SETIAP tahun pada bulan Ramadan, ramai umat Islam dari seluruh dunia, termasuk Malaysia, mengambil kesempatan menunaikan umrah di Tanah Suci Mekah. Jumlahnya lebih ramai berbanding bulan-bulan lain dengan harapan meraih keberkatan pada bulan mulia dan suci itu.


Masjidil Haram di Mekah, masjid agung dan terbesar tumpuan umat Islam seluruh dunia ketika menunaikan Haji dan Umrah.
Di Tanah Suci, tumpuan utama ialah Masjidil Haram. Bersolat di masjid ini besar ganjarannya berkali-kali ganda. Kerana itu selain menunaikan rukun umrah, jemaah menghabiskan banyak masa di masjid ini untuk beribadah.
Tetapi
berapa ramai antara jemaah yang tahu apa ciri-ciri hebat masjid agung dan
terbesar itu? Daripada masjid kecil pada zaman Nabi Muhammad SAW, ia melalui transformasi
sehingga muncul seperti apa yang ada hari ini.
Masjidil
Haram ialah bangunan paling mahal di dunia. Ia dibina dengan kos AS$100 bilion
(RM390 bilion). Keluasan keseluruhannya ialah satu juta meter persegi.
Lantai masjid dilitupi 40,000 permaidani. Jumlah panjangnya jika dihitung ialah 79 km, sama jarak antara Jeddah dan Mekah.
Setiap tahun masjid menerima kunjungan anggaran 20 juta umat Islam dari seluruh dunia. Ia mampu menampung sehingga dua juta jemaah pada satu-satu masa.

Kawasan dataran Masjidil Haram yang juga menempatkan Kaabah saban tahun dipenuhi jutaan umat Islam yang mengerjakan haji dan umrah.
Masjid ini dibuka 24 jam dan mempunyai 1,800 orang pekerja pembersihan. Ia memiliki 40 kenderaan pembersihan sanitari (sanitary) elektrik, selain 60 mesin sanitari elektrik untuk membersihkan halaman terbuka.
Juga disediakan
13,000 tandas yang dibersihkan empat kali sehari setiap enam jam. Sebanyak
25,000 dispenser air disediakan, menjadikannnya antara sistem pengagihan air
terbesar di dunia.
Untuk memastikan
air sentiasa bersih dan selamat diminum oleh jemaah, sebanyak 100 contoh atau sample
minuman diperiksa setiap hari. Pihak berkuasa tidak berkompromi mengenai aspek
kebesihan.
Masjid ini juga memiliki tangki simpanan besar berkapasiti 1.7 juta botol air dengan setiap botol berkapasiti 10 liter. Fungsi tangki ini adalah untuk menyimpan lebihan air daripada Telaga Zam-Zam.

Satu sudut pemandangan sangat menarik di bahagian dalam Masjidil Haram.
Dari segi fasiliti lain ialah siaran bacaan Al-Quran 24 jam tujuh hari seminggu. Bacaan menggunakan 10 kaedah Qiraat yang diiktiraf. Naskhah Al-Quran diterjemah ke dalam 65 bahasa berbeza. Khutbah Jumaat pula diterjemah ke dalam lima bahasa.
Sistem
audio dianggap terbaik dan canggih, merupakan antara sistem bunyi terbesar dan
kompleks di dunia. Ia dilengkapi dengan 6,000 pembesar suara, empat sistem
audio berbeza serta 50 kaki tangan kejuruteraan bunyi.
Untuk keselesaan jemaah, ratusan penyaman udara dipasang di dalam masjid. Lantai masjid memantulkan cahaya dan haba, sekali gus membantu pengawalan suhu.

Lantai marmar berkilat menyerikan lantai bahagian dalam Masjidil Haram.
Juga disediakan lebih 2,000 peti simpanan keselamatan untuk menyimpan barang peribadi. Aplikasi pemandu pelancong elektronik juga dipasang, menunjukkan lokasi bahagian-bahagian masjid. Ini sangat berguna sebagai panduan kepada jemaah.
Untuk Orang
Kelainan Upaya (OKU), pelbagai kemudahan disediakan. Antaranya 10,000 kerusi
roda biasa disediakan percuma. Juga 400 kerusi roda berpandu elektronik dan
kerusi roda automatik dua roda dan tiga roda.
Bagi mereka yang berada di Tanah Suci menunaikan umrah pada bulan Ramadan, terdapat perkhidmatan khas disediakan.
Ia meliputi empat juta hidangan berbuka puasa percuma di sepanjang Ramadan. Lima juta kurma tanpa biji pula diagih setiap hari di kawasan masjid.
Selepas berbuka, tiba masa menunaikan solat maghrib. Kawasan masjid dan ruang solat perlu dibersihkan segera. Sungguh pantas, proses ini hanya mengambil masa dua minit sahaja!

Sebahagian ruang solat di dalam Masjidil Haram yang luas, boleh menampung sehingga dua juta jemaah keseluruhannya.
Sungguh bertuah mereka yang menunaikan umrah pada bulan Ramadan dan mengabdikan diri di Masjidil Haram. Sesungguhnya bulan Ramadan sangat istimewa, banyak berkatnya.
Selain beriabadah di masjid paling agung dalam Islam, jemaah juga menikmati suasana meriah umrah Ramadan bersama jemaah seluruh dunia, di samping menikmati kemudahan dan keistimewaan disediakan kepada jemaah sepanjang Ramadan.
Semoga ada rezeki
untuk kita ke sana satu hari nanti. Amin!! - KitaReporters