Insan & Komuniti 08 Apr, 2023

Mengenang Azhar Sharif! Nilai sebuah ukhuwah! Bersahabat sehingga ke hujung nyawa! Maut jadi pemisah!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this


KAMI 'membesar' bersama dalam karier masing-masing. Ketika penulis baru bergelar wartawan pada 1983, Azhar Mohd Sharif pula sedang mencari tapak dalam pasukan bola sepak Selangor yang ketika itu dibarisi pemain-pemain hebat seperti Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, Datuk Santokh Singh, Datuk R Arumugam, Reduan Abdullah, Jamaluddin Norbit dan lain-lain.

Kami boleh dianggap sebaya jika dibandingkan dengan pemain-pemain senior Selangor walaupun umur penulis empat tahun lebih tua dari Azhar kerana ketika itu dia beliau berumur 18 tahun, manakala penulis, 22.



Walaupun masih mentah namun Azhar tidak kekok menyesuaikan diri dengan pemain-pemain super senior seperti Mokhtar sehingga dia mendapat kepercayaan jurulatih Tan Sri Ghani Minhat untuk beraksi dalam kesebelasan utama.

Kematangan Azhar terserlah pada musim 1984 apabila pada usia 19 tahun, beliau diberi kepercayaan berganding dengan Mokhtar, Khan Hung Meng dan Zapril Hashim mengemudi jentera serangan Selangor.

Namanya menggegar pada final Piala Malaysia 1984 apabila jaringan penyamaannya tiga minit sebelum tamat permainan menafikan kemenangan Pahang yang ketika itu mendahului 1-0. Khan Hung Meng kemudian menjaringkan dua gol pada minit ke-89 dan 90 utk kemenangan 3-1 kepada Selangor. 


PADA zaman kegemilangannya, Azhar seorang penyerang yang lincah.


Di luar padang, hubungan penulis dengan Azhar agak rapat. Mungkin jurang usia kami yang tidak ketara menyebabkan kami selesa untuk berkawan.

Menjadi kebiasaan penulis 'bersidai' bersama Azhar di Kelab Sultan Sulaiman (KSS), Kampung Baru, yang ketika itu menjadi gelanggang latihan pasukan Selangor. Setiap kali ada masa terluang, itulah lokasi ‘assignment’ penulis, kadang-kadang bukan mencari berita tapi sekadar berbual-bual kosong.

Sebenarnya, sepanjang berkawan dengan Azhar, banyak juga kisah-kisah peribadi beliau yang penulis tahu tapi kebanyakannya ‘off-record’ atas permintaan beliau. Kadang-kadang ini meletakkan penulis dalam dilema, antara tugas sebagai wartawan dan sebagai kawan.

Namun, penulis sentiasa mengambil sikap memilih setiakawan walaupun perlu mengorbankan ‘scoop of the year’. Bagi penulis, privasi seseorang perlu dijaga apatah lagi jika dia sendiri tidak mengizinkan cerita itu dikongsi umum.

Mungkin atas sebab itu, persahabatan penulis dengan Azhar berkekalan hingga akhir hayat beliau pada Khamis, 6 April, 2023 lalu, melangkaui tempoh 40 tahun sejak 1983.


PENULIS mengenali Azhar sejak 1983 dan kekal bersahabat sehingga akhir hayatnya. Foto ini dirakam pada majlis perkahwinan anak perempuannya.


Cuma, persahabatan kami pernah terputus seketika selepas mulai 1991, penulis sudah tidak turun ke padang kerana terikat dengan komitmen kerja di pejabat. Penulis juga jarang-jarang sekali bertandang ke stadium untuk menyaksikan perlawanan bola sepak terutama selepas Stadium Merdeka tidak lagi dijadikan venue perlawanan.

Azhar pula selepas itu meninggalkan Selangor dan meneruskan kariernya bersama beberapa pasukan negeri lain dan kemudian bersara pada 1995 selepas mengalami kecederaan serius ketika mewakili Perak.

Apabila penulis kebetulan bertemu semula dengan Azhar pada 2019 lalu, penulis terkejut melihat keadaannya yang sangat berubah. Tubuhnya kurus dan mukanya cengkung dan lebih memeranjatkan dia hidup sebatang kara dengan menyewa bilik di sebuah pangsapuri di ibu kota.

Tinggal di bilik bersebelahan pula adalah seorang lagi bekas pemain Selangor, Zapril Hashim yang mengalami masalah kencing manis yang kronik.

 Hampir menitis air mata penulis melihat keadaan kedua-dua bekas pemain itu kerana tidak pernah terjangkau dek akal penulis bekas pemain hebat seperti mereka akan mengalami nasib sebegitu.


AZHAR menikmati zaman kegemilangan bersama Selangor apabila membantu pasukan itu menjuarai Piala Malaysia pada 1984, menewaskan Pahang 3-1.


Pada pertemuan itu Azhar menceritakan susur kehidupannya yang membawanya tinggal di situ. Pada penulis, keadaan itu perlu didedahkan agar pihak-pihak yang bertanggungjawab terutama persatuan bola sepak membuka mata dan tampil membantu mereka.

Tapi, Azhar tidak mengizinkan kerana tidak mahu dianggap cuba meraih simpati apatah lagi beliau tidak mahu keluarganya dipersalah atas kehidupan yang sedang dilaluinya.

“Aku tinggal di sini atas pilihan aku sendiri dan aku selesa di sini terutama dapat membantu Zapril,” kata Azhar. “Aku tak nak bila cerita aku keluar, orang salah anggap. Aku masih ada keluarga dan mereka tidak pernah sisihkan aku.”

Di situ penulis dapat melihat betapa nilai persahabatan dimiliki Azhar terlalu tinggi. Penulis sedia maklum, hubungan beliau dengan Zapril memang akrab sejak mereka mewakili Selangor.

Atas nama persahabatan juga penulis akur dengan permintaan Azhar walaupun sebagai wartawan, penulis sekali lagi terpaksa mengorbankan sebuah berita yang ada ‘value’.

Sejak pertemuan itu, kami kerap berhubung dan sesekali penulis menjenguk beliau dan Zapril di pangsapuri itu. 


KEADAAN Azhar ketika tinggal dalam sebuah pondok di Hutan Simpan Kemesah.


Apabila Zapril dipindahkan ke rumah kebajikan di Klang, Azhar juga turut berpindah ke sebuah pondok di Hutan Simpan Kemensah, milik seorang sahabatnya. 

Rupa-rupanya Azhar diamanahkan oleh pemilik tanah kebun itu untuk menjaga kawasan itu dan ternakan ayam yang diusahakan oleh kawannya itu secara kecil-kecilan.

Penulis sempat mengunjungi beliau di pondok itu. Apa yang boleh penulis katakan, kehidupan beliau tidaklah sedaif yang digambarkan media kerana semua barang keperluan dapur disediakan oleh pemilik kebun itu.

Cuma, bagi penulis sebagai seorang bekas pemain bertaraf legenda, tidak selayaknya Azhar tinggal di situ, sepatutnya dia menjalani kehidupan lebih baik.

Tapi, itulah Azhar, dia sentiasa reda dengan takdir hidupnya, tidak pernah mengeluh malah sentiasa bersyukur.

“Aku seronok tinggal di sini, tenang,” kata Azhar apabila penulis menyatakan simpati dengan takdir yang dilaluinya. “Kau jangan risau la, aku ok,” Azhar cuba menyakinkan penulis.

Sekali lagi permintaan penulis untuk menulis dan menceritakan keadaan sebenarnya melalui media ditolak oleh Azhar dan sekali lagi penulis perlu akur kerana sebagai sahabat itu adalah satu amanah kepada penulis.


PENULIS sempat mengunjungi Azhar di Hutan Simpan Kemensah sebelum dia ditempatkan di Baitul Islah, Serendah, Rawang.


Tapi, apabila media mula dapat ‘menghidu’, kisah kehidupan Azhar terbongkar dan menjadi berita sensasi sehingga menarik perhatian pelbagai pihak. Peminat menjadi terperanjat dan pihak-pihak yang bertanggungjawab seolah-olah dikejutkan dari tidur yang lena.

Akhirnya hasil pendedahan itu, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Lembaga Zakat Selangor tampil membantu Azhar dengan menempatkan beliau di Baitul Islah, Serendah, Rawang sejak Jun, 2021.

Penulis kerap menghubungi Azhar untuk bertanya khabar dan penulis pernah berkongsi perkembangan kehidupannya di sana menerusi satu artikel yang disiarkan oleh KitaReporters.




Tapi, selepas beberapa bulan, penulis terputus hubungan dengan Azhar. Panggilan penulis tidak berjawab dan WhatsApp penulis tidak berbalas. Penulis terfikir, adakah Azhar merajuk dengan penulis kerana tidak menunaikan janji untuk mengunjungi beliau di sana.


AZHAR mendalami agama di Baitul Islah.


Tiba-tiba sebelum Ramadan lalu, penulis menerima berita Azhar dimasukkan ke Hospital Selayang. Keadaan kesihatannya dilaporkan agak kritikal dan ditempatkan dalam di wad CCU (Unit Penjagaan Kritikal).

Penulis sentiasa mengikuti perkembangan kesihatan Azhar melalui rakan-rakan bekas pemain bola sepak yang disampaikan oleh anak beliau kepada mereka. Hari ke hari, niat penulis untuk menziarah sentiasa tertangguh atas beberapa sebab.

Tapi, pada Rabu, 5 April, 2023 lalu, hati penulis kuat mendesak agar penulis menziarahnya walaupun hanya sekejap. 

Ketika sampai, penulis memanggil namanya dan Azhar ‘menyahut’ dengan membuka matanya walaupun nampak lemah. Setiap kali penulis bercakap, Azhar memberi respons sama ada dengan membuka sedikit mata atau menggerakkan mulutnya walaupun tiada suara yang keluar.

Walaupun hanya meghabiskan masa selama 30 minit di sisinya, tapi penulis puas kerana akhirnya niat penulis hendak menziarah Azhar termakbul.


PERJALANAN terakhir seorang sahabat. Azhar disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Buloh, Selangor.


Takdir Allah, keesokan pagi, ketika umat Islam bangun bersahur, penulis menerima mesej daripada bekas pemain bola sepak, Kamarulzaman Yusof, memaklumkan Azhar sudah menemui Sang Pencipta pada pukul 4:15 pagi.

Penulis menerima berita itu dengan reda walaupun hati tetap bersedih kerana kehilangan seorang sahabat. Lebih membuatkan penulis berlapang dada menerima perkhabaran duka itu adalah kerana penulis dapat bertemu Azhar buat kali terakhir, sehari sebelum beliau berangkat ke alam abadi.

Al-Fatihah. - KitaReporters


ANAK tunggal Azhar menyiramkan air ke atas pusaranya.


BEKAS rakan sepasukan, Khan Hung Meng (kanan) hadir memberi ucapan takziah kepada keluarga Azhar.

16
11
0
13
0
You will be interested