Selera & Santai 10 Feb, 2026

Angin Timur mai, Perlis jadi tumpuan! Pesta Angin Timur Perlis 2026 kembali! Bendang bertukar wajah!

@nur sabrina samsudin
Bergiat cergas dalam bidang kewartawanan sejak dibangku sekolah lagi. email:[email protected]

Share this

Setiap kali Angin Timur mula berpuput di bendang, negeri Perlis kembali menjadi tumpuan ramai.

Fenomena angin timur yang menandakan peralihan musim selepas menuai padi bukan sekadar perubahan cuaca, sebaliknya membawa bersama kemeriahan Pesta Angin Timur yang diperkenalkan sejak 2011. Acara tahunan ini kini menjadi antara tarikan utama dalam kalendar pelancongan negeri.



Peta lokasi Pesta Angin Timur Perlis 2026 memaparkan pembahagian zon aktiviti termasuk Zon Aktiviti Basah, Zon Permainan Tradisional, Zon Jualan Penjaja dan Pentas Utama bagi memudahkan pengunjung merancang kunjungan mereka sepanjang acara berlangsung.

Seawal pagi hari Pesta Angin Timur Perlis 2026, kawasan sekitar Kangar mula dipenuhi pengunjung dari dalam dan luar negeri. Belon udara panas menghiasi langit, manakala di darat pula aksi gasing berpusing ligat dan pertandingan kabaddi menarik perhatian ramai.

Kanak-kanak seronok mencuba permainan tradisional, sementara golongan dewasa tidak ketinggalan memberi sokongan kepada peserta. Suasana riuh rendah dengan gelak tawa menjadikan bendang seolah-olah bertukar wajah menjadi medan pesta rakyat.


“Kota Jerami”  antara tarikan utama sempena Pesta Angin Timur Perlis 2026.

Orang ramai menyertai sesi senamrobik yang diadakan sempena Pesta Angin Timur Perlis di Kangar, sekali gus menyemarakkan suasana dengan semangat kebersamaan dan gaya hidup sihat. - Kredit gambar: FB JKKN Perlis

Di kawasan penjaja, deretan gerai dan trak makanan menawarkan pelbagai juadah kampung dan moden. Aroma kuih tradisional, laksa dan aneka minuman menyemarakkan lagi suasana terutama menjelang petang.

Turut mencuri tumpuan ialah pertandingan orang-orang sawah dan kerbau besi berhias yang mengangkat identiti masyarakat bendang Perlis. Elemen warisan dipadukan dengan sentuhan kontemporari, menjadikan pesta ini sesuai dinikmati semua peringkat usia.


Peserta tidak menghiraukan lumpur ketika beraksi dalam pertandingan bola sepak bendang. - Kredit gambar: FB Jabatan Penerangan.

Acara sukan rakyat berpasukan yang mencabar keseimbangan dan kerjasama.

Aksi lincah pemain ketika perlawanan kabaddi.

Peserta menunjukkan kemahiran ketika pertandingan gasing pangkah.
Pertandingan bola jaring bendang sempena Pesta Angin Timur Perlis 2026, mencetuskan suasana riuh rendah dengan sorakan penonton di sekeliling sawah. - Kredit gambar: FB Jabatan Penerangan. 

Bagi warga tempatan, inilah masa terbaik untuk berkumpul dan mengeratkan silaturahim. Bagi pengunjung luar, Pesta Angin Timur membuka peluang mengenali lebih dekat budaya dan gaya hidup masyarakat negeri kecil yang sarat nilai tradisi.

Angin timur mungkin hanya tiupan biasa, namun di Perlis, ia membawa makna yang jauh lebih besar sebagai simbol kebersamaan dan kebanggaan negeri. - KitaReporters


Belon udara panas menjadi antara tarikan utama pengunjung.
Kreativiti dalam pertandingan gubahan bunga dan hasil tani sempena Pesta Angin Timur Perlis 2026 di Kangar, sekali gus menyerlahkan sentuhan seni serta warisan masyarakat bendang.

12
15
0
10
0
You will be interested