Kisah Insan 07 Jun, 2021

Akhirnya! Nasib legenda bola sepak Selangor 1980-an terbela! Kini dalami agama di Baitul Islah!

@rodli nayan @ rodly fadly
Berpengalaman hampir 40 tahun dalam bidang kewartawanan, antaranya sebagai pengarang majalah Arena Bolasepak, Mingguan Sukan dan Bola Perdana, juga bertugas sepenuh masa serta sambilan bersama Berita Harian, Harian Metro, Mingguan Perdana dan Sinar

Share this

Azhar Sharif kini mendalami ilmu agama di Baitul Islah di bawah seliaan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Serendah, Selangor. - Sumber foto: Kumpulan Bekas Pemain Harimau Malaysia.


Nasib bekas pemain bola sepak Selangor era 1980-an, Azhar Sharif akhirnya terbela apabila Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) tampil membantunya dengan menempatkan beliau di Pusat Pemulihan Baitul Islah di Serendah, sejak Jumaat, 4 Jun 2021.

Perkara itu disahkan oleh rakan karibnya yang juga pengurus pasukan KLOB All Star, Zulkifi Mohamed kepada SumberKini TV.

Ia bertepatan dengan hasrat dan keinginan Azhar sendiri yang mahu mendalami ilmu agama selepas sekian lama hidup terumbang-ambing sejak bersara sebagai pemain bola sepak pada 1995.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan legenda

Azhar hidup seorang diri di sebuah rumah usang di Hutan Simpan Kemensah. - Foto: Kamaruzaman Yusof.


Kisah kedaifan hidup Azhar menumpang tinggal di sebuah rumah usang di lereng bukit Hutan Simpan Kampung Kemensah, Hulu Kelang, mula mendapat perhatian selepas didedahkan media baru-baru ini sehingga pelbagai pihak tampil menjenguk serta menawarkan bantuan.

Antaranya adalah bekas pemain Kedah, Azmeer Yusof yang menyatakan kesanggupan untuk membina sebuah rumah berdekatan dengan pusat pengajiannya di Alor Star khusus bagi didiami Azhar demi memenuhi hasrat bekas pemain itu untuk mendalami ilmu agama.

Walau bagaimanapun Azhar akhirnya bersetuju untuk menyambut tawaran MAIS dan LZS memandangkan ia lebih dekat dengan keluarganya di Kuala Lumpur.


Azhar (depan) sambil dibantu rakannya meninggalkan Hutan Simpanan Kemensah untuk memulakan kehidupan baharu di Pusat Pemulihan Baitul Islah. - Kredit foto: Tangkap layar video SumberKini TV.


Sejak menggantung but sebagai pemain bola sepak pada 1995, Azhar mengalami kesukaran hidup kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap. Beliau pernah tinggal menyewa bilik bersama rakan baiknya, Zapril Hashim di sebuah rumah pangsa sebelum mengambil keputusan membawa diri ke hutan Kemensah selepas hilang terus sumber pendapatan ekoran wabak covid-19 yang melanda negara.

Sudah tentu ia bukanlah penghidupan sewajarnya bagi seorang pemain yang pernah menyumbang keringat dan jasa kepada pasukan negara serta beberapa pasukan lain seperti Selangor, Perak dan Terengganu.

Sepanjang kariernya pada 1980-an, Azhar pernah berganding dengan legenda bola sepak negara seperti Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, Datuk Santokh Singh, mendiang R Arumugam dan ramai lagi. 

Beliau dikenang sebagai salah seorang penyumbang gol yang membantu Selangor muncul juara Piala Malaysia pada 1984 dan 1986.


Azhar (duduk dua dari kanan), bersama barisan pemain Selangor yang menjulang Piala Malaysia pada 1984 selepas mengalahkan Pahang 3-1. - Kredit foto: Media sosial.


Selangor sekali lagi muncul juara Piala Malaysia pada 1986 selepas membelasah Johor 6-1. Azhar menjaringkan dua gol. - Kredit foto: Media sosial.


Pada final 1984 itu, Selangor ketinggalan 0-1 kepada Pahang apabila tampil Azhar menyelamatkan Selangor daripada kekalahan dengan menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-87 sebelum Khan Hung Meng memastikan kemenangan 3-1 melalui jaringan pada minit 89 dan 90.

Pada final Piala Malaysia 1986 pula, Azhar menyumbangkan dua gol untuk membantu Selangor membelasah Johor 6-1 untuk tampil sebagai juara.

Malah, beliau turut mewakili skuad kebangsaan dengan kejayaan terbaiknya adalah membantu Harimau Malaya menjulang Pestabola Merdeka pada 1986. 

Selepas bersara pada 1995, Azhar yang memiliki lesen kejurulatihan kelas B menjadi jurulatih bagi beberapa buah kelab komuniti di sekitar Lembah Kelang. Namun serangan covid-19 menyebabkan beliau hilang pekerjaan dan sumber pendapatan.


Kisah kesusahan hidup Azhar mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri Selangor, Lembaga Zakat Selangor (LZS), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan banyak lagi. - Kredit foto: Tangkap layar video SumberKini TV.


Rakan seangkatan Azhar, Kamarulzaman Yusof yang pernah mewakili Kuala Lumpur dan Selangor ternyata tumpang gembira dengan perkembangan baharu rakannya itu.

“Alhamdulillah, saya bersyukur mendengar Azhar akhirnya mendapat pembelaan. Sebagai kawan, saya dan rakan-rakan bekas pemain lain memang sangat bersimpati melihat keadaannya.

“Sebelum ini, kami kerap juga membantunya tapi berapalah sangat yang kami mampu. Begitu juga, saya difahamkan beliau turut mendapat bantuan daripada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB). Namun, sudah tentu ia tidak mencukup untuk dia menanggung kehidupannya.

“Tapi, dengan bantuan MAIS ini, saya rasa kehidupan Azhar akan berubah ke arah lebih selesa. Tambah menggembirakan dia ditempatkan di sebuah rumah yang dapat membantunya mendalami agama.

“Saya berharap Azhar menggunakan peluang ini sebaik mungkin untuk memperbaiki diri serta kehidupan. Ini adalah rezeki yang Allah lorongkan pada hujung penghidupannya,” ujar Kamarulzaman. - KitaReporters 


Rakan-rakan bekas pemain seangkatan seperti Datuk Ramlan Askolani, Kamarulzaman Yusof, Karim Pin, Subadron Aziz serta ramai lagi kerap mengunjungi serta menghulurkan bantuan kepada Azhar. - Kredit foto: Kamarulzaman Yusof.


Penulis bersama Azhar Sharif.

50
4
10
0
0
You will be interested

Video| Terima kasih Adam! Anak usia 9 tahun kumpul duit raya! Beli hadiah kepada ibu! Cincin emas!

Seorang wanita berkongsi kisah seorang kanak-kanak berusia 9 tahun lahirkan rasa terharu dengan gunakan wang rayanya untuk beli hadiah cincin emas kepada ibunya

Video| Terima kasih adik! Pilih jaga emak ayah! Sebab kau, abang berjaya! Pengakuan Hafiz Mahamad!

Kerana adiknya, Hafiz Mahamad capai kejayaan dan beliau tidak akan pernah lupa perkara itu. Katanya, kejayaan beliau hari ini adalah inspirasi daripada adiknya
Mohd Amirul Fazli Zulkafli in Kisah Insan 23 hours ago

Allahu! Gagal diberikan cucu! Ibu bapa saman anak kandung dan menantu! Selepas 6 tahun menunggu!

Di Uttarakhand, India pasangan warga emas nekad saman anak lelaki mereka sendiri dan menantu kerana gagal memberikan mereka cucu selepas tunggu lebih enam tahun
Zuhayati Yazid in Kisah Insan 1 day ago

Piala Thomas 2022: Malaysia bantu India cipta sejarah ke separuh akhir? Apa nak jadi? Sampai bila?

Perjalanan skuad badminton negara terhenti pada suku akhir apabila tersungkur di tangan India 2-3 dalam saingan Piala Thomas 2022 yang berlangsung di Bangkok
Mohd Amirul Fazli Zulkafli in Kisah Insan 3 days ago

Video| Warga emas usia 100 tahun lakukan terjunan udara! Raikan hari lahir dengan aktiviti lasak!

Raymonede Sullivan dari Florida lakukan aksi ekstrem dengan buat terjunan udara untuk pertama kalinya sebagai hadiah peribadinya kerana mencecah usia 100 tahun
Zuhayati Yazid in Kisah Insan 4 days ago