Insan & Komuniti 02 Jul, 2021

Perkembangan terkini Azhar Sharif di Baitul Islah! Hidupnya lebih terurus, jiwanya lebih tenang!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

Wajah terkini Azhar Sharif selepas sebulan tinggal di Baitul Islah, Serendah di Rawang, Selangor. - Kredit foto: Azhar Sharif


SELEPAS sebulan menjadi penghuni Baitul Islah di Serendah, Rawang, bekas pemain bola sepak kebangsaan, Azhar Sharif mengakui kehidupannya kini lebih terurus serta jiwanya lebih tenang walaupun berasa dirinya seolah-olah terputus hubungan dengan dunia luar.

Berkongsi pengalaman serta gambar-gambar terkininya dengan KitaReporters, Azhar berkata penekanan terhadap didikan agama yang diterapkan di situ menjadikan dirinya lebih positif berbanding sebelumnya.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Azhar Sharif


“Saya boleh katakan kehidupan saya di sini 10 kali ganda lebih baik daripada masa saya tinggal di Hutan Kemensah. Bukan saja soal kebajikan seperti makan minum malah kehidupan saya secara keseluruhannya.

“Ia bukan bermakna saya tidak bersyukur dengan kehidupan sebelum ini malah sangat berterima kasih kepada kawan yang selama ini banyak membantu termasuk menyediakan tempat saya berteduh. Tapi, di sini saya dapat mendalami ilmu agama serta memperbaiki diri.

“Apa yang pasti sejak tinggal di sini, saya tidak pernah tinggalkan solat lima waktu. Malah, lebih menyeronokkan ia dapat dilakukan secara berjemaah,” cerita Azhar.


Sepanjang menjadi penghuni Baitul Islah, Azhar banyak mendalami ilmu agama melalui kelas-kelas yang disediakan. - Kredit foto: Azhar Sharif


Menurut Azhar, selain mempertingkatkan amal ibadat, mereka juga diajar fardu ain, mengaji dan sirah. Cuma, dalam keadaan sekarang (Covid-19), kelas banyak dilakukan secara dalam talian.

Bercerita lanjut rutin kehidupannya di situ, Azhar berkata, selepas menunaikan solat subuh, mereka akan bersarapan pagi sebelum memulakan kelas agama pada pukul 9:00 pagi.

Selepas itu mereka diberi kebebasan melakukan aktiviti masing-masing sementara menunggu waktu zuhur serta makan tengah hari.

“Pada waktu petang kami ada satu lagi kelas dan selepas asar, penghuni bebas melakukan sebarang aktiviti. Ada yang bermain badminton, pingpong, memancing, mandi sungai dan lain-lain. Saya pula lebih suka mengisi masa di kolam ikan, sambil melihat dan memberi ikan makan.

“Malam pula selepas solat maghrib dan isyak, kami ada satu lagi kelas agama. 

"Begitulah setiap hari. Sejak sebulan berada di sini, banyak benda saya belajar, daripada tak tahu, dah tahu, daripada tak mahir, sudah mahir. Pendek kata, ilmu agama saya dan ibadah saya meningkatlah sikit berbanding dahulu,” katanya.


"Di sini, belum sempat lapar, makanan dah terhidang. Makan free, belasah sajalah, sedar-sedar perut dah senak,” kata Azhar. - Kredit foto: Azhar Sharif


Kadang-kadang bosan juga dan rasa terkongkong. Rindu nak melepak sambil berborak-borak dengan kawan-kawan, makan-makan dengan keluarga." 


Ditegur mengenai dirinya yang kelihatan agak berisi, Azhar secara berseloroh berkata: “Memang rasanya berat badan saya dah naik walaupun tak pernah timbang. Apa taknya, di sini, belum sempat lapar, makanan dah terhidang. Makan free, belasah sajalah, sedar-sedar perut dah senak.”

Selain itu, menurut Azhar, mereka turut disediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan secara berkala yang mana seorang doktor ditugaskan menziarah mereka pada setiap Isnin dan Khamis.

Cuma, menurut Azhar, sesuatu yang masih cuba beliau sesuaikan adalah kehidupan di Baitul Islah yang agak terasing dari dunia luar.

“Kediaman ini terletak agak terpencil dalam hutan, kira-kira 3 kilometer dari jalan utama. Jadi, kami memang tidak dapat akses dengan dunia luar kecuali melalui panggilan telefon. 


Azhar dan penghuni Baitul Islah tekun mendalami ilmu agama pagi, petang dan malam. - Foto: Azhar Sharif


“Kadang-kadang bosan juga dan rasa terkongkong. Rindu nak melepak sambil berborak-borak dengan kawan-kawan, makan-makan dengan keluarga.

“Malah, peraturan di sini agak ketat yang mana pengunjung perlu mendapatkan kebenaran daripada pengurusan Baitul Islah terlebih dahulu jika mahu menziarah.

“Tapi, saya faham, semua peraturan di sini adalah untuk kebaikan kami apatah lagi dengan musim Covid sekarang, sudah tentu pihak pengurusan terpaksa mengambil langkah lebih ketat agar kami tidak terdedah dengan bahaya wabak ini.

“Saya bersyukur dengan kehidupan saya di sini dan ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu. Saya berharap akan menjadi insan lebih baik selepas ini,” ujar Azhar.


Antara aktiviti santai Azhar pada waktu petang adalah mengendalikan kolam ikan yang terdapat dalam kawasan Baitul Islah. - Kredit foto: Azhar Sharif.


Kisah Azhar yang hidup daif dalam sebuah pondok di Hutan Simpan Kampung Kemensah, Hulu Kelang, sebelum ini menarik perhatian ramai serta membuka mata banyak pihak. 

Susulan itu, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) tampil membantunya dengan menempatkan Azhar di Baitul Islah di Serendah, sejak 4 Jun 2021 lalu selari dengan hasrat beliau yang mahu mendalami agama.

Sepanjang karier bola sepaknya pada 1980-an, Azhar pernah berganding dengan legenda bola sepak negara seperti Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, Datuk Santokh Singh, mendiang Datuk R Arumugam dan ramai lagi. 

Beliau dikenang sebagai salah seorang penyumbang gol yang membantu Selangor muncul juara Piala Malaysia pada 1984 dan 1986.

Pada final 1984 itu, Selangor ketinggalan 0-1 kepada Pahang apabila tampil Azhar menyelamatkan pasukannya daripada kekalahan dengan menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-87 sebelum Khan Hung Meng memastikan kemenangan 3-1 melalui jaringan pada minit 89 dan 90.

Pada final Piala Malaysia 1986 pula, Azhar menyumbangkan dua gol untuk membantu Selangor membelasah Johor 6-1 untuk tampil sebagai juara.

Malah, beliau turut mewakili skuad kebangsaan dengan kejayaan terbaiknya adalah membantu Harimau Malaya menjulang Piala Pestabola Merdeka pada 1986. – KitaReporters


39
2
0
0
4
You will be interested