KARYA seni dihasil menggunakan kertas tisu dan kain kasa membawa tuah kepada Saiful Razman, 41, sehingga dinobatkan pemenang Anugerah 2021 United Overseas Bank (UOB) Painting of the Year (Lukisan Tahun Ini) Malaysia.
Kemenangan Saiful menerusi hasil seni bertajuk ‘Walk In
Silence, Don’t Walk Away in Silence’ itu membolehkannya menerima wang tunai
RM100,000 serta peluang memenangi residensi selama sebulan di Muzium Seni Asia
Fukuoka, Jepun atau Galeri Seni UOB di Shanghai, China.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pelukis
Majlis anugerah diadakan secara virtual pada 25 Oktober 2021.
Menurut Saiful, karya seni berkenaan dihasilkannya semasa pandemik
Covid-19 yang diilhamkan serta diinspirasi oleh kesepian dan ketenangan dialami
ketika menjalani kuarantin kendiri.
“Saya hanya menggunakan kertas tisu dan kain kasa bergulung
nipis dalam hasil karya untuk membentuk lapisan yang halus, legap serta tonal.
“Hasil karya saya menggambarkan sebuah rumah, tempat
berlindung yang mendamaikan. Sekelilingnya pula adalah latar belakang bercorak
lanskap berdimensi melambangkan gunung, dipaparkan melalui persekitaran kontras
warna nyata.
“Walk in Silence, Don’t Walk Away in Silence, adalah karya
seni minimalis dan monokromatik yang menarik perhatian penonton secara halusnya
sambil membangkitkan naratif terbuka kepada pelbagai interpretasi,” katanya.
Tambah beliau, dia bersyukur serta berterima kasih atas
pengiktifaran tersebut dan gembira kerana karya seninya akan mewakili Malaysia pada Anugerah Keseluruhan 2021 UOB Painting of the Year Asia Tenggara (Lukisan Tahun Ini Asia Tenggara).
Bibi Chew selaku ketua hakim pertandingan
Sementara itu, Ketua Hakim pertandingan 2021 UOB Painting of
the Year (Malaysia), Bibi Chew berkata kemenangan dirangkul oleh Saiful membolehkan
pelukis berkenaan bersaing dengan pemenang dari negara-negara Asia Tenggara
yang lain.
“Kami tidak sabar melihat beliau berentap dengan pemenang UOB
Painting of the Year dari negara lain seperti Indonesia, Singapura dan
Thailand. Bagi pertandingan peringkat Asia Tenggara ini, pemenang akan diumumkan pada majlis anugerah maya pada 26 November 2021.
“Setiap tahun, kami melihat lebih ramai pelukis mencabar
diri mereka secara kreatif dan ia satu perkembangan positif. Malah, peningkatan
besar jumlah penyertaan diterima pada
tahun 2021 ini.
“Kami barisan juri hakim melihat kepelbagaian penggunaan
jenis bahan dan isi kandungan setiap
peserta dalam menghasilkan karya seni masing-masing,” ujarnya.
Katanya lagi, pihaknya juga ucapkan syabas dan terima kasih keada UOB Malaysia yang sentiasa menyokong pelukis tempatan dalam menyediakan platform mempamerkan karya seni untuk mengekspresi diri serta menyuarakan mesej mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif, UOB Malaysia, Wong Kim Choong berkata UOB Painting of the Year (Malaysia) 2021 merupakan penganjuran edisi ke-11 tahun bagi terus mengiktiraf dan meningkatkan pelukis Malaysia melalui pertandingan.
“Walaupun berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga menyebabkan sekatan perjalanan, UOB Painting of the Year (Malaysia)
tetap diadakan secara digital atau maya sekali gus menunjukkan komitmen bank dalam
menggalakkan dan membangunkan seni di negara.
“Orang ramai boleh melihat semua lukisan yang memenangi anugerah dalam kategori Pelukis Mapan dan Pelukis Baru 2021 UOB Painting of the Year (Malaysia) di Galeri Seni UOB maya,” ujarnya.
Hasil karya seni para pemenang anugerah bagi kategori Pelukis Mapan (Malaysia).
Selain Saiful, turut menerima anugerah bagi karya seni
kategori Pelukis Mapan (Malaysia) ialah pemenang
Anugerah Emas, Lee Mok Yee, 33, dengan hasil karya bertajuk Impermanence yang membawa pulang wang tunai
RM45,000.
Pemenang Anugerah Perak ialah Mohd Azrul Azrai Mohamad Mohyi, 31,
yang menerima RM35,000 menerusi hasil karya berjudul Ragaman, manakala penerima
Anugerah Gangsa memperoleh hadiah RM22,000 ialah Fadilah Karim, 34, dengan
tajuk Blue Tape Tangle.
Bagi kategori Pelukis Baharu (Malaysia) pula, Anugerah
Pelukis Harapan dinobatkan kepada Jaclyn Teh Ya Zi, 24, menerusi karya seni
bertajuk Hi; Anugerah Emas (Nik Ashri Nik Harun, 34); Anugerah Perak (Sack Tin
Lim, 31, serta Raden Hisbullah Radin, 28, penerima Anugerah Gangsa. - KitaReporters
Hasil karya pemenang anugerah bagi kategori Pelukis Baharu (Malaysia).