Insan & Komuniti 08 Apr, 2020

TERIMA KASIH SEMUA!! PEJABAT MB TURUT BANTU

@rashid rahman
Memulakan kerjaya sebagai Wartawan Utusan Malaysia sejak Jun 2006 dan pernah bertugas di Ibu Pejabat (Kuala Lumpur), Sabah dan Pahang.

Share this

KEPRIHATINAN rakyat Malaysia sememangnya jelas apatah lagi dalam membantu golongan yang tidak bernasib baik dan yang memerlukan bantuan. Sehubungan itu, Setiausaha Politik Menteri Besar Pahang, Datuk Tajul Razi Abdul Aziz telah berkunjung ke rumah Norzuzileeyana Ramlee dan mendengar sendiri masalah yang dihadapi ibu berkenaan. : KitaReporters

Laporan asal di https://kitareporters.com/insan/y1aKrrlreQ


Ekoran laporan yang disiarkan, terbukti semua masyarakat Malaysia dapat bersatu hati tidak kira latar belakang politik, kaum dan agama bagi membantu Norzuzileeyana Ramlee, 20, yang tersepit selepas kehabisan susu anak dan kekurangan bekalan makanan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac 2020.

Dia juga dilaporkan terpaksa menumpang di rumah yang uzur di Kampung Tanjung Lumpur, Kuantan berikutan kehabisan sumber kewangan.

Alhamdulillah... semua peringkat sama ada pemimpin dari peringkat atas hingga ke akar umbi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan, individu termasuk 'Makcik Kiah' sendiri tampil membantu.

Ribuan netizen turut berkongsi komen simpati dan berhasrat membantu keluarga berkenaan selain merayu pihak-pihak berkaitan membantu.


Semalam Selasa, 7 April 2020, Setiausaha Politik Menteri Besar Pahang, Datuk Tajul Razi Abdul Aziz (atas, kanan) telah berkunjung ke rumah Norzuzileeyana Ramlee dan menyampaikan bantuan daripada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

Menurut Taul Razi, selepas mendengar berita kesusahan itu, Menteri Besar tanpa mempersoalkan apa-apa terus mengarahkannya ke rumah ibu berkenaan bagi mendapatkan maklumat dan juga menghulurkan bantuan.

Meskipun sudah banyak inisiatif dan bantuan diberikan oleh kerajaan negeri dan pusat, Wan Rosdy tetap mahu mendapat maklumat dan memastikan bantuan diberikan kepada individu terbabit kerana Menteri Besar tidak  mahu mana-mana rakyat terlepas pandang, jelas Tajul Razi ketika ditemui.

Beliau berkata, dalam kunjungan itu, selain susu bayi yang diperlukan dia turut membawa barangan makanan dan juga bantuan wang tunai bagi meringankan keluarga berkenaan.

Katanya, semua agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) dan agensi-agensi lain yang berkaitan telah turut diminta tidak terkecuali dalam membantu.

"Yang Amat Berhormat, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail telah mendapat maklumat dan mengarahkan agar bantuan segera dihulurkan," tegasnya.

Tajul Razi Abdul Aziz (kanan) menyerahkan bantuan kewangan daripada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kepada Norzuzileeyana Ramlee pada 7 April 2020.


Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur, Rosli Abdul Jabar berkata, pihaknya mengambil perhatian terhadap kes berkenaan, tetapi menjelaskan keluarga tersebut sebelum ini, telahpun diberikan bantuan makanan asas.

Tambahnya, keluarga berkenaan juga akan menerima bantuan wang tunai yang disalurkan oleh kerajaan negeri dalam tempoh terdekat.

"Saya dimaklumkan dia telah mendapat bantuan makanan seperti beras.

"Bagi bantuan wang tunai yang diperuntukkan, saya telah menyerahkan kepada ketua kampung masing-masing untuk memberikan kepada golongan yang memerlukan," jelasnya. 

Wakil kepada Fuziah Salleh menyerahkan bantuan barangan keperluan makanan dan susu kepada Norzuzileeyana Ramlee pada 7 April 2020.


Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh turut menyampaikan bantuan barangan keperluan makanan dan susu melalui wakilnya.

Beliau dimaklumkan turut mengarahkan pasukan Rapid Respons Parlimennya untuk turut menyerahkan bantuan makanan.

Katanya, pihak beliau akan terus memantau dan memastikan keluarga berkenaan mendapat pembelaan sewajarnya. 

"Saya mendapat maklumat daripada petugas yang memaklumkan perkara ini selepas terbaca laporan media dan saya mengambil tindakan segera meminta pasukan saya ke rumah berkenaan," katanya.

Norzuzileeyana, yang ditemui kemudian, berkata bantuan susu bayi dan lampin pakai buang yang diterima daripada pelbagai pihak termasuk orang ramai amat bermakna baginya.  



Sementara itu, meskipun tidak berada di Pahang, Persatuan Jurukur Tanah Berlesen antara persatuan yang tampil menunjukkan keprihatinan membantu ibu berkenaan bagi meringankan beban keluarganya.

Ahli-ahli juruukur Tanah Berlesen turut menyalurkan bantuan wang tunai yang dimasukkan ke akaun keluarga berkenaan.

Wakil jurukur tanah berlesen itu, Sr. Che' Zamry  Mohd. Hashim berkata, mereka terpanggil untuk membantu kerana tidak mahu ibu berkenaan dan keluarganya terus terbeban dalam tempoh yang sukar ini,

Ujarnya, meskipun berada jauh dan dalam tempoh PKP yang mengehadkan pergerakan, pihaknya telah memasukkan duit sebanyak RM1,000 ke akaun keluarga berkenaan.

"Sebagai rakyat Malaysia kami berasa turut bertanggungjawab membantu sesiapa sahaja yang susah dan memerlukan bantuan setakat mana yang kami mampu," ujarnya.

Kisah keperitan hidup Norzuzileeyana Ramlee telah dipaparkan dalam portal KitaReporters (https://kitareporters.com/insan/y1aKrrlreQ) pada Ahad, 5 April 2020. - KitaReporters 

0
2
1
0
1
You will be interested