramadan yang diadakan buat pertama kali oleh persatuan tersebut.

Melalui program tersebut, ahli persatuan turun padang melakukan lawatan dari rumah ke rumah di beberapa negeri bagi meninjau sendiri keadaan ekonomi keluarga pesakit hidrosefalus.



Jelajah Ramadan bukan sekadar program menyampaikan bantuan, tetapi juga menjadi platform untuk memahami realiti kehidupan keluarga pesakit. 

Ada yang terpaksa berhenti kerja bagi menjaga anak sepenuh masa, ada juga yang bergantung sepenuhnya kepada pendapatan pasangan atau bantuan kebajikan.

Rentetan daripada program jelajah tersebut, pihak persatuan dapat mengenal pasti keluarga yang benar-benar memerlukan bantuan, sekali gus memastikan sumbangan yang diberikan sampai kepada golongan sasaran.

Program ini juga membuka mata banyak pihak tentang cabaran sebenar yang dihadapi keluarga pesakit hidrosefalus, yang bukan sahaja berdepan tekanan emosi tetapi juga beban kewangan berpanjangan.



Bagaimanapun, situasi berubah selepas negara dilanda pandemik COVID-19. Kekangan kewangan dan sumber menyebabkan persatuan terpaksa mengehadkan skop bantuan.

Jika sebelum ini program jelajah dilakukan di pelbagai negeri, kini PPHM hanya mampu menghantar sumbangan Bakul Ramadan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor sahaja.

Kekangan ini bukan sahaja mengehadkan kawasan bantuan, malah turut memberi kesan kepada jumlah penerima. Menurut Azah Hana, beberapa tahun kebelakangan ini persatuan berdepan kesukaran untuk mengumpul dana seperti sebelumnya. 

“Sebelum ini kami mensasarkan 100 keluarga penerima, tetapi kini kami hanya mampu menyediakan 50 bakul Ramadan sahaja,” katanya dengan nada penuh harapan agar lebih ramai tampil membantu.



Pengurangan ini pastinya memberi kesan kepada keluarga pesakit lain yang turut memerlukan bantuan, namun persatuan tetap berusaha sedaya upaya menghulurkan bantuan mengikut kemampuan yang ada.

Setiap bBakul Ramadan yang disediakan mengandungi barangan keperluan asas bagi membantu keluarga menyediakan juadah berbuka dan sahur. 

Antara barangan yang disertakan ialah beras, kurma, kordial, nasi impit, gula, teh atau kopi atau coklat, minyak masak, susu, bihun, sardin, tepung dan kicap.

Barangan ini dipilih kerana ia merupakan keperluan asas yang boleh digunakan sepanjang bulan Ramadan, sekali gus membantu mengurangkan perbelanjaan dapur keluarga.



Walaupun kelihatan sederhana, sumbangan ini membawa makna besar kepada penerima, terutama bagi keluarga yang mempunyai pendapatan terhad dan perlu menanggung kos rawatan serta penjagaan pesakit.

Bagi mereka, setiap pek beras, setiap tin sardin dan setiap paket susu adalah simbol keprihatinan masyarakat terhadap nasib yang mereka lalui. 

Menariknya, dana bagi menjayakan program ini diperoleh sepenuhnya daripada sumbangan orang awam yang disalurkan melalui media sosial persatuan.

Selain sumbangan kewangan, orang ramai juga boleh menyumbangkan barangan keperluan asas untuk dimasukkan ke dalam Bakul Ramadan. 

Ini menunjukkan bahawa kekuatan sebenar program ini terletak pada solidariti masyarakat yang prihatin dan sanggup berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan.

Dalam era digital hari ini, media sosial memainkan peranan penting dalam menghubungkan penyumbang dengan penerima bantuan. Melalui platform ini, lebih ramai dapat mengetahui tentang usaha murni yang dijalankan oleh PPHM.



Namun begitu, cabaran utama tetap sama iaitu mendapatkan dana yang mencukupi untuk membantu lebih ramai keluarga. 

Walaupun berdepan pelbagai cabaran, PPHM tetap komited meneruskan program Bakul Ramadan demi membantu keluarga pesakit hydrocephalus. 

Bagi Azah Hana, setiap sumbangan, walaupun kecil, mampu membawa perubahan besar dalam kehidupan keluarga penerima. 

Ramadan adalah bulan memberi dan berkongsi. Dalam setiap rezeki yang kita miliki, ada bahagian untuk mereka yang memerlukan.

Orang ramai yang berminat untuk memberi sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Hong Leong Bank bernombor 0110 0218 485 atas nama Persatuan Pesakit Hydrocephalus Malaysia. - KitaReporters


14
16
0
13
0
You will be interested